Saturday, September 4, 2010

HUDUD -AMBIL MASA ATAU TIDAK SEMESTINYA DILAKSANAKAN


Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata hukum hudud yang diperjuangkan PAS sudah tentu mengambil masa untuk dilaksanakan disebabkan ada penentangan daripada pihak tertentu.

Beliau bagaimanapun menyifatkan penentangan tersebut perkara lumrah yang mesti dihadapi PAS apabila hendak melaksanakan undang-undang Islam itu.

"Biasalah perkara baru apabila orang dengar akan ditentang. Seperti juga parti Islam 50 tahun dahulu orang tentang. Ada pihak kata politik suku agama suku, sekarang parti Islam pula yang jadi kerajaan.

"Begitu juga kewangan Islam, dahulu orang kata mana boleh berniaga tanpa riba, zaman sekarang kewangan Islam, bank Islam jadi rebutan, orang Barat pun pakai.

Jadi, hudud ini biarlah kita sebut-sebut dahulu, lama-kelamaan nanti tentu orang menentang akan tertanya-tanya juga tentang kelebihan hudud yang kita cita-citakan ini," katanya ketika menyampaikan kuliah mingguan di Kota Bharu, semalam.

Sementara Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengakui hukum hudud tidak semestinya dilaksanakan sekiranya pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan memerintah negara.

Katanya, PAS dan parti-parti dalam pakatan pembangkang pada peringkat ini telah bersetuju untuk tidak membincangkan soal pelaksanaan hukum hudud yang menjadi agenda perjuangan parti itu selama ini.

Malah, katanya, PAS dan rakan-rakannya dalam pakatan itu juga tidak akan ‘mengusik’ kerangka Perlembagaan Persekutuan walaupun ada pandangan yang mengatakan ia perlu dipinda sekiranya PAS hendak melaksanakan syariat Islam.

“Tidak semestinya kita akan laksanakan, kita melihat kepada persediaan dan persetujuan masyarakat.

“Kita ada persetujuan untuk peringkat ini kita tidak bincangkan soal hudud. Misi kita yang utama ialah untuk menjatuhkan Barisan Nasional pada pilihan raya.

“Bagi kita secara personalnya, perjuangan kita adalah untuk menegakkan syiar (Islam), tetapi kita tidak akan memaksakan hasrat ini kepada masyarakat.

“Bila masyarakat sudah bersedia dengan penjelasan, kefahaman, pada masa itu kita akan laksanakan,” katanya di Kota Bharu, kelmarin.

Beliau diminta mengulas laporan yang pakatan pembangkang tidak pernah merancang untuk melaksanakan undang-undang Islam termasuk hudud jika ditakdirkan berjaya memerintah negara ini.

Ini kerana parti-parti dalam pakatan itu, termasuk PAS terikat kepada perjanjian bersama yang akan terus mempertahankan dan mengamalkan perlembagaan sedia ada.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mendedahkan perkara itu menjelaskan, dasar itu dipersetujui dan ditandatangani oleh semua pemimpin pembangkang termasuk PAS.

Baru-baru ini, Penyelaras Pakatan Pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim menyatakan bahawa PAS tidak akan dapat melaksanakan hukum hudud berdasarkan realiti politik hari ini dan perjanjian antara parti pakatan pembangkang yang berpegang teguh pada Perlembagaan Negara.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Dakwah negeri berkata, cita-cita PAS untuk menegakkan syariat dan sebuah negara Islam tidak pernah berubah tetapi pelaksanaannya bergantung kepada persediaan masyarakat yang juga pengundi.
“Rakyat Malaysia iaitu pengundi, walaupun pilih Pakatan Rakyat tetapi mereka belum bersedia untuk menerima pelaksanaan (hukum hudud) kita tak jadi masalah.

“Selama ini kita bagi tahu nak laksanakan negara Islam pun bukan nak memaksa, tapi dilaksanakan dengan persetujuan pengundi, itu paling penting. Sebab, bila rakyat setuju soal perlembagaan sekular tak berbangkit dah,” katanya.

No comments: