Tuesday, July 4, 2017

Kit Siang Noktahkan PH, Karier Husam Dalam Politik Kelantan?


Pakatan Harapan (PH) Kelantan semalam dan kelmarin menerima sindiran dan kata-kata pedas daripada dua pemimpin PAS negeri itu.

Ini berikutan kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah menamakan Husam sebagai Menteri Besar jika pakatan itu menang dalam PRU-14.

Kelmarin, PAS menyifatkan PH yang dikatakan diketuai DAP tidak sesuai menggantikan Barisan Nasional (BN) untuk memerintah negara selagi mereka tidak mengubah sikap.

Semalam pula Dewan Pemuda PAS Kelantan secara sinis mengucapkan tahniah kepada bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Husam Musa kerana dipilih oleh ‘ketua’ Pakatan Harapan, DAP sebagai bakal Menteri Besar negeri ini sekiranya gabungan pakatan pembangkang tersebut menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Bagaikan melepaskan geram kepada Husam, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, sikap sering bersaing untuk me­nunjukkan kekuatan masing-masing dan tidak menghormati parti-parti lain dalam gabungan telah menyukarkan hasrat tersebut.

Beliau berkata, perkara itu dibuktikan apabila DAP tanpa menghiraukan sekutunya untuk menamakan Datuk Husam Musa sebagai Menteri Besar Kelantan sekiranya mereka menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Itulah sikap sebenar DAP yang telah difahami oleh Pas sejak sekian lama. Sebab itu kita berpisah dengan mereka kerana kita tahu DAP ini apabila merasakan dia kuat, dia akan menguasai.

“Kalau DAP saling menghormati parti-parti lain, dia tidak akan mudah untuk menentukan mana-mana parti yang layak menjadi Menteri Besar.

“Jadi, apa yang Pas kata sebelum ini telah terbukti berlaku dalam PH. Sekarang PH dilihat sering bersaing untuk berada di depan, bagi saya, kalau mereka terus dengan sikap ini, masih tidak sesuai untuk mereka menggantikan BN,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka PAS Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV Kota Bharu.

Dalam ceramah Pakatan Harapan di Dewan Perniagaan Cina di Kota Bharu awal minggu ini,  Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah menamakan Husam sebagai Menteri Besar jika pakatan itu menang dalam PRU-14.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari pula berkata, pengumuman oleh Kit Siang mengenai pemilihan Husam itu adalah satu pengiktirafan dan penghormatan yang besar.

Beliau berkata, pemilihan Husam itu juga jelas menunjukkan bahawa DAP mempunyai kuasa untuk menentukan siapa pemimpin di negeri ini manakala parti lain seperti AMANAH dan PPBM hanya ‘pak turut’.

“Kami Pemuda Pas Kelantan merakamkan ucapan ‘tahniah’ kepada Husam kerana bakal dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan kerana bukan mudah untuk mendapat pengiktirafan daripada pemimpin agung itu sekali gus penghormatan daripada DAP.
“Jarang anak Melayu menerima pengiktirafan seperti ini,” katanya ketika ditemui dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir DI Pasir Mas semalam.

Ahmad Fadhli berkata, agak mustahil untuk Husam menjadi Menteri Besar di negeri ini kerana rakyat sudah membuat keputusan untuk menolak pemimpin atau mana-mana pihak yang bersekutu dengan DAP.

Katanya, malah pengumuman Kit Siang itu bertambah sukar untuk direalisasikan kerana Husam dikatakan ditolak oleh Istana Kelantan untuk dilantik dalam kerajaan negeri sebelum ini.


 “Bagi saya, pengumuman yang dibuat oleh Kit Siang ini akan menoktahkan karier Husam dalam politik Kelantan kerana rakyat negeri ini jelas menolak kepemimpinan DAP,” katanya.