Saturday, May 7, 2016

Pemecatan Husam Akan Menyebabkan Pergolakan Besar Dalam PAS?


Akhirnya ‘terpelanting’ juga Datuk Husam Musa daripada PAS yang dianggotainya sejak 1982.

PAS memecat Husam berkuat kuasa 23 April lalu.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS Dr Sanusi Daeng Mariok selepas mempertimbangkan kes ini daripada semua aspek serta mengambil kira kepentingan parti dan perjuangannya.

Dengan pemecatan ini, Husam kini bergerak sebagai wakil rakyat bebas.

Bagi Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, keputusan Jawatankuasa Tatatertib PAS memecat Husam adalah tindakan berani yang berjaya memulihkan imej parti dari diperkotak-katikkan.

Tindakan ini juga satu tamparan kepada pelbagai pihak yang mendakwa PAS tidak akan mengambil tindakan ke atas Husam kerana bimbangkan pengaruhnya.

"Keputusan PAS memecat Husam memang sangat wajar dilakukan kerana terlalu banyak kenyataan dan tindakan yang dibuat olehnya sejak kalah dalam pemilihan parti pada tahun 2015 yang bercanggah dengan tatatertib parti, “ katanya semalam.

Keputusan PAS memecat bekas naib presiden Husam yang dilihat amat rapat dengan bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, adalah selaras dengan peruntukan undang-undang parti.

Husam pernah menjadi pembantu politik Nik Aziz, sangat lantang dalam isu-isu alam sekitar terhadap pengurusan PAS Kelantan.

Husam dipecat telah melanggar Fasal 82(1)(b), (c), (d), (e) dan (f) Perlembagaan PAS.
Menurut Fasal 82 (1)(b) ahli PAS perlu taat dan patuh kepada perlembagaan, aturan dan peraturan parti Islam itu, manakala Fasal 82 (1)(c) dan (d) pula ialah ahli perlu taat dan patuh kepada arahan-arahan dan perintah-perintah parti serta melaksanakan kewajipan-kewajipan ditugaskan parti sedaya upaya.

Manakala fasal 82 (1)(e) adalah menjaga dengan cermat segala rahsia-rahsia parti dan (f) mengamal akhlak Islam.

Bekas naib presiden PAS itu dilihat lantang mengkritik Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu kerjasama parti Islam itu dengan UMNO serta kepimpinan parti berhubung isu hudud.

Malah, Husam sebelum ini juga dilihat sepentas dalam program parti serpihan PAS sempena majlis makan malam anjuran AMANAH Kelantan di Petaling Jaya, Januari lalu.


Selain itu, Husam sering mengkritik kerajaan PAS Kelantan melalui pelbagai isu, khususnya isu balak yang ‘melemaskan’ kepimpinan PAS Kelantan.

Persoalannya, kenapa begitu lama PAS perlu menyimpan keputusan pemecatan itu dan semalam baru diumumkan?

Walaupun PAS belum lagi memaklumkan secara rasmi kepadanya tetapi beliau menerima khabar pemecatan itu daripada sumber tidak rasmi menerusi laman sosial, aplikasi Whatsapps dan SMS.

ADUN Salor itu  mengakui sedih apabila mengetahui PAS memecat keahliannya.

 “Tanpa saya sedari, air mata saya menitis. Sebak bercampur pilu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, Husam yang juga bekas naib presiden PAS berkata beliau menerima keputusan parti itu dengan hati terbuka.

Beliau juga hanya akan mengeluarkan kenyataan rasmi kepada media selePAS menerima surat pemecatan rasmi daripada PAS.

PemudaPAS Kelantan menyatakan ‘syukurnya’ kerana parti Islam itu memecat bekas naib presidennya yang sering mengkritik parti dan kerajaan negeri Kelantan.

Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, mereka menyokong keputusan Jawatankuasa Tatatertib PAS memecat ADUN Salor itu.

“Tindakan ini juga tentunya merupakan satu pembebasan terhadap Datuk Husam Musa untuk bergerak melalui wadah yang dipilihnya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Apakah pemecatan Husam itu akan mendatangkan kesan kurang baik kepada PAS?

Bekas rakan seperjuangan Husam menyifatkan perkembangan terbaru dalam PAS itu akan menambah pergolakan dalam parti berkenaan.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusoff Rawa - bekas ahli jawatankuasa PAS pusat - berkata, jangkaan tersebut adalah berdasarkan 'kekuatan' Husam dalam parti, terutama di Kelantan.

Mujahid, yang kini menduduki kerusi Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berpendapat, PAS pastinya telah menimbang kesan dan manfaat mempunyai ahli penting seperti Husam sebelum memutuskan untuk memecat beliau.

"Bagaimanapun, pemecatan beliau hanya akan menyebabkan pergolakan seterusnya bukan sahaja PAS di Kelantan tetapi juga parti itu secara keseluruhan. Pastinya menarik untuk melihat perkembangan seterusnya di masa depan,” tambahnya.

Bagi Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, pemecatan Husam yang juga ADUN Salor itu juga tidak akan menjejaskan kekuatan parti.

“Tindakan disiplin terhadap mana-mana ahli (dalam PAS) perkara biasa. Setiap organisasi mesti bertindak selaras dengan kepentingan parti yang dianggotai.

“Jika seorang ahli diambil tindakan meskipun dia seorang pemimpin besar, organisasi akan terus melayarkan bahteranya kerana kekuatan bukannya terletak pada individu tetapi pada dasar hala tuju organisasi,” katanya.

Menurutnya,  kekuatan sebuah parti bukannya terletak pada individu tetapi ia bergantung kepada hala tuju sesebuah organisasi.

Husam menunggu keputusan rasmi PAS sebelum membuat sebarang ulasan mengenai pemecatan itu.

Ke mana agaknya arah perjuangan Husam selepas ini?

No comments: