Saturday, September 14, 2013

Keberanian Najib Angkat Agenda Bumiputera Ke Tahap Lebih Tinggi Wajar DiSokong


"Bumiputera yang mewakili 67.9 peratus warganegara Malaysia seramai 27.4 juta orang, perlu menjadi teras kepada agenda nasional dan tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.,,Sesungguhnya, sebarang prakarsa (inisiatif) bersifat nasional yang tidak mengambil kira atau mengabaikan agenda Melayu serta Bumiputera, adalah tidak adil dan tidak saksama."
 - Datuk Seri Najib Tun Razak 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, sekali lagi mengangkat Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional dengan menempatkannya di tahap yang lebih tinggi.

Beliau mengumumkan lima strategi utama bagi memperkasa Ekonomi Bumiputera, meliputi modal insan, pemilikan ekuiti, pemilikan aset bukan kewangan, keusahawanan dan penyampaian perkhidmatan.


"Melayu dan Bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Sesungguhnya, sebarang prakarsa bersifat nasional yang tidak mengambil kira atau mengabaikan agenda Melayu serta Bumiputera, adalah tidak adil dan tidak saksama," katanya.

Menjiwai pentingnya perjuangan Bumiputera, Najib memetik Tujuh Wasiat oleh Sembilan Raja-Raja Melayu sebagai sesuatu yang sangat jelas dan tidak boleh dipertikaikan.

Katanya Raja-Raja Melayu yang memperkenan perjanjian kemerdekaan untuk menubuhkan sebuah Persekutuan. Najib Tun Razak menyifatkan "Wasiat ini sangat terang lagi bersuluh."

Presiden Umno itu pada pelancaran agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera hari ini dengan lantang menyebut wasiat itu yang berbunyi: “Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain."

Najib berkata Wasiat itu telah menyatakan tentang ekuiti dan pemilikan orang Melayu dan kemudiannya diperluaskan kepada Bumiputera, melalui penyertaan Sabah dan Sarawak apabila Malaysia dibentuk 50 tahun lepas.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata, Bumiputera yang mewakili 67.9 peratus warganegara Malaysia seramai 27.4 juta orang, perlu menjadi teras kepada agenda nasional dan tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.

"Sesungguhnya, sebarang prakarsa (inisiatif) bersifat nasional yang tidak mengambil kira atau mengabaikan agenda Melayu serta Bumiputera, adalah tidak adil dan tidak saksama," katanya.

Sejak Merdeka, kata Perdana Menteri, semua perancangan serta dasar ekonomi Melayu dan Bumiputera oleh pihak kerajaan telah digubal berasaskan perhitungan komposisi masyarakat majmuk tersebut.

Secara prinsipnya, perkara dan amalan ini telah diterima pakai sebagai satu kontrak sosial sejak sekian lama oleh seluruh rakyat Malaysia, seperti dipersetujui oleh bapa-bapa pengasas negara kita terdahulu.

"Mereka dilindungi, dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan melalui "Perkara 153, Perkara 160 kurungan 2, Perkara 161A kurungan 6 sub kurungan a. Juga Perkara 161A kurungan 6 sub kurungan b," kata Najib.

Banci Penduduk dan Perumahan 2010, menunjukkan Orang Melayu dan Bumiputera Islam berjumlah 59.7 peratus, manakala Bumiputera Bukan Islam pula 7.6 peratus daripada jumlah rakyat keseluruhannya.

Unjuran terkini setakat 2012 juga menganggarkan warganegara Malaysia seramai 27.4 juta orang, dengan Bumiputera seramai 18.6 juta atau 67.9 peratus, katanya.

Pada 1970, Bumiputera berjumlah 6.1 juta atau 56 peratus daripada penduduk, dengan Melayu terdiri daripada sembilan suku kaum utama, Orang Asli pula terbahagi kepada 18 kategori, Bumiputera Sabah sebanyak 40 suku, manakala di Sarawak terdapat sejumlah 60 etnik.

Oleh itu, beliau berkata perkara ini sangat mustahak untuk difahami dengan sebaik-baiknya oleh semua pihak bahawa "kita sentiasa menginsafi dan beringat-ingat tentang Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional." 


"Ini kerana, jika sekiranya kaum majoriti Bumiputera tidak dibela dan berasa diri mereka terancam atau dipinggirkan, negara tidak akan mengecapi keamanan, kestabilan, dan kita tidak mungkin mencapai impian menjadi negara maju yang sejahtera dan sentosa seperti yang didambakan pada tahun 2020," kata Perdana Menteri.

Mengimbas sejarah, Najib berkata telah dibuktikan dalam pembangunan ekonomi negara, terutama sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan, bukan sahaja orang Melayu dan Bumiputera, bahkan semua rakyat Malaysia berkongsi nikmat, meraih manfaat bersama, hasil daripada pembangunan ekonomi negara. 

"Jelasnya, ini kita lakukan bukanlah dengan mengambil, atau menidakkan hak sesiapa, tetapi sebenarnya melalui penciptaan kekayaan baharu dan penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mampan," katanya.

Katanya Tawarikh (sejarah) dunia juga telah menunjukkan bagaimana jika sesebuah Kerajaan itu gagal memainkan peranan proaktif sebagai pengimbang sosioekonomi secara adil dan saksama, antara mereka yang memiliki dan tidak memiliki, antara pemodal dan pekerja, antara tuan punya tanah dan penyewa, antara pekerja kolar putih dan kolar biru, telah dan sedang membawa malapetaka.

DEB diperkenalkan pada tahun 1971 oleh Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein bagi menangani isu ketidakseimbangan sosioekonomi antara etnik dan pembasmian kemiskinan berikutan tragedi 13 Mei, 1969.

Ekonomi Bumiputera diperkukuh melalui DEB yang telah dilaksanakan dari 1971 hingga 1990, di samping 10 Rancangan Malaysia, tiga Rancangan Jangka Panjang, yang dilaksanakan sepanjang tempoh 1965 hingga 2010.

Dasar Pembangunan Nasional pula, melewati tempoh-tempoh tahun 1991 sehingga tahun 2000 diikuti Dasar Wawasan Nasional merentasi tahun 2001 sehingga 2010.

Najib juga turut melancarkan Dasar Transformasi Nasional, semasa membentangkan Belanjawan 2010, sebagai paksi pengukuhan dan pemangkin untuk mencapai Wawasan 2020.

Sejak Merdeka, Najib berkata Kerajaan telah mewujudkan pelbagai instrumen dan institusi untuk kelangsungan hidup Melayu dan Bumiputera, termasuk Bank Bumiputera, Lembaga Urusan Tabung Haji, MARA, FELDA, RISDA, FELCRA, UDA, PERNAS, DARA, JENGKA, KETENGAH dan KESEDAR.
Mengenang usaha pemimpin terdahulu, Najib berkata Perdana Menteri Ketiga Tun Hussein Onn telah menubuhkan Permodalan Nasional Bhd dan melancarkan Skim Amanah Saham Nasional.

"Kepentingan Bumiputera telah diperkukuhkan lagi oleh Perdana Menteri Keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui Dasar Penswastaan dan Wawasan 2020, yang menjadi landasan perjalanan negara kini. 

"Perdana Menteri Kelima pula, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mewujudkan Koridor-Koridor untuk merancakkan pembangunan ekonomi wilayah," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan, melancarkan Model Baru Ekonomi (MEB), yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi, dengan pertumbuhan yang saksama, dan menyaksikan masyarakat Melayu dan Bumiputera setanding dengan masyarakat lain apabila fajar negara maju menyingsing kira-kira tujuh tahun lagi.

MEB memperkenal pendekatan pembangunan secara inklusif berasaskan prinsip pertumbuhan dengan kesaksamaan, bagi memastikan semua masyarakat di Malaysia memperoleh manfaat daripada pembangunan ekonomi dan kekayaan negara, kata Presiden Umno itu.

Melihat ke hadapan, Najib berkata Rancangan Malaysia Ke-10 bermula 2011 hingga 2015, bertujuan menyediakan peluang yang adil kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira etnik mahupun latar kedudukan geografi, untuk terlibat sama dalam semua aktiviti ekonomi.

"Ini adalah berasaskan kepada prinsip mesra pasaran, berasaskan keperluan, telus dan meritokrasi. Akan tetapi meritokrasi yang kita maksudkan di sini adalah persaingan dalam kalangan Bumiputera," katanya. 

Kerajaan juga telah memperkenal Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi bagi membentuk ekosistem pembangunan ekonomi negara yang teguh dan berdaya tahan. Hasil pelaksanaan program transformasi, pertumbuhan ekonomi negara terus mencatat pertumbuhan yang kukuh dalam situasi ekonomi global tidak menentu.

Dari tahun 2011 hingga 2012, kadar pertumbuhan ekonomi negara berkembang masing-masing sebanyak 5.1 dan 5.6 peratus. "Pertumbuhan secara berterusan begini amat penting disebabkan pertumbuhan ini akan membolehkan agihan kekayaan negara dapat disalurkan kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Najib berkata melalui perancangan ekonomi yang rapi dan bijaksana, taraf hidup Bumiputera juga telah meningkat. Ia dibuktikan dengan pendapatan purata bulanan isi rumah Bumiputera naik daripada RM172 pada tahun 1970-an kepada RM4,457 pada 2012 atau hampir 2,500 peratus dalam jangka masa 42 tahun, kata Najib.

Kadar kemiskinan Bumiputera pula telah berkurangan daripada 64.8 peratus pada tahun 1970-an kepada 2.2 peratus pada 2012, katanya. Menurut Najib pemilikan ekuiti syarikat korporat Bumiputera juga telah meningkat daripada hanya 2.4 peratus pada tahun 1970-an kepada 23.5 peratus pada 2011.

Perdana Menteri juga berkata kecuali dalam beberapa sektor guna tenaga tertentu, bilangan tenaga kerja Bumiputera dalam kategori profesional, terutama golongan bertauliah seperti doktor perubatan, jurutera dan peguam, sudah menghampiri peratusan komposisi kaum.

Ini membuktikan, DEB, sebagai langkah awal berjaya menangani jurang antara kaum dalam usaha membangunkan sosioekonomi masyarakat Bumiputera. "Jelasnya, sepanjang lebih empat dekad, masyarakat Bumiputera telah melalui Fasa Pertama Transformasi," katanya.

Namun begitu, Najib berkata Kerajaan sedia maklum bahawa masih wujud jurang ketidaksaksamaan pendapatan antara etnik, dengan tahun 2012, pendapatan purata bulanan kaum Cina lebih tinggi berbanding Bumiputera pada nisbah 1 kepada 1.43 kali ganda.

"Dalam konteks pemilikan ekuiti syarikat korporat pula, kita masih belum mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus. "Keberkesanan kawal kita ke atas syarikat korporat kini hanyalah pada sekitar 10 peratus," katanya.

Namun, kerajaan memahami bahawa penglibatan masyarakat Bumiputera dalam aktiviti keusahawanan masih tidak signifikan dan majoritinya hanya berada pada tahap usahawan kecil dan mikro, kata Najib.

Pada majlis itu, Najib sekali lagi merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang terus memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional untuk menerajui kepimpinan negara. Penghargaan diberikan Presiden Umno itu terutama kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera yang beliau sifatkan telah "menunjang, mandat serta kepercayaan" kepada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

"Yang lebih mengharukan ialah Umno sebagai parti tonggak kepada Barisan Nasional, berjaya menambah kerusi Parlimennya, daripada 79 kepada 88," katanya.

"Ini membuktikan, walau apa pun rintangan, sekali apa pun tohmahan, Kepimpinan Transformatif Umno, bersama parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain terus kukuh, terus kental dan terus ampuh bertahan, sebagai parti pilihan rakyat, bagi tempoh lima tahun akan datang, demi meneruskan agenda Melayu dan Bumiputera di tanah air tercinta ini," kata Najib.

Presiden UMNO itu menegaskan, setelah selesai PRU lepas, "kita mendengar pelbagai rungutan, pelbagai keluh-kesah serta ketidakpuasan hati, yang dibangkitkan oleh masyarakat Bumiputera, tentang nasib, masa depan dan hala tuju, bersama anak-anak cucu mereka, di bumi tanah tumpah darah kita."

"Sememangnya, kita mendengar rintihan tuan-tuan dan puan-puan. Kita juga, menyelami denyut nadi serta resah gulana tuan-tuan dan puan-puan..., Ya... sesungguhnya!!!... kami mendengar (suara) anda... kami dapat mendengar dengan terang dan jelas," katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kabinet, ahli perniagaan Bumiputera, ahli akademik, dan ribuan penuntut di Dewan Agong Tuanku Canselor, Kampus Induk UiTM, di Shah Alam.

Sumber - Bernama

Saturday, April 27, 2013

Apabila 'Otak' Pemimpin, Perancang Ekonomi PAS Kelantan Jadi 'Buntu & Beku'


 "Seperti dibuktikan sejak lebih sedekad lalu, PAS Kelantan tidak mempunyai sumber yang mencukupi sehingga menyukarkan mereka untuk membuat janji....jika tidak kerana pembangunan di bawa oleh Kerajaan Pusat melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan, Kelantan sudah lama ranap."

Daripada hambali1

Pemimpin PAS Kelantan buntu dan mengharapkan wang royalti untuk membangunkan negeri.

Jika royalti tidak ditunaikan Kerajaan Pusat bermakna tidak adalah kegiatan ekonomi yang akan berlaku sepanjang lima tahun akan datang atau bila-bila selagi Kerajaan PAS memerintah.

Apakah ini cara terbaik PAS merancang untuk pembangunan Kelantan?

Apakah ini membuktikan pemikiran 'beku dan kering'' tokoh ekonomi PAS untuk membangunkan Kelantan?

Harapan PAS bukan sekadar 5 peratus tetapi mahu 20 peratus dan tuntutan seperti ini akan memudahkan untuk PAS Kelantan mengatakan Kerajaan Pusat Barisan Nasional zalim sedangkan mereka tidak perlu berbuat apa-apa.

Apakah dengan rakyat Kelantan yang begitu rajin dan berpotensi, pakar ekonomi PAS Kelantan tidak mampu menggemblengnya? Dengan kegagalan merancang dan merencana masa hadapan, sebilangan akyat Kelantan masih mahu mengekalkan PAS di Kelantan?

Saya bersetuju dengan pandangan pandangan Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Hassan Harun (kanan) berkata, PAS negeri kini 'tersangkut' dengan tuntutan royalti berkenaan.

Sedangkan, ia masih dalam rundingan menerusi Jawatankuasa Khas Petroleum yang ditubuhkan Kerajaan Pusat pada Ogos tahun lalu di mana negeri itu diwakili oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.

"Kalau tengok manifesto mereka, apabila dapat RM12 bilion (seperti yang dituntut oleh kerajaan negeri), maka mereka akan buat itu, buat ini. Ertinya PAS (Kelantan) tidak ada duit sendiri untuk membuat janji lebih daripada itu," katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

PAS Kelantan pada Selasa lalu, menawarkan sembilan perkara dalam manifesto PRU-13 mereka sekiranya mendapat mandat daripada rakyat untuk kekal memerintah negeri itu.

Bagaimanapun, tawaran itu lebih menumpukan soal royalti dengan menyatakan sebanyak 23 sub-tawaran hasil daripada tuntutan berkenaan akan dikongsi bersama rakyat.

Seperti dibuktikan sejak lebih sedekad lalu, PAS Kelantan tidak mempunyai sumber yang mencukupi sehingga menyukarkan mereka untuk membuat janji.

Malah, jika tidak kerana pembangunan di bawa oleh Kerajaan Pusat melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan, Kelantan sudah lama ranap.

Kelantan bernasib baik kerana masih ramai pegawai tinggi di Putrajaya dan agensi kerajaan Pusat terdiri daripada anak Kelantan yang bersimpati dan tidak mahu rakyat Kelantan terbiar miskin.

Katakan kalau Kerajaan Pusat mahu bertindak zalim dan membiarkan Kelantan menderita kerana kesombongan dan keangkuhan sebahagian rakyatnya yang menyokong PAS, rasanya sudah ada tun juk perasaan menuntut Kerajaan Pusat menghentikan ‘sekatan-sekatan’ yang dikenakan.

Amat nyata apabila Kelantan hanya enumpukan soal tuntutan royalti bagi melaksanakan manifesto, ia tidak ada ‘buah fikiran’ dan ‘otak pemimpin PAS menjadi beku’ sementara tangan dan kaki mereka kaku untuk merancang sesuatu bagi rakyat Kelantan dalam suasana pendapatan yang semakin mengecil apabila balak tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya.


Di Kelantan, kononnya orang bijak PAS adalah Datuk Husam Musa.

Namun, selepas 10 tahun ternyata Husam gagal dalam banyak perkara. Malah projek-projek seperti ternakan Kambing Jamnapari, Ladang Rakyat, Takaful, bantuan bulanan RM100 kepada warga emas, menyelesaikan isu air bersih, mewujudkan bandar Kawasan Dagangan Bebas Asia (AFTA) di Rantau Panjang. 

Nesan batu asas jambatan kedua.
 Kelantan juga gagal dalam projek mega Pelabuhan Darat di Kuala Krai, Bandar Baru Tunjung, serta banyak lagi. Malah janji membina jambatan kedua Sungai Kelantan di Palekbang, Tumpa. terbukti gagal dan tinggal ‘nesan batu asas’ sahaja.

Sekarang berjanji mahu bina lebih raya empat lorong antara Kuala Krai ke Kota Bahru dan stadium negeri pula. Rakyat Kelantan tidak boleh harapkan kepada Kerajaan PAS untuk melaksanakan projek yang dianggap ‘luar biasa’ di Kelantan.


Bagi petani dan nelayan, penjaja dan peniaga kecil serta juga peneroka, mereka perlu bergantung hidup berterusan keada Kerajaan Pusat sekiranya PAS terus memerintah.

Peniaga akan menjadi semakin sukar kerana hanya bergantung kepada pasaran domestic sedangkan industri pelancongan Kelantan tidak berkembang dan semakin disaingi oleh negeri jiran, Terengganu , Pahang dan Perak.

Rakyat Kelantan perlu sedar, soal royalti yang dituntut oleh Kerajaan PAS Kelantan itu hanya ‘angan-angan Mat Jenin’ kerana selain ia tidak munasabah untuk ditunaikan Kerajaan Pusat, segala-galanya dalam rundingan. PAS Kelantan pada masa ini hanya menunggu tuntutan royalti sebagai sumber mereka untuk melaksanakan manifestonya bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Duit…itu nak tuntut macam mana, kerana ia masih dalam rundingan. Ini jelas bahawa ia merupakan langkah-langkah yang dibuat oleh kerajaan PAS untuk buat janji mereka," kata Hassan.

Berbanding Barisan Nasional Kelantan yang merancang dan membuktikan keupayaan mereka, Kelantan tidak mustahil membuat kejutan lebih besar kemungkinan memenangi 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Seperti ditegaskan Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, anggaran itu adalah di luar sasaran awal sebanyak 23 daripada 45 kerusi DUN yang akan dimenangi.

Ini berdasarkan memandangkan sambutan positif rakyat sejak hari penamaan calon Sabtu lepas, yang di luar dugaan sama sekali. Perubahan itu hasil kerja kuat seluruh jentera BN selama dua tahun terutama di Pasir Puteh di bawah program 'Selamat Tinggal PAS' dan 'Gelombang Merah' sehingga berjaya menarik penyertaan antara 40,000 hingga 50,000 rakyat pada satu-satu majlis.

"Perubahan itu amat ketara terutama di Pasir Puteh apabila ramai anggota PAS dan PKR menyertai Umno sama ada secara senyap atau terbuka," katanya pada perjumpaan khas dengan lebih 1,000 anggota jentera Umno Parlimen Pasir Puteh di Cherang Ruku Pasir Puteh, malam tadi.


Rakyat Kelantan perlu sedar bahawa Barisan Nasional, bukan sekadar membuat Aku Janji tetapi menunaikan janji yang sepatutnya tidak dilaksanakan kerana kalah pilihan raya umum 2008 seperti Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra yang mengatasi sebahagian kesesakan menggunakan jambatan lama antara Kampung Sireh dan Pasir Pekan. 

Harapkan kerajaan PAS?

Tanah orang Melayu semakin banyak terjual di dalam bandar dan projek Lembah Sireh ternyata ‘ditipu bulat-bulat oleh pelabur entah dari mana dan kerajaan PAS berputih mata’.

Yang untung mungkin beberapa pemimpin PAS tertentu yang mendapat habuan awal sebelum projek itu terbengkalai.





Lantas kita teringat kepada apa yang ditegaskan oleh Hasan apabila beliau merujuk kepada hasil kajiannya pada tahun 1999 menerusi buku bertajuk 'Kelantan - Rakyat Dinamik, Negeri Semakin Ketinggalan' mendapati wujudnya prospek industri petrokimia di Kelantan.


Saya yakin, jika BN dapat memerintah Kelantan, prospek industri petrokimia ini akan diusulkan kepada Kerajaan Pusat untuk dilaksanakan sebagai suatu perubahan yang luar biasa di negeri Kelantan.

Pandangan Hasan itu mempunyai asas kukuh kerana potensi pembangunan projek petrokimia di Kelantan meliputi pembangunan ekonomi, prasarana dan pembandaran, sosio-ekonomi serta peluang perniagaan daripada industri itu.

Namun persoalannya, apa juga projek yang mahu dibangunkan, apa juga pendekatan ekonomi yang mahu dilaksan, halangan dan cabaran ketika ini ialah perubahan pemikiran rakyat Kelantan sendiri.

Sanggupkah rakyat Kelantan berubah seperti di Terengganu pada PRU 2004 yang menjatuhkan Kerajaan PAS selepas pelbagai onar ketika memerintah Terengganu selama lima tahun, antara 1999 dan 2004.

Rakyat Terengganu bijak memberi mandat kepada Kerajaan Barisan Nasional dan berkat hubungan rapat antara kedua-duanya, negeri Terengganu kini antara negeri termaju di Malaysia selepas sekian lama berada sebagai antara negeri miskin bersama Kelantan, Kedah, Sabah dan Perlis.

Bachok 'Tukar Wajah' Sebagai Hab Pendidikan, Pelancongan

 
 
Rakyat bakal menikmati lonjakan ekonomi yang lebih baik apabila Bachok bertukar wajah menjadi kawasan hab pendidikan dan pelancongan utama di Kelantan.

Kewujudan kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kolej Universiti Islam Sains dan Teknologi (UniKist) dan Pusat Penyelidikan Maritim Universiti Malaya (UM) telah merubah landskap Bachok yang dulunya pernah muncul daerah kedua termiskin di Kelantan sekitar 1970-an.

Sebelum berkembang, ekonomi penduduk di Bachok banyak bergantung kepada pertanian, perikanan dan pernah menjadi pengeluar utama tembakau negara.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bachok Datuk Dr Awang Adek Husin berkata kawasan Bachok juga menarik perhatian pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang telah menyatakan hasrat untuk membina pusat pengajian maritim di kawasan itu.

Di bawah perancangan 'Bachok Baru Bachok Maju', Awang Adek berkata beliau yakin kerajaan BN akan memberi perhatian serius kepada kawasan itu sekiranya BN diberi mandat mentadbir Kelantan pada pilihan raya umum ke-13, 5 Mei ini.

Selaras dengan manifesto atau Aku Janji BN Kelantan yang mahu menjadikan negeri itu sebagai pusat kecemerlangan ilmu, beliau berkata Bachok menawarkan lokasi yang strategik dengan keluasan tanah 264.64 kilometer persegi.


Kesedaran ibu bapa di negeri ini tentang kepentingan pendidikan kepada anak-anak juga layak menjadikan Bachok lokasi pembinaan sekolah berasrama penuh seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi menampung pertambahan bilangan pelajar sekolah pada masa depan.

Pada sekitar 2004, Bachok mencatatkan kedudukan kedua tercorot dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), berikutan masalah penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah rendah.

Atas inisiatif ingin melihat pembangunan belia di Bachok seiring dengan tempat lain di negara ini, Awang Adek sendiri menganjurkan dan menaja program tuisyen Bahasa Inggeris di setiap sekolah di Bachok.

Lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kandis, Abdul Afif Ilman Rosli, 18, berkata sejak menyertai program tuisyen Bahasa Inggeris itu bukan setakat prestasi pelajarannya meningkat, malah mula meminati subjek tersebut.

"Tuisyen diberi percuma dan dimanfaatkan sebaik-baiknya. Setiap kali kelas pada hari cuti saya tak pernah tak datang sebab rugi kalau tertinggal walau satu hari pun," katanya yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Selain dibangunkan sebagai hab pendidikan, Bachok yang memiliki kawasan pantai yang bersih dan cantik sepanjang 40 kilometer mampu menggamit ramai pengunjung sekali gus membuka peluang pekerjaan dalam bidang pelancongan.

"Dengan adanya pelajar, ibu bapa mereka juga secara tidak langsung akan datang melawat dan menjadi pelancong di sini. Dengan ada jalan baharu, akan banyak lagi hotel tumbuh. Dan selepas perubahan wajah, ini boleh menaikkan pelancongan di Bachok," katanya.

Maslina Mohamad, 40, sangat teruja dengan cadangan Awang Adek itu yang boleh membantu melonjak ekonomi masyarakat setempat menerusi perniagaan makanan dan industri inap desa yang lebih menguntungkan berbanding pertanian dan penangkapan ikan.

Sebagai anak jati Bachok, Maslina berharap BN dapat menerajui kawasan itu supaya impiannya dan seluruh masyarakat di sini untuk melihat kejayaan agenda 'Bachok Baru Bachok Maju' mengangkat martabat penduduk di kawasan itu.

"Suka sangat la...tak tahu nak cakap macam mana sebab kalau nak banding Bachok sekarang dengan dulu jauh beza...sekarang ni macam-macam ada...klinik, sekolah, balai polis dan pusat peranginan," katanya yang kini mengusahakan perniagaan kedai runcit di sBachok.


Penuntut Tahun Dua Diploma Elektrik GiatMARA Bachok, Abdullah Mohd Noor, 24, bersetuju dengan cadangan itu kerana diyakini dapat membuka banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda dan dapat mengelakkan penghijrahan ke luar negeri untuk mencari pekerjaan.

"Ramai kawan saya terpaksa keluar dari Kelantan untuk mencari rezeki kerana peluang pekerjaan yang terhad di negeri ini. Cadangan ini memberi banyak manfaat kepada kami golongan muda," katanya.

Warga emas, Ibrahim Abdul Rahman, 72, berkata beliau kini hanya tinggal bersama isteri selepas lima daripada tujuh anaknya, berhijrah untuk mencari rezeki dan belajar.

"Kalau ada lebih banyak pusat pengajian tinggi di sini, anak-anak tak perlu lagi ke luar untuk sambung belajar. Senang kami hendak pantau mereka. Sama juga kalau ada lebih banyak peluang pekerjaan, ada juga anak-anak yang dapat tinggal dengan kami ataupun datang jenguk kami sekali-sekala," katanya.

Awang Adek bertembung satu lawan satu dengan calon PAS Ahmad Marzuk Shaary bagi merebut kerusi Parlimen Bachok yang pernah dimenanginya pada pilihan raya umum 2004 dengan majoriti 6,272 undi.

Pada pilihan raya umum 2008, Awang Adek kalah kepada Nasharudin Mat Isa (PAS) dengan majoriti 2,901 undi.