Oleh Veteran Bukit Marak
Umno Bahagian Tanah Merah semalam (7 Oktober 2008) membuat ketetapan membantah pengendalian persidangan tahunan cawangan Umno dalam bahagian itu.
Mesyuarat itu yang dikendalikan Jawatankuasa Pemilihan dan Pemantauan Umno Kelantan sejak Sabtu lalu hingga esok dipengerusikan Tuan HashimTuan Yaakob.
Pemangku ketuanya, Nik Kemruzaman Sulong, berkata bantahan itu dibuat mereka kerana keputusan dan tindakan jawatankuasa berkenaan yang didakwa tidak telus sehingga berlaku beberapa kejadian yang disifatkan melanggar peraturan ketika mesyuarat berlangsung.
Bagaimana UMNO Kelantan boleh melantikTuan Hashim Tuan Yaakob, kroni Tan Sri Annuar Musa, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan dan Pemantauan Umno Kelantan sedang dipersoalkan?
Tuan Hashim yang dikatakan orang paling berkuasa di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Kelantan bukan sekadar diserahkan tugas penting seperti ini tetapi pada pilihan raya lalu, beliau mengatasi peranan pemimpin UMNO Kelantan yang lain termasuk Setiausaha Badan Perhubungan, Datuk Ramzi Abdul Rahman dan Timbalan Pengerusi, Datuk Awang Adek Husin.
Sebagai orang yang dipercayai Annuar, Tuan Hashim dikatakan ‘membekukan’ beberapa aktiviti UMNO Kelantan, termasuk kerja-kerja kempen, publisiti, hebahan, gerakan saraf dan berkaitan dengannya.
Petugas yang diamanahkan untuk kerja-kerja berkenaan menghadapi masalah kerana sering disekat untuk berhubung terus dengan Annuar dan juga Bendahari UMNO Kelantan, Datuk Noor Zahidi Omar.
Dikatakan juga,Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Alwi yang kini Setiausaha Politik Perdana Menteri yang juga Adun Ketereh, turut mempunyai masalah dengan beliau.
Malah ada mengatakan, orang kuat Annuar, Rahime Yusof, turut berdepan dengan pelbagai halangan yang dibuat-buat Tuan Hashim.
Menghairankan sekali dalam soal ini Setiausaha Kerja UMNO Kelantan, Haji Idris Muhamood bagaikan tidak berfungsi langsung.
Jadi tidak peliklah kalau wujud bantahan sedemikian dibuat oleh Nik Kemruzaman kerana Umno bahagian Tanah Merah beranggapan tanggungjawab menguruskan perjalanan persidangan cawangan berkenaan tidak harus diberikan kepada Tuan Hashim.
Beliau berkata, antara kes yang dikesan termasuk kejadian individu yang menyamar sebagai ahli Umno dan dibenarkan hadir dalam persidangan di beberapa cawangan terbabit serta kegagalan jawatankuasa itu menyerahkan salinan laporan mesyuarat kepada cawangan dan bahagian untuk direkodkan.
"Kehadiran pihak yang menyamar sebagai ahli Umno pada persidangan itu tidak dapat dihalang kerana jawatankuasa pemilihan dan pemantauan itu tidak membenarkan Umno bahagian Tanah Merah menghantar pemerhati bagi mengenal pasti ahli terbabit dan kita sudah membuat laporan polis mengenai perkara itu.
"Pada masa sama, Biro Politik Umno bahagian akan memohon mengadakan pertemuan segera dengan Timbalan Presiden Umno merangkap Pengerusi Pengurusan Umno, Datuk Seri Najib Razak bagi memaklumkan penghantaran surat bantahan kepada jawatankuasa pemilihan pemantauan Umno Kelantan daripada meneruskan persidangan cawangan dalam bahagian ini," katanya.
Lebih malang, menurut Nik Kemruzaman, selaku Pengerusi MAYC Kelantan, Tuan Hashim turut mempunyai hubungan langsung dengan seorang calon yang dijangka menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Umno bahagian itu.
Proses persidangan tahunan cawangan Umno dalam bahagian Tanah Merah diambil alih oleh Badan Perhubungan Umno Kelantan menerusi jawatankuasa pemilihan dan pemantauan itu, ekoran pelbagai masalah yang berbangkit terutama membabitkan isu keahlian peringkat cawangan.
(Ikuti Bahagian Kedua yang akan menyusul nanti)
1 comment:
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, UMNO Bahagian Tanah Merah boleh disifatkan sebagai satu Bahagian yang terbabit atau menjadi pangkalan kepada “human trafficking”(jual-beli manusia).Seolah-olah tidak ada pematuhan terhadap akta perlindungan jual-beli manusia.
Tidak ada sesiapa pun berhasrat hendak menafikan hak seseorang ahli apabila pendaftarannya telah diterima dan disahkan serta mematuhi kepada kehendak Perlembagaan parti. Cuma jangan kita jadikan fasa-fasa dalam perlembagaan parti seolah sarang labah.Memerangkap ‘lalat dan nyamuk’ tetapi ‘burung dan helang’ dapat melepasinya tanpa sekatan.
Pengurusan dan piawai terhadap SOP (standard operation procedure)wajib di audit agar standard keputusan yang dibuat ada kualiti. Ahli-ahli hantu yang menghantui Bahagian Tanah Merah ialah ahli-ahli yang dikesan tidak dikenali oleh cawangan-cawangan.Kesahan keahlian mereka meragukan.Saya kira dari segi moral dan kewarasan untuk mencari kebenaran wajib diberi keutamaan.Pembuktian mestilah merentasi sempadan keraguan yang munasabah.Barulah ada penyelesaian dan jalan keluar dari kemelut yang boleh melemahkan parti.
Hari ini kita pula disergah dengan pemilikan idealisme untuk menyucikan UMNO. Adakah kita masih mahu berselimut untuk tidak menyakitkan hati sesiapa lalu diam membiarkan kemungkaran-kemungkaran politik individualistik berterusan tanpa noktah. Ini adalah "survival" bangsa dan ini hakikat yang memerlukan kita untuk mempertahankan hak dengan harapan kekuatan boleh dibina semula.
Fenomena memberi jawapan mudah sudah menular dari peringkat atas.Kononnya seluruh bahagian dalam Negara mempunyai masalah yg sama.Ini satu lagi ‘phenomena of escapism’.Atau mungkin menganggap semua orang bodoh dan bebal. Kalau sindrom ini berterusan Umno mungkin sudah mencukupkan syaratnya untuk tumbang.
kita boleh membohongi semua orang dalam satu –satu masa tetapi tidak semua orang dalam setiap masa.
Jangan sapu dan simpan sampah dibawah permaidani dijadikan budaya kerja dalam UMNO dan jika mahu bersihkan lantai di bawah bersihkan sawang di atasnya terlebih dahulu.
Allah cinta kepada kebenaran . Hanya kebenaran dan keberanian bercakap benar saja yang dapat menyelamatkan bangsa Melayu yang sudah 51 tahun merdeka.
" Kita mesti berkata benar sekalipun kebenaran itu pahit ." - Hadith Rasulullah S.A.W. Mana ada ubat yang manis?
Jika kita mahu bangsa kita dihormati tak perlu buat perangai macam wali. Cukup dengan ketepikan mereka yang dayus dan rakus, yang menukar patriotisme menjadi perutisme, yang menjadikan rules of law kepada law ikut nafsu akhirnya UMNO menjadi lesu, berkubur bisu.
Pengikut talam dua muka dan sokong membawa rebah perlu dihapuskan untuk survival anak cucu kita. Jangan cakap pasal ketuanan Melayu kalau takut mati dalam gelanggang dan bersikap hipokrit.tutup mata, tutup mulut, tutup telinga.Semua orang kita tipu.
Dayus mengutamakan perut dari berjiwa patriot membuat siapa saja pemimpin yang cintakan kebenaran menjadi resah gelisah, menjadikan kita tak kenal yang mana satu kawan, yang mana satu musuh, hingga timbul peribahasa musuh dalam selimut , musang berbulu ayam . Itu yang memeningkan kepala . Akhirnya kita berperang sesama sendiri bila ada pemimpin bertukar menjadi iblis.
Kejujuran dan amanah dalam kepimpinan akan menjadikan parti kuat dan disegani diketepikan. Bukan Melayu hanya takut pada Melayu yang tak makan dan tak tidur, bukan yang hendak hidup, untuk hidup.Ingatlah, tidak akan bergerak sebiji debu pun tanpa keizinan Allah.
Air yang keruh di hulu masakan boleh jernih di hilir . Ikan busuk kepala busuklah badan. Bermula dari atas, kita perlu berani ambil tindakan jika mahu dihormati. Pemimpin mesti berani cabut gigi busuk dalam mulut sendiri.
Akibat menyimpan gigi busuk makanan yang masuk ke dalam perut akan menimbulkan barah dalam UMNO yang ibarat retak menunggu belah.Kepimpinan peringkat atas perlu memantau pegawai-pegawai di Ibu Pejabat.Mereka dibayar upah untuk mengurus dan mentadbir UMNO secara professional. Gaji tentunya lumayan. Berbanding dengan ganjaran yang diterima ahli-ahli parti di medan.Siang bermandikan peluh dan debu, malam bertongkat mata dan berembun sampai pagi. Mereka sanggup berdepan dengan musuh parti.Tanpa syarat. Bukan gaji yang lumayan dipertaruhkan tapi nyawa, dan harta yang dah tidak seberapa.
Kenapa pula yang mendapat upah lumayan dan duduk dikerusi empuk dalam bilik berhawa dingin di Ibu Pejabat tergamak melindungi para ‘penjenayah dan penyagak’ UMNO.Atau mereka pun species yang sama.Kata orang putih “birds of same feather flocks together’.Insaflah.Auditlah diri.auditlah pengurusan.Auditlah keselamatan UMNO .
Biar musuh yang memusnahkan UMNO bukan para pegawai di PWTC.
Allahyarham Pak Hamka yang menjadikan kita berbeza adalah; "Dua puluh ekor kerbau pedati, yang sama gemuknya, sama kuatnya, sama pula kepandaiannya menghela pedati, tentu harganya pun tidak pula berlebih berkurang. Tetapi 20 orang manusia yang sama tingginya, sama kuatnya, belum tentu sama "harganya". Sebab bagi kerbau tubuhnya yang berharga. Bagi manusia peribadinya.
Berilmu sahaja, walaupun bagaimana mahirnya dalam suatu jurusan, belum tentu berharga, belum tentu akan beroleh kejayaan dalam hidup, kalau sekiranya bahan peribadi yang lain tidak lengkap atau tidak kuat, terutama budi dan akhlak!"Prof. Dr. Hamka Peribadi
Memetik kata-kata ulama besar Sheikh Abdullah Fahim --- “Sesiapa yang berjuang dengan nama Allah dan niat baik sentiasa dalam keredaan Allah, tetapi siapa yang lupakan niat, khianat dan tamak akan dimurkai Allah, akhirnya menjadi hina.” (Mokhtar Petah – Sheikh Abdullah Fahim Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara 31 Ogos, 1957. Pustaka Antara 1997.)
berjuanglah untuk parti bukan menggunakan parti sebagai platform untuk berniaga. Takut pada Allah dan akan sentiasa mengamalkan cara hidup hablum minallah dan hablum minannas.
Post a Comment