Saturday, April 27, 2013

Bachok 'Tukar Wajah' Sebagai Hab Pendidikan, Pelancongan

 
 
Rakyat bakal menikmati lonjakan ekonomi yang lebih baik apabila Bachok bertukar wajah menjadi kawasan hab pendidikan dan pelancongan utama di Kelantan.

Kewujudan kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kolej Universiti Islam Sains dan Teknologi (UniKist) dan Pusat Penyelidikan Maritim Universiti Malaya (UM) telah merubah landskap Bachok yang dulunya pernah muncul daerah kedua termiskin di Kelantan sekitar 1970-an.

Sebelum berkembang, ekonomi penduduk di Bachok banyak bergantung kepada pertanian, perikanan dan pernah menjadi pengeluar utama tembakau negara.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bachok Datuk Dr Awang Adek Husin berkata kawasan Bachok juga menarik perhatian pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang telah menyatakan hasrat untuk membina pusat pengajian maritim di kawasan itu.

Di bawah perancangan 'Bachok Baru Bachok Maju', Awang Adek berkata beliau yakin kerajaan BN akan memberi perhatian serius kepada kawasan itu sekiranya BN diberi mandat mentadbir Kelantan pada pilihan raya umum ke-13, 5 Mei ini.

Selaras dengan manifesto atau Aku Janji BN Kelantan yang mahu menjadikan negeri itu sebagai pusat kecemerlangan ilmu, beliau berkata Bachok menawarkan lokasi yang strategik dengan keluasan tanah 264.64 kilometer persegi.


Kesedaran ibu bapa di negeri ini tentang kepentingan pendidikan kepada anak-anak juga layak menjadikan Bachok lokasi pembinaan sekolah berasrama penuh seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi menampung pertambahan bilangan pelajar sekolah pada masa depan.

Pada sekitar 2004, Bachok mencatatkan kedudukan kedua tercorot dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), berikutan masalah penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah rendah.

Atas inisiatif ingin melihat pembangunan belia di Bachok seiring dengan tempat lain di negara ini, Awang Adek sendiri menganjurkan dan menaja program tuisyen Bahasa Inggeris di setiap sekolah di Bachok.

Lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kandis, Abdul Afif Ilman Rosli, 18, berkata sejak menyertai program tuisyen Bahasa Inggeris itu bukan setakat prestasi pelajarannya meningkat, malah mula meminati subjek tersebut.

"Tuisyen diberi percuma dan dimanfaatkan sebaik-baiknya. Setiap kali kelas pada hari cuti saya tak pernah tak datang sebab rugi kalau tertinggal walau satu hari pun," katanya yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Selain dibangunkan sebagai hab pendidikan, Bachok yang memiliki kawasan pantai yang bersih dan cantik sepanjang 40 kilometer mampu menggamit ramai pengunjung sekali gus membuka peluang pekerjaan dalam bidang pelancongan.

"Dengan adanya pelajar, ibu bapa mereka juga secara tidak langsung akan datang melawat dan menjadi pelancong di sini. Dengan ada jalan baharu, akan banyak lagi hotel tumbuh. Dan selepas perubahan wajah, ini boleh menaikkan pelancongan di Bachok," katanya.

Maslina Mohamad, 40, sangat teruja dengan cadangan Awang Adek itu yang boleh membantu melonjak ekonomi masyarakat setempat menerusi perniagaan makanan dan industri inap desa yang lebih menguntungkan berbanding pertanian dan penangkapan ikan.

Sebagai anak jati Bachok, Maslina berharap BN dapat menerajui kawasan itu supaya impiannya dan seluruh masyarakat di sini untuk melihat kejayaan agenda 'Bachok Baru Bachok Maju' mengangkat martabat penduduk di kawasan itu.

"Suka sangat la...tak tahu nak cakap macam mana sebab kalau nak banding Bachok sekarang dengan dulu jauh beza...sekarang ni macam-macam ada...klinik, sekolah, balai polis dan pusat peranginan," katanya yang kini mengusahakan perniagaan kedai runcit di sBachok.


Penuntut Tahun Dua Diploma Elektrik GiatMARA Bachok, Abdullah Mohd Noor, 24, bersetuju dengan cadangan itu kerana diyakini dapat membuka banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda dan dapat mengelakkan penghijrahan ke luar negeri untuk mencari pekerjaan.

"Ramai kawan saya terpaksa keluar dari Kelantan untuk mencari rezeki kerana peluang pekerjaan yang terhad di negeri ini. Cadangan ini memberi banyak manfaat kepada kami golongan muda," katanya.

Warga emas, Ibrahim Abdul Rahman, 72, berkata beliau kini hanya tinggal bersama isteri selepas lima daripada tujuh anaknya, berhijrah untuk mencari rezeki dan belajar.

"Kalau ada lebih banyak pusat pengajian tinggi di sini, anak-anak tak perlu lagi ke luar untuk sambung belajar. Senang kami hendak pantau mereka. Sama juga kalau ada lebih banyak peluang pekerjaan, ada juga anak-anak yang dapat tinggal dengan kami ataupun datang jenguk kami sekali-sekala," katanya.

Awang Adek bertembung satu lawan satu dengan calon PAS Ahmad Marzuk Shaary bagi merebut kerusi Parlimen Bachok yang pernah dimenanginya pada pilihan raya umum 2004 dengan majoriti 6,272 undi.

Pada pilihan raya umum 2008, Awang Adek kalah kepada Nasharudin Mat Isa (PAS) dengan majoriti 2,901 undi.

No comments: