Pendekatan baharu PAS yang memilih budaya politik matang
dan sejahtera mampu menyatukan umat Islam dan menamatkan perpecahan rakyat
sekali gus membersihkan tanggapan negatif terhadap Islam dan orang Melayu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kelantan, Datuk
Seri Mustapa Mohamed berkata, umat Islam di negara ini, khususnya di Kelantan
sejak sekian lama bertelagah sesama sendiri hanya kerana tidak sehaluan dalam
parti politik.
Sehubungan itu katanya, UMNO mengalu-alukan perubahan
yang ingin dibawa PAS dan berharap gagasan tersebut yang diperkenalkan oleh
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dapat diterima baik untuk diamalkan di
setiap lapisan pemimpin serta pengikut parti itu.
“Kita bersyukur kerana PAS mengambil pendekatan ini demi
perpaduan umat Islam. Seperti mana yang sering saya seru, kita boleh berbeza
politik namun dalam hal-hal melibatkan Melayu dan Islam, kita tidak harus
berpecah.
“Saya juga berharap pendekatan ini dapat membina jambatan
antara dua pihak yang bertelagah di Kelantan. Amalan memulau kenduri,
memutuskan persaudaraan, sembahyang dua imam dan sebagainya perlu dinyahkan
dari bumi Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selePAS menghadiri
majlis berbuka puasa serta penyampaian zakat anjuran Universiti Malaysia
Kelantan (UMK) Kampus Jeli di Jeli kelmarin.
Yang turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Khamarzan
Ahmad Meah; Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Mortaza Mohamed serta Pengarah
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Cawangan Kelantan, Azran
Derahman.
Dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-62 di Kota Bharu, baru-baru
ini, Abdul Hadi menggariskan hala tuju baharu parti itu yang berteraskan
‘budaya politik matang dan sejahtera’.
Beliau menyeru ahli parti itu menerapkan elemen dakwah
dan tarbiah dalam berpolitik serta meninggalkan amalan warisan penjajah Barat
yang jauh daripada prinsip berasaskan kebenaran dan ilmu serta halal dan haram.
Dalam perkembangan lain, Mustapa yang juga Ahli Parlimen
Jeli berkata, sejak mula beroperasi sekitar 2012, UMK Kampus Jeli bukan sahaja
menjadi pusat kecemerlangan akademik, sebaliknya turut menabur bakti kepada rakyat
menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
“Adalah menjadi harapan kita supaya UMK terus menjadi
pelopor kepada pembangunan berkaitan bidang keusahawanan dan asas tani di
negeri ini, khususnya di Jeli yang rata-rata penduduknya mencari rezeki sebagai
petani,” katanya.
No comments:
Post a Comment