Showing posts with label Pemasyhuran. Show all posts
Showing posts with label Pemasyhuran. Show all posts

Friday, October 15, 2010

PEMASYHURAN - BERI PENJELASAN ELAK KEKELIRUAN

Timbalan Ahli Majlis Perajaan (MPN) Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah berharap Istana Kelantan dan kerajaan negeri dapat memberi penjelasan kepada rakyat untuk memulihkan kekeliruan yang timbul selepas pemahsyuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru.

Katanya, beliau secara peribadi tidak mempunyai halangan mengenai pemasyhuran itu sekiranya ia dibuat dengan betul, namun berpendapat penjelasan perlu dibuat untuk memperbaiki imej institusi Istana Kelantan.

"Ini terpulang kepada pihak istana dan kerajaan negeri untuk memberi penerangan kepada rakyat (mengenai pemasyhuran berkenaan). Baguslah pemahsyuran itu telah dibuat kalau ia ikut perlembagaan negeri," katanya ketika ditemui semalam.


Tengku Muhammad Faris Petra telah dimahsyurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu dalam satu istiadat di Istana Balai Besar dan kini dikenali sebagai Sultan Muhammad V.

Pemasyhuran baginda telah mendapat persetujuan sebulat suara Ahli MPN yang bermesyuarat sebelum itu, tetapi tanpa kehadiran Tengku Razaleigh.

Baginda sebelum ini dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan sejak 25 Mei lalu berikutan kegeringan yang melanda ayahanda baginda, Tuanku Ismail Petra.

Pemasyhuran baginda bagaimanapun mencetus persoalan di kalangan rakyat jelata memandangkan banyak laporan sebelum ini menyatakan Tuanku Ismail Petra semakin sembuh dan masih merupakan Sultan Kelantan.

Kekeliruan yang timbul semakin terserlah apabila barisan peguam Tuanku Ismail Petra memfailkan petisyen di mahkamah bagi membantah keputusan berkenaan.

Penasihat Undang-Undang Istana Kelantan, Datuk Shukri Mohamad bagaimanapun dilaporkan berkata, pemasyhuran itu tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah kerana dibuat berdasarkan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.

Thursday, September 16, 2010

AKUR PEMASYHURAN SULTAN DEMI KEHORMATAN ISTANA

Minda Pengarang BERITA HARIAN

KONTROVERSI melanda Istana Kelantan sejak lebih setahun lalu akhirnya terungkai kelmarin, apabila Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra, secara rasminya dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 bagi menggantikan ayahanda baginda, Tuanku Ismail Petra. Krisis pengganti Sultan di Istana Kelantan tercetus ekoran Tuanku Ismail Petra yang gering sejak Mei tahun lalu. Masalah kesihatan berpanjangan itu menyebabkan baginda tidak dapat melaksanakan tugas dengan sempurna dan memerlukan pengganti.

Pelantikan Tengku Muhammad Faris, 41, dibuat mengikut Perkara 23A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua). Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang bersidang kelmarin, sebulat suara memilih dan mengesahkan Tengku Muhammad Faris sebagai Raja memerintah dan menaiki takhta kerajaan Kelantan. MPN berpendapat Tuanku Ismail Petra yang gering memerlukan pengganti baginda untuk dilantik sebagai Sultan. Dengan pemasyhuran itu, adalah wajar semua pihak akur kerana persetujuan dicapai sebulat suara 15 ahli MPN Kelantan yang hadir.

Kita percaya seluruh rakyat Kelantan pasti lega dan berharap kemelut membelenggu Istana Kelantan selama ini berakhir secepat mungkin. Mereka juga pasti tidak mahu sebarang kenyataan yang bercanggah dikeluarkan oleh mana-mana pihak selepas ini kerana ia boleh mengelirukan rakyat dan menjejaskan nama baik institusi istana sendiri.

Pemasyhuran itu juga mampu menghapuskan percanggahan pendapat berhubung siapa yang lebih berhak menaiki takhta Istana Kelantan dan menamatkan pertelingkahan di kalangan kerabat istana. Melihat majlis pemasyhuran Tengku Muhammad Faris yang berjalan lancar di Balai Rong Seri Istana Balai Besar, di Kota Bharu, kelmarin, kita percaya baginda diterima baik seluruh pemimpin tertinggi Kelantan dan rakyat jelata negeri itu. Pengisytiharan pelantikan baginda disempurnakan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Namun, kita tidak menolak kemungkinan ada beberapa individu masih tidak berpuas hati dan mempersoal pelantikan Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang sah. Ini terbukti apabila sehari sebelum istiadat pemasyhuran, dilaporkan dua petisyen difailkan di mahkamah bagi mencabar pelantikan Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang baru.

Pihak yang menentang pelantikan itu menegaskan bahawa pemasyhuran itu tidak sah kerana Tuanku Ismail Petra masih Sultan Kelantan yang sah kerana baginda tidak pernah melepaskan takhtanya. Mereka menjelaskan Sultan Kelantan hanya boleh diganti atas tiga sebab iaitu jika baginda mangkat, menghilangkan diri dari negeri tanpa alasan munasabah atau jika baginda turun daripada takhtanya. Apa pun kita berharap dengan pelantikan Sultan Kelantan yang baru ini memulihkan imej institusi Istana Kelantan, kecelaruan serta suasana tidak menentu di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Seperti kata Nik Aziz: “Sekiranya ada tukul atau pahat yang masih berbunyi, diminta simpanlah dalam kotak masing-masing.” Mesej yang ingin disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan itu cukup jelas kerana beliau mahu mengembalikan suasana tenang di Istana Kelantan seperti sebelumnya. Sewajarnya sebarang masalah yang timbul selepas ini diselesaikan secara dalaman demi memelihara kehormatan institusi istana dan kerabat diraja sendiri.

Wednesday, September 15, 2010

PELANTIKAN TENGKU MUHAMMAD FARIS TIDAK BOLEH DICABAR - SHUKRI

Seorang anggota Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang juga seorang peguam terkenal, Datuk Mohd Shukri Mohamad (dua dari kanan) berkata majlis pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru semalam tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Katanya, ini kerana keputusan itu dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri Kelantan berdasarkan Pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

"Oleh itu, tiada pihak yang boleh mencabar keputusan MPN dalam urusan pelantikan atau pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru kerana ia dibuat mengikut perlembagaan di bawah undang-undang tubuh kerajaan Negeri," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Sultan Kelantan di Istana Balai Besar, di Kota Bharu, semalam.

Hadir sama pada sidang akhbar itu Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad.

Mohd Shukri yang mengaku dititahkan oleh Sultan Kelantan untuk mengendalikan sidang media itu juga turut merujuk kepada kenyataan media yang dibuat oleh seorang peguam dari firma guaman Tetuan Rashid Zulkifli mewakili Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra kelmarin yang mempertikaikan keputusan MPN mengadakan majlis pemasyuran pelantikan Sultan Kelantan yang baru itu.

Beliau berkata, pelantikan Tetuan Rashid Zulkifli sebagai peguam kepada Sultan Ismail Petra masih lagi dipertikaikan dan kini sedang dicabar.

"Ini merupakan suatu perkara yang akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan melalui petisyen No 1, 2010 dan Petisyen 2, 2010 ekoran ketidak upayaan Sultan Ismail (berikutan kegeringannya)," katanya.

Beliau mendakwa, tetuan Rashid telah gagal mengemukakan apa-apa keterangan perubatan untuk membuktikan Sultan Ismail Petra mempunyai keupayaan yang diperlukan untuk mengarahkan firma tersebut bertindak bagi pihak baginda berhubung dengan prosiding di depan Mahkamah Persekutuan sekarang.

"Tetuan Rashid juga gagal untuk mendedahkan apa-apa keterangan perubatan yang menunjukkan Sultan Ismail Petra mempunyai keupayaan untuk memahami kandungan petisyen dan afidavit yang didakwa difailkan di Mahkamah Persekutuan melalui petisyen no.1 2010 dan petisyen no.2 2010 terbabit," katanya.

Beliau berkata, Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) boleh dan telah dipinda dengan cara perisytiharan oleh Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan dengan izin dan persetujuan Majlis Penasihat Raja.

Mohd Shukri mendakwa, kedua-dua petisyen yang didakwa telah difailkan oleh Tetuan Rashid Zulkifli di Mahkamah Persekutuan bagi pihak Sultan Ismail Petra adalah tidak relevan dengan isu sama ada pindaan-pindaan berasaskan Perkara 3 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kelantan adalah sah atau tidak.

Di KUALA LUMPUR, pakar perlembagaan Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berkata, mengikut Perkara 63, Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, sebarang kekeliruan tentang pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan boleh diperjelaskan di bawah Mahkamah Persekutuan.

Pensyarah Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata Perkara 63 menyebut Sultan Kelantan boleh merujuk kepada Mahkamah Persekutuan jika sebarang keraguan ditimbulkan akibat salah tafsir berkenaan Perlembagaan Kerajaan Kelantan.

"Peruntukan Perkara 23(A) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) jelas menyatakan jika siasatan mendapati raja mempunyai kecacatan besar sehingga menjejaskan keupayaan memerintah, Majlis Perajaan Negeri (MPN) berhak mencari pengganti sultan.

"Walau bagaimanapun, saya pasti perkara ini akan dipersoalkan oleh pihak tertentu iaitu sama ada pindaan Perkara 23(A) pada 22 Julai lalu dilakukan di bawah keadaan sah atau tidak," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengumumkan pemasyhuran itu di Balai Rong Seri Istana Balai Besar Kelantan yang turut dihadiri Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.

Bagaimanapun, pemasyhuran tersebut dipertikai kekanda Sultan Ismail Petra, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra yang mendakwa pelantikan anak saudaranya itu tidak memenuhi syarat dan melanggar perlembagaan negeri.

Situasi tersebut sekaligus menyebabkan krisis keluarga diraja Kelantan semakin meruncing dan beberapa anggota kerabat yang menyokong Sultan Ismail Petra bertegas mahu membawa kes tersebut ke Mahkamah Khas Raja-Raja di Putrajaya.

Pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim menegaskan setiap negeri di Malaysia mempunyai perlembagaan tersendiri dan setiap kes harus ditangani mengikut perlembagaan dan undang-undang yang telah termaktub.

"Saya rasa yang paling penting, sejak 31 ogos 1957, setiap raja di negara ini telah menjadi Raja Perlembagaan dan perlembagaan tersebut haruslah dipatuhi.

"Walau bagaimanapun, sekiranya pihak yang menimbulkan keraguan berjaya membuktikan pelantikan tersebut tidak mengikut lunas-lunas perlembagaan, maka ianya tidak sah dan mahkamah berhak menentukan tindakan seterusnya," katanya.