Showing posts with label Gering. Show all posts
Showing posts with label Gering. Show all posts

Thursday, September 16, 2010

AKUR PEMASYHURAN SULTAN DEMI KEHORMATAN ISTANA

Minda Pengarang BERITA HARIAN

KONTROVERSI melanda Istana Kelantan sejak lebih setahun lalu akhirnya terungkai kelmarin, apabila Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra, secara rasminya dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 bagi menggantikan ayahanda baginda, Tuanku Ismail Petra. Krisis pengganti Sultan di Istana Kelantan tercetus ekoran Tuanku Ismail Petra yang gering sejak Mei tahun lalu. Masalah kesihatan berpanjangan itu menyebabkan baginda tidak dapat melaksanakan tugas dengan sempurna dan memerlukan pengganti.

Pelantikan Tengku Muhammad Faris, 41, dibuat mengikut Perkara 23A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua). Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang bersidang kelmarin, sebulat suara memilih dan mengesahkan Tengku Muhammad Faris sebagai Raja memerintah dan menaiki takhta kerajaan Kelantan. MPN berpendapat Tuanku Ismail Petra yang gering memerlukan pengganti baginda untuk dilantik sebagai Sultan. Dengan pemasyhuran itu, adalah wajar semua pihak akur kerana persetujuan dicapai sebulat suara 15 ahli MPN Kelantan yang hadir.

Kita percaya seluruh rakyat Kelantan pasti lega dan berharap kemelut membelenggu Istana Kelantan selama ini berakhir secepat mungkin. Mereka juga pasti tidak mahu sebarang kenyataan yang bercanggah dikeluarkan oleh mana-mana pihak selepas ini kerana ia boleh mengelirukan rakyat dan menjejaskan nama baik institusi istana sendiri.

Pemasyhuran itu juga mampu menghapuskan percanggahan pendapat berhubung siapa yang lebih berhak menaiki takhta Istana Kelantan dan menamatkan pertelingkahan di kalangan kerabat istana. Melihat majlis pemasyhuran Tengku Muhammad Faris yang berjalan lancar di Balai Rong Seri Istana Balai Besar, di Kota Bharu, kelmarin, kita percaya baginda diterima baik seluruh pemimpin tertinggi Kelantan dan rakyat jelata negeri itu. Pengisytiharan pelantikan baginda disempurnakan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Namun, kita tidak menolak kemungkinan ada beberapa individu masih tidak berpuas hati dan mempersoal pelantikan Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang sah. Ini terbukti apabila sehari sebelum istiadat pemasyhuran, dilaporkan dua petisyen difailkan di mahkamah bagi mencabar pelantikan Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang baru.

Pihak yang menentang pelantikan itu menegaskan bahawa pemasyhuran itu tidak sah kerana Tuanku Ismail Petra masih Sultan Kelantan yang sah kerana baginda tidak pernah melepaskan takhtanya. Mereka menjelaskan Sultan Kelantan hanya boleh diganti atas tiga sebab iaitu jika baginda mangkat, menghilangkan diri dari negeri tanpa alasan munasabah atau jika baginda turun daripada takhtanya. Apa pun kita berharap dengan pelantikan Sultan Kelantan yang baru ini memulihkan imej institusi Istana Kelantan, kecelaruan serta suasana tidak menentu di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Seperti kata Nik Aziz: “Sekiranya ada tukul atau pahat yang masih berbunyi, diminta simpanlah dalam kotak masing-masing.” Mesej yang ingin disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan itu cukup jelas kerana beliau mahu mengembalikan suasana tenang di Istana Kelantan seperti sebelumnya. Sewajarnya sebarang masalah yang timbul selepas ini diselesaikan secara dalaman demi memelihara kehormatan institusi istana dan kerabat diraja sendiri.

Wednesday, September 15, 2010

TUANKU ISMAIL PETRA MASIH GERING?

Adinda Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra, Tengku Mohamad berkata keadaan kesihatan Tuanku Ismail masih dalam kegeringan dan memerlukan rawatan berterusan.

Sehubungan itu, beliau menolak khabar angin yang bertiup kencang di kalangan rakyat negeri ini kononnya Tuanku kini dimasukkan semula ke sebuah hospital di negeri ini sejak beberapa hari lalu.

Tengku Mohamad berkata, sebagaimana pesakit angin ahmar dan jantung, baginda memerlukan rawatan lanjut atau susulan yang berterusan.

"Tetapi baginda tidak dimasukkan ke hospital semula sebagaimana dakwaan yang mengatakan demikian," katanya semalam.

Tuanku Ismail Petra gering sejak Mei tahun lalu, dan telah menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian; dan Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Tengku Mohamad menasihati rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan khabar-khabar angin serta akur kepada keputusan pemasyhuran Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuatkuasa kelmarin (13 September 2010).

"Kita harap tidak ada lagi pihak yang mempertikaikan keputusan itu dan kena akur dengan peraturan yang ditetapkan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan," kata beliau.

Tengku Mohamad kesal kerana masih terdapat suara-suara sumbang mempertikaikan keputusan Majlis Perajaan Negeri berhubung pemasyhuran itu.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Aiseri Alias berkata pemasyhuran Tengku Muhammad Faris adalah selaras dengan Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan berikutan keadaan ayahanda baginda Sultan Ismail Petra yang gering sejak lebih setahun lalu.

Katanya, mengikut peruntukan Perkara 23A,Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua), menyatakan jika setelah siasatan dilakukan, Majlis Perajaan Negeri berpendapat raja mempunyai kecacatan yang besar, maka seorang pengganti hendaklah dipilih untuk menjadi raja mengikut syarat-syarat tertentu.

"Majlis Perajaan Negeri dalam sidangnya hari ini berpendapat bahawa keadaan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra sekarang ini memerlukan seorang pengganti dipilih dan dilantik untuk menjadi Raja bagi menggantikan baginda mengikut Perkara 23A Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).

"Keputusan Majlis Perajaan Negeri tersebut telah dibuat secara sebulat suara oleh 15 orang anggota majlis yang hadir pada pagi tadi yang mengikut peruntukan itu telah memilih, melantik dan mengesahkan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra menjadi Raja yang memerintah," katanya pada sidang akhbar di Istana Negeri, Kubang Kerian selepas Majlis Penghadapan Penyerahan Watikah Pemasyhuran Kepada Sultan Kelantan yang baru itu.

Pada tengah kelmarin, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengumumkan pemasyhuran itu di Balai Rong Seri Istana Balai Besar di sini yang turut dihadiri Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.

Aiseri berkata Perkara 23A Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan adalah peruntukan pindaan yang telah diwartakan pada 22 Julai lalu setelah Majlis Penasihat Raja bersidang pada 18 Julai bagi membolehkan pindaan Bahagian Yang Kedua undang-undang tersebut melalui Perwawai.

"Pindaan tersebut amat perlu bagi mengatasi kelompongan dalam Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan berkaitan kegeringan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra yang bermula pada 14 Mei 2009 sehingga sekarang dan dikhuatiri ianya terus berlanjutan," katanya.

Katanya antara kuasa dan syarat pada pindaan itu adalah berkaitan pembuangan, menarik balik atau menurunkan daripada takhta Raja itu atau bakal Raja atau bakal-bakal Raja dan pelantikan dan sifat seseorang bakal atau bakal-bakal Raja kepada takhta kerajaan, Raja Perempuan atau Pemangku Raja ataupun anggota Majlis Pangkuan Raja bagi negeri.

"Saya berharap dengan kenyataan ini akan dapat memperjelaskan lagi tentang keputusan Majlis Perajaan Negeri sebagaimana yang disebutkan tadi," katanya.