Ketika Ramadan ramai orang mengambil kesempatan untuk menjalankan aktiviti perniagaan bagi menambah sumber pendapatan menjelang hari raya, dan tidak terkecuali pemain bola sepak Kelantan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Akmal Rizal, 29, turut sama mengambil kesempatan ini dengan berniaga di Bazar Ramadan di Taman Mahsuri dekat sini menjual pelbagai jenis lauk-pauk untuk berbuka puasa.
Ini merupakan kali pertama beliau memulakan perniagaan menjual makanan dan sambutan daripada orang ramai terutama peminatnya amat baik.
"Alhamdulillah, sempena bulan Ramadan dan cuti yang diberikan oleh pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), sebelum bermulanya sesi latihan menjelang Piala Malaysia diadakan, saya ambil kesempatan yang ada untuk berniaga bagi mengisi masa lapang dan mahu menambah pendapatan.
"Kebanyakan aneka lauk-pauk yang ada adalah lauk kegemaran saya dan yang pastinya resepi ini adalah resepi saya sendiri," katanya di gerainya.
Antara menu yang paling istimewa di gerainya, 'AR 14 Corner' adalah Gulai Ikan Talang dan Sup Gear Box.
Akmal Rizal yang bercita-cita untuk membuka sebuah restoran selepas bersara turut dibantu isterinya, Shahira Mohd Tajuddin, 26, serta dua orang pekerja.
No comments:
Post a Comment