Tuesday, August 31, 2010

ORANG ASLI BANTAH KERAJAAN NEGERI AMBIL TANAH

Penduduk Orang Asli di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Sungai Rual dekat sini, membantah tindakan kerajaan negeri mengambil tanah berhampiran kawasan kampung mereka untuk dijadikan Ladang Rakyat.

Mereka menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap penerokaan tanah di kawasan bukit untuk yang menyebabkan kawasan bukit di tarah.

Mustapa Mohamed menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Orang Asli di Sungai Rual, Jeli, kelmarin.

Masyarakat Orang Asli merasakan kegiatan ini adalah satu ancaman kerana mereka bergantung kepada hasil hutan seperti memburu dan mencari ubat akar kayu.

Hal ini mengundang kebimbangan kerana akan menjejaskan aktiviti serta pendapatan mereka.

Penghulu RPS Sungai Rual, Rashid Bernas, 30, mendakwa, kawasan yang diambil itu turut melibatkan tanah yang diperuntukkan untuk mereka sejak 50 tahun dulu oleh kerajaan negeri.

Beliau mendakwa, kerajaan juga tidak pernah berbincang dengan mereka terlebih dahulu sebelum mengambil tanah yang dikatakan seluas kira-kira 4,000 hektar itu untuk dijadikan sebagai Ladang Rakyat.

"Tanah ini sebenarnya Rizab Orang Asli selepas tanah rancangan yang mengumpulkan Orang Asli ini dibuka di sini. Kami berhak di atas tanah ini. Kalau ia diambil kami tidak ada tanah lagi selepas ini.

"Kami yang duduk di sini menerima akibat, pendapatan terjejas kerana tidak dapat ke hutan serta pencemaran air yang serius. Adakah ini yang kami dapat dari Ladang Rakyat?" katanya selepas Majlis Mesra Ramadan di Balai Raya RPS Sungai Rual kelmarin.

Majlis tersebut dihadiri oleh Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Mustapa turut menyampaikan sumbangan seperti beras, biskut dan kain kepada penduduk di kawasan tersebut. Sebanyak 118 buah keluarga menerima sumbangan tersebut.

Rashid mendakwa, penduduk di kampung itu tersepit di antara pembangunan dan Ladang Rakyat sehingga menyebabkan mata pencarian mereka terjejas teruk.

Dia turut mendakwa, Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Lanas dari Pas tidak pernah sekali pun datang bertemu untuk berbincang dan membela nasib Orang Asli.

Sementara itu, Ramli Pisang, 49, mempersoalkan pelaksanaan projek itu kerana tidak ada seorang pun daripada 400 penduduk yang menjadi pesertanya.

"Untuk siapa ladang ini? Buat di tempat kami tetapi kami tidak dapat apa. Ini hanya untuk kepentingan mereka sahaja," katanya

Mustapa berkata masyarakat Orang Asli dari suku kaum Jahai di sini perlu dibantu sepenuhnya bagi mempercepatkan pembangunan dari segi pendidikan, ekonomi serta sosial agar mendapat manfaat yang sewajarnya.

Katanya pelbagai kemudahan serta pembangunan diatur kepada mereka yang terbaru ialah sebanyak 19 buah rumah kediaman bagi keluarga dekat sini sedang giat dalam pembinaan dan akan siap tidak lama lagi bertujuan memberikan keselesaan.

“Saya berharap dengan bantuan rumah tersebut dapat mengurangkan sedikit beban mereka yang tidak mampu untuk membina rumah yang sempurna dan kita akan terus mengenal pasti keluarga yang memerlukan rumah agar mereka mendapat rumah yang sempurna kelak.

“Dalam pada itu, projek jalan serta jambatan yang menghubungkan perkampungan Orang Asli Sungai Rual ke bandar Jeli juga dijangka siap setahun lagi dan ia akan memudahkan mereka di sini untuk ke bandar.

“Jika sebelum ini memerlukan masa 45 minit tetapi jika siap kelak jalan tersebut ia hanya memakan 10 minit sahaja,” katanya .

Menurutnya, semua kemudahan tersebut bagi memastikan masyarakat di sini mudah untuk berhubung dengan bandar yang terdekat bagi berurusan serta memberikan kesenangan kepada masyarakat yang berada di pendalaman.

“Pada masa akan datang pelbagai lagi kemudahan dan pembangunan akan disediakan kepada mereka agar perhatian sewajarnya kepada kelompok ini,” katanya.

Utusan Malaysia & Sinar Harian

No comments: