Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
menyediakan 7,000 tempat bagi pelajar tanpa had umur untuk pengambilan bulan
Februari dan September ini menerusi program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH)
kendaliannya.
Naib Canselornya, Datuk Dr Mortaza Mohamed, berkata calon
PSH akan mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana, sarjana dan doktor
falsafah bidang keusahawanan, perdagangan, penternakan dan pertanian di UMK
selain turut mendapat bimbingan Persekutuan Asia Timur Pembelajaran Dewasa
(EAFAE) yang diasaskan Korea Selatan.
"Program bukan konvensional ini memberi peluang
kepada masyarakat mendapat pendidikan di peringkat lebih tinggi, menambah
kemahiran dan sekali gus meningkatkan sosio ekonomi dan kualiti hidup mereka
melalui pendidikan," katanya ketika ditemui pada Persidangan EAFAE di Kota
Bharu semalam.
Turut hadir, Presiden EAFAE, Prof Choi Donmin dan
Pengarah Program EAFAE UMK, Prof Dr Ng Siew Foen. Katanya, peluang tawaran
pengajian itu wajar direbut oleh pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS)
dan individu yang ingin memperbaiki taraf hidup.
Bagi Donmini, penyertaan Malaysia sebagai ahli EAFAE
sejak 2012 adalah tepat bagi menggalakkan rakyat meneruskan pembelajaran tanpa
menjadikan umur sebagai penghalang.
"Program PSH sangat penting bagi mengubah negara ke
arah lebih baik dan maju melalui kesedaran pendidikan, seperti di Korea
Selatan, kita dapati hanya tiga peratus daripada rakyat yang tidak tahu membaca
yang terdiri daripada warga emas," katanya.
Beliau berkata, dengan adanya program PSH golongan
berkenaan dapat dibantu sekali gus taraf hidup menjadi lebih baik.
Sementara itu, persidangan julung kali diadakan di
Malaysia ini berlangsung selama tiga hari dan berakhir hari ini dengan
penyertaan 16 delegasi daripada negara Asia termasuk Taiwan, Korea Selatan,
Singapura, Jepun dan Thailand serta 60 peserta tempatan.
No comments:
Post a Comment