Belum pun pindaan Akta
355 dibentangkan di Dewan Rakyat, Kerajaan PAS Kelantan sudah membuat langkah persediaan
awal bagi merealisasikan Kanun Jenayah Syariah II dapat dilaksanakan di negeri itu.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini berjaya membawa usul itu masih
menunggu untuk mendapat ruang membentangkannya sebagai usul persendirian.
Bagaimanapun, kerajaan Kelantan nampaknya tidak sabar
untuk menunjukan kepada rakyat Kelantan betapa ia benar-benar berharap Akta 355
dapat dibentang dan diluluskan sudah mendahului Dewan Rakyat.
Jelas ia begitu yakin bahawa Akta 355 itu akan dapat
dipinda dan dilaksanakan tahun hadapan sesuai dengan tempoh Bajet yang
dicadangkan semalam.
Pada pembentangan Bajet 2017 yang bertemakan 'Kelantan
Sejahtera untuk Islam' semalam, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi
membangunkan prasana material perlaksanan kanun itu.
Selain itu sebanyak RM1.3 juta pula diperuntukkan kepada
Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Kelantan iaitu sebuah jabatan baru yang
dipecahkan daipada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik).
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menjelaskan
usaha ini dilakukan untuk merealisasikan apa yang diharapkan oleh PAS,
khususnya PAS Kelantan dalam Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) itu.
“Ini usaha pertama pertama yang dilaksanakan seumpama ini
di Malaysia dan insya-ALLAH selepas ini bakal menyaksikan pengasingan bahagian
penguatkuasaan Udang-Undang Syariah daripada Jaheik untuk dijadikan jabatan
baru,” katanya.
Menurutnya, tindakan itu membuktikan bahawa usaha Kerajaan
Kelantan dalam memartabatkan perundangan syariah di negeri ini bukanlah satu
retorik atau momokan kosong.
Bagaimanapun, tidak diketahui selama mana peruntukan itu
akan hanya tercatat sebagai cadangan perbelanjaan kerana Akta 355 sehingga kini
masih kabur bila akan dibentang, dibahas atau akan diluluskan.
Dibimbangi ia akan hanya menjadi suatu peruntukan berupa ‘harapan;
semata-mata. Jangan kerana mendengar guruh di langit, kerajaan Kelantan sudah berangan...
Terdahulu, Ahmad mengumumkan bajet defisit RM42.65 juta,
menurun sebanyak RM2.96 juta atau 0.46 peratus berbanding tahun lalu.
Kerajaan negeri menganggarkan perolehan hasil berjumlah
RM636.98 juta manakala perbelanjaan mengurus tahun depan dijangka RM679.63 juta.
Katanya, anggaran perbelanjaan pembangunan pada tahun
depan adalah berjumlah RM281.61 juta iaitu sebanyak RM191.61 juta dibiayai oleh
kerajaan negeri manakala RM90 juta daripada sumber pinjaman.
“Anggaran hasil pada 2017 sebanyak RM636.98 juta menunjukkan
peningkatan berbanding 2016 iaitu RM593.80 juta. Namun, kenaikan berkenaan
masih tidak dapat menampung kenaikan belanja mengurus,” katanya.
Menurutnya, bajet tersebut menjangkakan perolehan daripada
hasil cukai sebanyak RM176.67 juta, hasil bukan cukai (RM308.02 juta) dan
terimaan buku hasil (RM149.29 juta).
Katanya, hasil hutan kekal menjadi penyumbang terbesar
dengan RM177.20 juta atau 27.81 peratus, meningkat RM4.25 juta yang meliputi
royalti kayu-kayan (30 juta), bayaran jabatan hutan (RM22 juta), permit lesen
perhutanan (RM1.5 juta) dan premium perhutanan (RM70 juta).
Hasil tanah katanya, menjadi penyumbang kedua terbesar
iaitu RM157.91 juta atau 24.79 peratus yang meliputi cukai tanah (RM46.54
juta), premium tanah (RM55 juta), bayaran pendaftaran (RM7.07 juta) dan notis
serta denda lewat bayaran cukai (RM6.73 juta).
“Sektor perlombongan menyumbang sebanyak RM70 juta, hasil
air, RM13 juta dan terimaan daripada agensi kerajaan berjumlah RM112.48 juta,”
katanya.
Tambah Ahmad, anggaran perbelanjaan mengurus 2017
berjumlah RM679.63 juta meningkat RM40.22 juta atau 6.39 peratus berbanding
tahun lalu sebanyak RM639.41 juta.
“Dari jumlah tersebut, sebanyak RM359.52 juta untuk pemberian
dan kenaan tetap, RM194.16 juta (Emolumen), RM109.25 juta (perkhidmatan dan
bekalan), RM14.49 juta (aset) dan RM2.21 juta bagi lain-lain perbelanjaan,”
katanya.
Ahmad berkata, bagi memperkasakan pembangunan Islam,
kerajaan negeri memperuntukkan RM44.06 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Agama
Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) untuk melaksanan pelbagai program keagamaan.
Katanya, kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak
RM53.71 juta kepada semua Pejabat Tanah dan Jajahan serta Pejabat Tanah dan
Jajahan Kecil Lojing, Gua Musang bagi menguruskan pelbagai pembangunan.
“Kita juga merancang untuk melaksanakan pembangunan Rumah
Mampu Milik Kelantan (RMMK) sebanyak 2,136 unit pada tahun depan dan
memperuntukan sebanyak RM1.2 juta untuk perkhidmatan bekalan air luar bandar,”
katanya.
Ahmad yang juga Exco Pentabiran Awam, Perancangan Ekonomi
dan Kewangan berkata, kerajaan negeri meneliti secara terperinci anggaran
belanjawan bagi memastikan peruntukan yang disediakan adalah merupakan
keperluan sebenar jabatan dan mengambil kira kenaikan kos-kos pengurusan.
“Perbelanjaan mengurus pada 2017 amat munasabah dan
memenuhi keperluan sebenara setiap jabatan.
"Oleh itu setiap anggota perkhidmatan awam perlu
bersedia dan menyumbang ke arah peningkatan prestasi serta produktiviti kerja
dalam usaha memenuhi kehendah rakyat selaku pelanggan utama kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, antara lain, Bajet 2017 akan berpaksikan
kepada beberapa perkara termasuk mempergiatkan aktiviti dakwah dan bina insan
bagi melahirkan rakyat bermotivasi tinggi, dinamik, berbakat serta mengamal
nilai-nilai hidup Islam.
Selain itu katanya, kerajaan akan merancakkan aktiviti
ekonomi rakyat dengan membuka lebih banyak peluang dalam bidang bidang yang
bersesuaian dengan bakat dan persekitaran rakyat.
No comments:
Post a Comment