Tuesday, January 17, 2017

Antara Cina MCA, Cina Gerakan Berbanding Cina DAP Di Mata PAS


Eh, itukan akan jadi kawan kamu.

Apabila terima UMNO, kena terimalah MCA, Gerakan, MIC, Parti Pesaka Bumiputera Sarawak, PBS dan sebagainya.

Ibaratnya jika bernikah dengan janda yang sudah ada anak, bagaimana mahukan dia seorang sahaja dan meminggirkan anak-anak dan ibu bapa janda berkenaan.

Itu tidak adil. begitulah juga dengan PAS jika hanya mahu berbaik-baik dengan UMNO sahaja.

Isunya ialah bagaimana sikap PAS terhadap parti komponen Barisan Nasional (BN), khususnya yang bukan Islam apabila mereka membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan orang Islam?

Lihat sahaja apabila membuat tohmahan terhadap sekolah agama. Benar beliau sudah meminta maaf tetapi pertanyaan ialah jenapa PAS sekadar  meminta Naib Presiden Gerakan itu hanya mohon maaf secara terbuka?

Setakat itu sahaja? Kenapa PAS tidak hentamnya cukup-cukup?

Sebaliknya dengan Cina DAP mereka sanggup bermusuhan kononnya ‘demi Islam’ sehinggakan tidak mahu bertegur sapa dan tidak boleh bertentangan mata?

Apakah PAS ada dua jenis amalan mengikut kesesuaian atau kepentingan - dengan bukan Islam komponen Barisan Nasional (BN) boleh berlembut tetapi dengan bukan Islam DAP, mesti tegas dan keras?

Sedangkan DAP tetap menjunjung Perlembagaan Malaysia dan mengkiktiraf agama Islam sebagai agama Persekutuan.

DAP tidak timbulkan isu sekolah agama sebaliknya Cina Gerakan mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan sesetengah pihak ‘naik angin’. Tetapi reaksi PAS kepada pemipin Cina Gerakan dan Cina MCA lebih lembut berbanding kritikan keras  terhadap Cina DAP.


Apakah di Malaysia ini, pemimpin Islam boleh  mengamalkan treatment  berbeza kepada berbagai puak bukan Islam di negara majmuk ini?

Kalau mahu dibuat perbandingan, berdasarkan sejarah politik Malaysia dua dekad yang lalu, Cina DAP banyak membantu PAS bagi kerusi di Pantai Barat, walaupun tidak di Kelantan, Terengganu atau mungkin Kedah sebelum ini.

Malah, masih kita ingat dengan jelas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpeluk erat dengan pemimpin DAP ketika mula membentuk kerajaan di Terengganu selepas pilihan raya umum 199.

Pertanyaan juga apakah Cina Gerakan atau Cina MCA pernah bantu PAS dalam pilihan raya sebelum ini?

Cina DAP bukan baru dengan PAS.  Hampir selama  20 tahun lamanya, memang PAS dan DAP amat rapat.

Sokongan moral dan undi kepada PAS daripada penyokong DAP membuktikan segala-galanya. Kenapa Cina DAP dianggap sebagai musuh tetapi tidak Cina Gerakan dan Cina MCA?

Sedangkan pada 13 November 2016 lalu, MCA tetap membantah rang undang-undang (RUU) persendirian yang diusulkan Presiden PAS untuk memperkasakan Mahkamah Syariah bagi melaksanakan hukuman jenayah.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan bantahan parti itu terhadap RUU berkenaan pada perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-63, hari ini.

Liow berkata, cadangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu bertentangan Perlembagaan Persekutuan dan perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.

Terbaru, pada 8 Januari lalu, Liow menegaskan pendirian membantah rancangan PAS untuk menganjurkan satu himpunan mega bulan depan bagi memberi penerangan pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Menurut Presiden MCA itu, himpunan tersebut berkemungkinan mencetuskan perpecahan antara kaum.


“Kami menentang himpunan sekiranya ia memecahbelahkan masyarakat dan mencetuskan perpecahan dalam negara,” katanya.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini  menyifatkan himpunan mega yang dijadual 18 Februari depan itu sebagai medan untuk menghilangkan keraguan dan kebimbangan umum tentang pindaan Akta 355 itu.

PAS mengatakan mereka akan  menganjurkan satu himpunan mega untuk memberi penerangan mengenai pindaan itu yang lebih dikenali sebagai RUU355 di Dataran Merdeka pada 18 Februari ini.

Katanya, masyarakat Cina amat terganggu dengan RUU itu yang dilihat akan membuka jalan kepada pelaksanaan hukuman jenayah hudud untuk kesalahan Islam.
Liow menyalahkan pesaing parti itu, DAP kerana membantu PAS mencapai kuasa dan pengaruh sekarang.
Beliau berkata, PAS tidak pernah memenangi kerusi di Dewan Undangan Negeri Selangor antara 1978 hingga 2004.

“Bagaimanapun, pada 2008, PAS tiba-tiba memenangi  Lapan (8) kerusi, terima kasih kepada sokongan DAP. Lebih buruk lagi, pada 2013, PAS menang lebih banyak kerusi.

 Kenyataan MCA ini membuktikan parti komponen itu ‘masih menentang’ Akta 355 yang sebelum ini pemimpinnya mengancam akan meletakkan jawatan dalam Kabinet.

Sedangkan DAP belum memberikan sebarang kenyataan mengenai hasrat PAS itu, walaupun ia turut menentang Akta 355.

Sebenarnya antara Cina MCA dengan Cina Gerakan tidak jauh sifat mereka. Gerekan turut menentang RUU355.

Malah baru-baru ini Gerakan melalui Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau membuat kenyataan bersifat ‘menentang sesuatu yang ada kaitan dengan isu Islam’ yang kebanyakan pihak Islam tidak boleh boleh dimaafkan beliau kerana kenyataan itu.

Dominic menggesa kerajaan untuk mengkaji semula dasar-dasar sekolah agama yang dibiayai kerajaan, selain mendakwa sebagai ia salah satu ancaman perpaduan dalam negara.

PAS tidak payah bermain sandiwara dalam dua isu terbaru di mana kenyataan pemimpin PAS tidak konsisten apabila melibatkan pemimpin Cina Gerakan dan pemimpin Cina MCA berbanding pemimpin Cina DAP.

Kerajaan Negeri Kelantan kononnya mahu Dr Dominic memohon maaf secara terbuka di atas kenyataan yang dikeluarkannya melibatkan sekolah agama sebelum ini.



Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kenyataan tersebut tidak relevan, tidak bertanggungjawab dan lahir dari sikap prejudis yang terlampau.

Katanya, sebagai contoh, lihat sendiri di Kelantan, ada banyak sekolah agama. Malah negeri Kelantanlah yang paling harmoni dari sudut hubungan antara kaum.

“Sewaktu peristiwa hitam 13 Mei 1969, rusuhan antara kaum berlaki dalam negara, tidak setitik pun darah tumpah di bumi ini. Ini buktinya tuduhan beliau itu tidak masuk akal,”katanya.

Komen pemimpin PAS terhadap Dr Dominic jelas ‘layu’ seperti menjaga hati rakan mereka – UMNO -.

Bayangkan jika pemimpin DAP yang berkata demikian, pasti mereka akan ‘dilipat’ habis-habisa.
Pemimpin PAS mempertahankan siapa?

Pemimpin PAS tidak akan membidas Cina MCA dan Cina Gerakan sehebat Cina DAP kerana mereka perlu menjamin UMNO tidak terasa sangat.

Apa-apa komen dan ulasan mengenai apa juga kenyataan pemimpin MCA dan Gerakan dibuat berhati-hati agar keakraban Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang semakin menonjol dengan  Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib tidak terjejas.

Itulah sebenarnya ‘talam dua’ muka yang sedang dimainkan oleh pemimpin PAS yang terpaksa ‘menjaga lidahnya’ jika mengulas kenyataan Cina MCA dan Cina Gerakan tetapi akan melepaskan geram habis-habisan apabila membuat kenyataan mengenai DAP.

Itulah sikap dan ciri-ciri sebenar PAS sekarang yang sudah banyak berubah selepas ‘bercium mulut’ hampir 20 tahun dalam pakatan pembangkang seelum ini.


No comments: