Tindakan Kerajaan Negeri Kelantan memulakan tindakan undang-undang dengan menyaman syarikat minyak negara, Petronas kerana tidak membayar royalti semalam dilihat satu langkah untuk ke arah persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Tindakan Kerajaan PAS Kelantan ini mendapat restu dari rakan Pakatan Rakyat (PR) di peringkat pusat yang akan menjadikan isu tersebut sebagai ‘bom jangka’ yang memberi kekuatan kepada gabungan tersebut bagi meraih sokongan rakyat.
Isu royalti minyak yang berlanjutan selama ini, timbul semula sewaktu kempen pilihan raya kecil DUN Manek Urai tahun lalu.
Ini diikuti dengan tindakan kerajaan pusat pula menyiarkan beberapa dalam akhbar berbahasa Melayu, menyatakan bahawa Kelantan tidak layak menerima royalti minyak kerana ia telah menerima "wang ehsan" sebanyak RM20 juta.
Hujah berkenaan bagaimanapun disangkal oleh bekas naib presiden Umno dan juga bekas pengerusi Petronas Tengku Razaleigh Hamzah yang menyifatkannya sebagai "menghina kebijaksanaan" rakyat Kelantan.
Saman pemula semalam (30 Ogos 2010) merupakan rentetan daripada tindakan kerajaan pimpinan PAS Kelantan pada Mac lalu melantik Tengku Razaleigh sebagai wakil perunding negeri itu untuk menuntut royalti minyak daripada kerajaan pusat.
Kelantan didakwa berhak menerima bayaran royalti minyak antara RM850 juta hingga RM1bilion untuk pengeluaran di pelantar minyak yang terletak sejauh 170 kilometer dari perairan Kelantan.
Exco Kanan kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa sebelum ini berkata bayaran tersebut perlu dibuat mengikut Akta Petroleum 1974 yang membolehkan negeri menerima royalti minyak sebanyak lima peratus daripada hasil perolehan petroleum.
Penganalisis politik yang juga Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Nizamuddin berkata, tindakan PAS Kelantan menyaman Petronas secara tidak langsung memberi kekuatan kepada parti itu untuk mengekalkan pentadbiran parti itu di Kelantan.
Sehubungan dengan itu katanya, Barisan Nasional (BN) perlu memasang strategi baru untuk mengelak ia menjadi isu yang boleh membawa bebanan kepada komponen parti bagi menghadapi pilihan raya seterusnya.
“Apabila ia dibawa ke mahkamah, jangka masa diambil lama dan ia akan berlarutan sehingga bertahun-tahun, oleh itu sekiranya pilihan raya umum akan berlaku dalam masa terdekat ini, isu ini akan menjadi modal politik yang baik untuk berkempen.
“Secara tidak langsung, rakyat negara ini khususnya di Kelantan bersimpati dengan apa yang berlaku dan dizahirkan dalam bentuk undi, ini yang diperlu dan dimahukan PAS,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Semalam, Kerajaan negeri Kelantan, dengan ketuai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, telah memfailkan saman terhadap syarikat minyak negara, Petronas, untuk menuntut royalti minyak yang tidak dibayar sejak 2004.
Saman terhadap Petronas itu meliputi dakwaan melanggar perjanjian kontrak dan juga turut membabitkan isu perlembagaan.
Nik Aziz yang diiringi oleh timbalannya, Datuk Ahmad Yaakob dan exco kanan kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan, menyaksikan saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Dagang Kuala Lumpur pagi ini. Turut hadir ialah bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramlli.
Peguam kanan Tommy Thomas mewakili kerajaan Kelantan.
Notis sepanjang 47 halaman itu antara lainnya menuntut:
2. Siasatan dijalankan ke atas Petronas untuk membuat pendedahan penuh berhubung fakta berkaitan bayaran tunai yang perlu dibayar kepada Kelantan.
3. Perintah supaya semua tunggakan bayaran tunai dilunaskan dalam tempoh sebulan daripada perintah mahkamah.
4. Gantirugi beserta kos dan faedah ke atas jumlah yang diperintahkan dibayar.
5. Relief lain dan juga kebebasan untuk memohon.
Ahmad Nazimuddin menambah apa pun keputusan yang diambil oleh mahkamah, sama ada royalti tersebut dikembalikan atau pun tidak, PAS akan memperoleh kemenangan moral untuk parti itu di masa hadapan.
Bersetuju dengan pendapat tersebut, seorang lagi penganalisis politik, Prof Sivamurugan Pandian berkata, tindakan PAS menyaman Petronas ini jika dilihat dari sudut politik tepat pada masanya kerana ia dibuat semasa rakyat mula membicarakan soal pilihan raya.
Berlainan dengan di Terengganu, pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu melihat isu tuntutan minyak di Kelantan dilihat lebih unik lebih-lebih lagi Kerajaan Negeri masih lagi di bawah pentadbiran PAS yang telah 20 tahun memerintah.
“Bagaimanapun secara peribadi, saya merasakan isu ini harus diselesaikan di luar mahkamah, perkara ini merugikan rakyat yang berada di tengah-tengah, pertelingkahan dua peringkat kerajaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment