Friday, September 24, 2010

I' DA WORLD BATAL CADANGAN PROJEK RM313b DI KELANTAN

Abdul Rahim (kanan) ketika mengunjungi Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Julai lalu.

Syarikat I'Da World Group Sdn Bhd - yang dikatakan mahu menderma sebanyak RM4 bilion kepada Kerajaan PAS Kelantan - membatalkan hasrat mereka melaksanakan cadangan projek pembangunan bernilai RM313 bilion di negeri itu

Pengerusi Eksekutif I'Da World, Abdul Rahim Abdul Wahab berkata, tindakan dibuat ekoran keputusan kerajaan negeri itu menyenaraihitamkan syarikat itu.

"Jadi projek yang kita hendak buat di negeri Kelantan itu telah dibatalkanlah. Kita hendak tutup cerita ini. Saya pun dah malas dah. Kalau dia kata kita disenaraihitamkan, kita hendak tegakkan apa lagi.

"Kita tarik diri. Minta maaflah. Mereka kata tidak mahu, apa lagi kita boleh buat," katanya ketika ditemui media di pejabatnya di Kelana Jaya, semalam, lapor Malaysiakini.

Abdul Rahim mendakwa, syarikatnya juga belum mempunyai wang RM4 bilion yang hendak didermakan kepada PAS Kelantan.

Bagaimanapun, Abdul Rahim berkata, beliau akan meneruskan usaha untuk menjayakan projek di negeri-negeri lain.

Kontroversi mula melanda syarikat berkenaan ekoran tindakannya yang mengejutkan semua pihak kerana bermurah hati untuk menderma sebanyak RM4 bilion kepada PAS Kelantan bagi membangunkan negeri itu.

Ini termasuk Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) yang membabitkan kawasan seluas 576 hektar melibatkan kos RM313.71 juta.

Replika cek sumbangan itu diterima oleh adik Menteri Besar Kelantan, Nik Din Nik Mat pada Ahad lalu.

PAS pula menafikan parti itu telah menerima cek sebenar atau sumbangan bernilai RM4 bilion daripada syarikat berkenaan.

Sementara itu, Abdul Rahim menjelaskan, sumbangan berkenaan merupakan satu bentuk bayaran pendahuluan daripada jumlah keuntungan projek yang bakal dilaksanakan.

"Tiap-tiap negeri, bila buat projek usahasama, 20 peratus akan diperoleh kerajaan negeri, 80 peratus kepada (rakan niaga). Jadi bila bercakap tentang RM300 bilion, 20 peratus itu lebih kurang RM60 bilion.

"Jadi dalam RM4 bilion tadi, sebenarnnya (replika cek) itu tidak ada haribulan. Duit ini kita hendak beri bila kita dapat buat kerja, dasar daripada 20 peratus tadi," tambahnya.

Dakwanya lagi, beliau telah berusaha untuk menjalankan projek tersebut sejak tahun 1998 lagi melalui sebuah syarikat dikenali Asas Naim Holdings.

"Pada masa itu Tuanku (Ismail Petra) masih sihat lagi," tambahnya.

No comments: