Keliru atau mengelirukan?
Apakah benar seperti dikatakan oleh ahli politik veteran
bahawa untuk meminda Akta Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Akta
355 (RUU 355), parlimen bukanlah tempatnya?
Semalam, (17 Oktober 2015), Ahli Parlimen Gua Musang,
Tengku Razaleigh Hamzah mempersoalkan sama ada pindaan Akta 355 yang akan
dibentang oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengikut cara
yang betul.
Tengku Razaleigh berhujah, pindaan rang undang-undang 355
yang dicadangkan Presiden PAS itu perlu dibentangkan pada Majlis Raja-raja
sebelum di bawa ke parlimen.
Bukan dipersembahkan hanya selepas ia diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan
Negara?
Perkara berkaitan rang undang-undang tersebut juga
sepatutnya dibincangkan di peringkat negeri serta mendapat perkenan Majlis
Raja-raja terlebih dulu.
"Tak layak bawa (usul berkenaan) masuk parlimen.
Isunya ialah, parlimen bukan tempatnya. Ia patut dibawa ke peringkat negeri.
Kalau tak, ia tak berpelembagaan (tidak mengikut kehendak perlembagaan) kerana
(persoalan) agama ialah hak raja.
"Kalau hak raja, mesti dibawa ke peringkat negeri,
runding dengan majlis agama Islam negeri dan raja sendiri.
"Ia mesti dibentang pada Majlis Raja-raja. Kalau
dapat perkenan Majlis Raja-raja baru boleh dibawa ke peringkat ini
(parlimen)," kata Tengku Razaleigh.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi
Dewan Rakyat semalam.
Apakah pendapat ini mempunyai asas atau sekadar lontaran
idea semata-mata?
Rang undang-undang persendirian yang akan dibawa anggota
parlimen Marang yang juga Presiden PAS itu dijangka dibentangkan dalam tempoh terdekat
berdasarkan kedudukan usul itu pada aturan mesyuarat Dewan Rakyat.
Hari pertama sidang parlimenbermula semalam
berakhir tanpa kemunculan rang undang-undang persendirian yang mahu dibawa
Presiden PAS itu.
Perbahasan semalam
ditangguhkan ketika bacaan kedua Rang Undang-undang Ordinan Peguam Bela
(Sabah) (Pindaan) 2016 yang diletakkan pada turutan kedua kertas peraturan
mesyuarat. Perbahanan mengenainya akan disambung hari ini.
Usul dibawa Hadi bagi meminda Akta Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah) berada di kedudukan keempat susunan aturan mesyuarat.
Keadaan itu dilihat akan mengurangkan peluang usul itu
untuk dibahaskan pada beberapa hari akan datang. Malah diramalkan ada
kemungkinan ia dikemudiankan oleh rang undang-undang dan usul daripada pihak
kerajaan
Mingu depan perbahasan akan tertumpu kepada isu
belanjawan 2017 selepas ia dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
pada Jumaat ini.
Rang undang-undang berkenaan dibawa untuk meminda Akta
Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) yang juga dikenali sebagai Akta 355,
bagi memperluaskan bidang kuasa mahkamah syariah.
Selain DAP beberapa parti komponen Barisan Nasional (BN) sudah
menyatakan bantahan mereka terhadap usul berkenaan. Perdana Menteri
bagaimanapun belum menjelaskan pendiriannya mengenai usul ini.
Beberapa pemimpin parti dalam BN mendakwa gabungan
itu sudah
mencapai persetujuan bersama berhubung usul berkenaan
namun jelas butiran lanjut mengenainya masih kabur.
Apapun, kelmarin seorang pemimpin Pemuda Gerakan menggesa
ahli parlimen UMNO supaya tidak menyokong pindaan syariah kontroversi di
Parlimen demi negara.
Naib Ketua Pemuda Gerakan Andy Yong berkata undi ahli
parlimen UMNO adalah penting dalam usaha PAS untuk meminda undang-undang
persekutuan bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.
"Di bawah komposisi semasa di Parlimen, PAS tidak
akan berjaya tanpa sokongan UMNO. Oleh itu saya berharap ahli parlimen UMNO
juga tidak berkompromi dengan mengorbankan dan tidak menegakkan kesucian
perlembagaan kita.
"Ini bukan tentang Islam, ia adalah mengenai negara
ini. Malaysia tidak akan sama lagi," kata Yong dalam satu kenyataan malam
kelmarin.
Yong mengingatkan ahli parlimen bahawa tugas mereka
adalah untuk melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
"Adalah jelas bahawa Rang Undang-Undang Hadi akan
menyebabkan keadaan huru-hara dalam sistem undang-undang kita,” tegasnya.
MCA kelmarin mengesahkan akan memastikan rang undang-RUU
meminda Akta 355 tidak akan dibahaskan di Parlimen walaupun telah disenaraikan
sebagai perkara keempat dalam kertas aturan mesyuarat.
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada sebarang langkah
melambatkan 'RUU Hudud' itu adalah keputusan konsensus 13 parti komponen BN
seperti yang diputuskan pada yang mesyuarat pra-majlis kelmarin.
"Ia adalah sangat jelas bahawa BN membuat keputusan
konsensus RUU undang-undang kerajaan akan mendahului RUU persendirian. Kami
akan memastikan RUU tersebut tidak akan dapat dibahaskan kerana kita tahu RUU
kerajaan mesti didahulukan di Parlimen," ujar beliau.
Pendirian MCA yang ditegaskan semalam selari dengan
hasrat DAP yang menolak pindaan Akta 355 untuk memperluaskan bidang kuasa
mahkamah syariah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Tengku Razaleigh yang melihat berlaku kekeliruan dalam
usaha pembentangan Akta 355 sama ada ia wajar dibawa ke peringkat negeri, berunding
dengan majlis agama Islam negeri atau dibentangkan dahlu kepada Majlis
Raja-raja berjanji akan memohon penjelasan sama ada RUU ini layak dibawa masuk
ke Parlimen atau sebaliknya.
Pada asasnya beliau tidak menentang pindaan RUU itu cuma
mahukan penjelasan mengenainya.
"Saya rasa semua orang nak tahu. Bukan sahaja dalam
kalangan ahli-ahli parlimen, tetapi rakyat sendiri kerana perkara ini berkaitan
dengan agama,” katanya.
Menurut beliau, agama adalah hak negeri dan berada di
bawah naungan raja-raja di negeri masing-masing.
Persoalannya, jika Tengku Razaeligh keliru mengenainya,
kepada siapa penjelasan akan diminta?
Kenapa selepas sudah jauh begini RUU 355 ini diperkatakan
dan hampir dibentangkan di Dewan Rakyat, Tengku Razaleigh baru menimbulkan
perkara soal perlu dibawa kepada Raja-Raja atau pihak di negeri?
Tengku Razaleigh sahaja yang keliru atau Presiden PAS dan
kerajaan Barisan Nasional, khususnya UMNO yang membenarkan Hadi membawa usul pada Mei lalu juga
keliru?
Apakah dengan kenyataan Tengku Razaleigh ini akan membawa kepada UMNO dan BN meminta RUU 355 'untuk diundurkan' dan ditangguhkan?
No comments:
Post a Comment