Pejabat Menteri Besar Kelantan menafikan apa yang
dikatakan tuduhan Datuk Husam Musa bahawa 1000 hektar kawasan hutan simpan
diluluskan untuk projek tanaman durian kunyit dan seluruh kawasan Kampung Laut
terlibat dengan projek kampung warisan.
"Kerajaan Negeri Kelantan hanya meluluskan sebanyak
100 hektar sahaja bagi tujuan projek durian kunyit manakala kawasan yang
terlibat bagi menjalankan projek Kampung Warisan Kampung Laut hanyalah 2.334
Ekar ataupun 4.2 % daripada jumlah keseluruhan Kampung Laut," kata
Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, perkara ini merujuk kepada kenyataan yang
telah dikeluarkan oleh Husam Musa dalam satu sesi ceramah yang telah diadakan
pada 16 September 2016.
"Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan
yang telah dilemparkan oleh YB Dato’ Haji Husam Musa terutamanya berkaitan
pembalakan dan pengambilan tanah Kampung Laut sepertimana disebut
"Dakwaan kononnya Menteri Besar Kelantan telah meluluskan
banyak kawasan pembalakan secara tebang habis untuk dijadikan ladang getah klon
balak (TLC) adalah tidak benar.
Orang ramai mendengar ceramah Husam. |
Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan
Negeri Kelantan, semenjak YDatuk Ahmad Bin Yakob mengambil alih
jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan, tidak terdapat kelulusan bagi projek
ladang TLC atau ladang-ladang yang lain dalam hutan simpan kekal dan hanya
meneruskan aktiviti pembalakan biasa sepertimana yang telah diluluskan pada
pentadbiran yang lepas," katanya.
Beliau menganggap tuduhan Husam dengan mengatakan kawasan
hutan simpan ditebang dan ditanam dengan tanaman Durian Kunyit sebanyak 1000
hektar juga merupakan satu kenyataan yang menyimpang dan berniat jahat.
"Kerajaan Negeri Kelantan hanya meluluskan sebanyak
100 hektar sahaja bagi tujuan tersebut dengan dikenakan syarat-syarat yang
sangat ketat oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.
"Jika dilihat kepada angka ini, ia jelas berbeza
dengan dakwaan YB Dato’ Haji Husam Musa iaitu sebanyak 1000 hektar.
"Perlu dimaklumi bahawa dibawah Enakmen Perhutanan
Negeri Kelantan, durian diklasifikasikan sebagai tumbuhan hutan dan digalakkan
untuk dijadikan sebagai spesis pokok bagi tujuan penanaman semula bagi kawasan
hutan yang terjejas," katanya.
Berkaitan dakwaan Husam yang mengatakan bahawa
keseluruhan tanah Kampung Laut, Tumpat sudah habis diambil oleh Kerajaan
Negeri, beliau memberi penjelasan bahawa keluasan bagi keseluruhan
Kampung Laut adalah sebanyak 55 Ekar.
Manakala kawasan yang terlibat bagi menjalankan projek
Kampung Warisan Kampung Laut hanyalah 2.334 Ekar ataupun 4.2 % daripada jumlah
keseluruhan Kampung Laut.
"Hanya 1.312 Ekar daripada keluasan tersebut
melibatkan pengambilan tanah yang terdapat kediaman penduduk.
"Di samping bayaran pampasan pengambilan tanah,
Kerajaan Negeri Kelantan juga telah menyediakan lot-lot tanah beserta unit
kediaman kepada penduduk yang terlibat sebagai tapak pemindahan," katanya.
Beliau berharap melalui penjelasan ini dapat memberikan
pencerahan terhadap tuduhan yang dilemparkan oleh pihak yang tidak
bertanggungjawab.
No comments:
Post a Comment