Thursday, November 11, 2010

AIR - GANGGUAN BEKALAN LAGI

Beberapa kawasan di daerah Tanah Merah akan mengalami gangguan bekalan air esok (Jumaat).

Eksekutif Hal Ehwal Pelanggan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Hazwan Hassan berkata gangguan itu berikutan kerja-kerja penyelenggaraan dan pemasangan pam baru di Loji Rawatan Air Bukit Remah.

"Antara kawasan yang terlibat ialah Bandar Tanah Merah, Jalan Jedok, Jalan Klinik, Manal, Padang Siam, Lubuk Rotan, Bukit Panau, Belimbing, Jalan Lubok, Bukit Gading, Bechah Laut, Jerangau, Temangan dan beberapa kawasan sekitarnya," katanya kepada Bernama pada hari Rabu.

Beliau berkata gangguan berkenaan akan bermula dari jam 8 malam sehingga 5 pagi keesokannya.

Hazwan berkata bekalan dijangka pulih secara berperingkat dalam tempoh tujuh hari selepas kerja-kerja siap dilaksanakan.

AKSB menasihatkan pengguna agar menyimpan air mencukupi untuk mengelakkan sebarang kesulitan.

Untuk pertanyaan lanjut, pengguna boleh menghubungi PINTAS di talian 1300-88-2572.

BAPA TUJUH ANAK DIHUKUM MATI

Mahkamah Tinggi Kota Bharu , semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang bapa kepada tujuh anak selepas didapati bersalah mengedar 68.72 gram dadah jenis methamphetamine kira-kira tiga tahun lalu.

Hakim Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Marzuki Ismail, 42, selepas berpuas hati terhadap kes dikemukakan pihak pendakwaan tanpa sebarang keraguan munasabah. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Rehan Mohd Aris.

Mengikut pertuduhan, Marzuki bersama seorang lelaki yang sudah meninggal dunia, didakwa mengedar 68.72 gram dadah bersamaan 3,940 pil methamphetamine kira-kira jam 11 pagi di sebelah sebuah restoran tomyam dekat Jalan Pasir Mas-Salor, pada 16 Mac 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Sebaik hukuman itu dijatuhkan, tertuduh yang juga seorang peniaga, hanya menundukkan kepala sejurus mendengar keputusan mahkamah, manakala beberapa wanita dipercayai ahli keluarga terdekat yang berada di galeri awam kelihatan menangis teresak-esak.

Sebelum itu, Marzuki menerusi peguam bela dilantik mahkamah, Tara Singh, merayu kepada mahkamah agar mengetepikan hukuman terbabit dengan alasan anak guamnya itu mempunyai dua isteri dengan salah seorang daripadanya sudah meninggal dunia, mempunyai tujuh anak di bawah tanggungannya.

Dalam penghakimannya, Azman berkata, mahkamah tidak mempunyai cara lain untuk menggantikan hukuman atas kesalahan dilakukan tertuduh, melainkan digantung sampai mati.

“Pembelaan tertuduh hanya bersifat penafian semata-mata dan dalam kes yang melibatkan dadah, mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa kesalahan dilakukan oleh tertuduh adalah serius dan turut mengambil kira kepentingan awam melangkaui kepentingan peribadi,” hujahnya.

Wednesday, November 10, 2010

PROJEK LEMBAH SIRIH BERMASALAH

Kerajaan Pas Kelantan akan mengkaji semula perjanjian Projek Lembah Sireh dekat Kota Bharu yang bermasalah apabila pemaju hanya berjaya melaksanakan 50 peratus projek itu setakat ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri sehingga kini hanya menerima bayaran sebanyak RM7,357,883 daripada pihak pemaju sejak projek tersebut dilaksanakan.

Beliau berkata, jumlah tersebut adalah sebahagian daripada bayaran yang dipersetujui dalam perjanjian antara kerajaan negeri dan pihak pemaju dengan ada beberapa item yang belum dijelaskan kepada kerajaan.Projek Lembah Sireh melibatkan pembangunan dan pengindahan di tebing Sungai Kelantan yang membabitkan kos kira-kira RM2 bilion.

Pembangunan projek berkenaan membabitkan kawasan seluas 400 hektar meliputi jajahan Kota Bharu dan Tumpat.

Antara komponen yang akan dimajukan termasuk projek perumahan, taman rekreasi, pusat peranginan, hotel, kemudahan marina dan pusat air, taman awam dan jambatan merentangi Sungai Kelantan di Kampung Cina.

Selain itu, ia turut melibatkan pembinaan rumah kedai komersial, pelbagai kemudahan sosial untuk penduduk tempatan, kompleks membeli belah antarabangsa, bangunan pejabat, pusat komersial, lingkaran jalan ke semua arah ke bandar Kota Bharu, water front, laluan pejalan kaki dan jeti awam.

Bagaimanapun sehingga kini, antara bangunan yang terdapat di Lembah Sireh adalah pasar raya Tesco, terminal bas dan beberapa blok komersial yang kebanyakannya masih kosong atau dalam pembinaan.

"Oleh kerana projek ini hanya 50 peratus dapat disiapkan, kita anggap ia sebagai projek yang bermasalah dan kerajaan sedang membuat kajian untuk mendapatkan pulangan seperti dijanjikan dengan keluasan 50 peratus tanah yang telah ditimbus semula," katanya menjawab soalan tambahan Mohd. Adhan Kecik (BN-Bukit Bunga) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Bharu, semalam.

Menjawab soalan sama ada kerajaan bercadang menamatkan perjanjian dengan pemaju memandangkan pecah kontrak berlaku secara serius dan memakan masa yang lama, Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Pembangunan Tanah dan Wilayah negeri berkata, ia akan dibincangkan dengan penasihat undang-undang untuk membuat semakan secara terperinci.

"Sebarang tindakan yang diambil hendaklah berasas pada perjanjian dan fakta-fakta yang ada," katanya.