Friday, September 24, 2010

SELATAN THAILAND TEMPAT BAIK UNTUK MELABUR...

Usahawan Malaysia, terutamanya yang menceburi industri halal, harus mempertimbang untuk melabur di selatan Thailand jika mereka berhasrat meningkatkan pengeluaran, kata Pengerusi Majlis Perniagaan Bersama IMT-GT, Datuk Faudzi Naim Noh.

Beliau berkata pelabur-pelabur dalam sektor ini boleh memanfaatkan pengeluaran besar-besaran bahan mentah di kawasan ini dan ini akan memberikan mereka kelebihan apabila bersaing dalam pasaran global.

Usahawan Malaysia menghadapi banyak masalah seperti mendapatkan tanah dan bahan mentah dan bagi memenuhi permintaan daripada pelanggan, sebahagian besar usahawan ini mengimport bahan mentah dari selatan Thailand pada harga yang lebih murah, katanya.

"Thailand mempunyai rekod pencapaian pengeluaran besar-besaran produk makanan. Malaysia pula, tidak banyak mengeluarkan produk makanan, tetapi produk halalnya lebih diterima dalam pasaran global dan mempunyai kelebihan dari segi pengiktirafan dan akreditasi," kata Faudzi.

Memandangkan keadaan ini, Malaysia akan dapat bergantung kepada Thailand bagi mendapatkan bahan mentah dan kedua-dua negara boleh saling melengkapi dalam sektor ini, katanya di luar acara Forum Perniagaan pada Sidang Kemuncak Lima Dasar, di Hatyai, semalam.

Forum Perniagaan itu disertai oleh ahli-ahli dewan perniagaan dari lima wilayah selatan Thailand iaitu Narathiwat, Pattani, Yala, Satun dan Songkhla, serta wakil-wakil perniagaan dari lima negeri di Malaysia iaitu Kedah, Perlis, Perak, Kelantan dan Pulau Pinang.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kawasan Pembangunan Ekonomi Selatan, Sirichai Pithicharoen, bagi Thailand manakala Faudzi mewakili Malaysia.

Faudzi berkata mesyuarat semalam mengenal pasti lima bidang utama bagi kerjasama ekonomi iaitu industri halal, perdagangan, pelancongan, logistik dan pelaburan.

Bagaimanapun, industri halal menjadi perbincangan utama pada forum itu di mana Thailand, seperti Malaysia, telah bersiap-siap untuk menjadi hab halal dengan mewujudkan beberapa Zon Perusahaan Halal.

Peluang sangat banyak di sini, katanya, sambil menambah ahli-ahli perniagaan tempatan juga harus mengubah cara berfikir mereka dan perlu berfikir dari sudut pasaran antarabangsa.

Beliau berkata meskipun Malaysia dan Thailand menikmati kerjasama yang baik melalui Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT GT) dan Pembangunan Strategik Bersama Malaysia Thailand (JDS) namun beliau percaya Lima Dasar, yang lebih memberikan tumpuan kepada kerjasama antara sektor swasta kedua-dua negara, boleh melengkapi IMT GT dan JDS.

Sidang kemuncak dua hari itu bermula Khamis dengan forum perniagaan. Ia dipelopori oleh Kementerian Perniagaan Thailand dengan sokongan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia.

Forum perniagaan semalam, antara lain, membincangkan kemungkinan memperkenal 'Kad Perniagaan Lima Dasar' untuk mempermudah pemegang kad semasa melintasi sempadan dan pewujudan lorong khas di tempat pemeriksaan bagi kemudahan pemegang kad.

Mesyuarat itu membincangkan layanan istimewa yang mungkin diterima oleh ahli-ahli perniagaan Thailand di lima negeri di Malaysia itu dan begitu juga ahli perniagaan Malaysia yang melabur di lima wilayah Thailand berkenaan.

Antara lain, mesyuarat ini juga membincangkan pewujudan Zon Perusahaan Halal Pattani untuk menggalakkan lebih banyak pelaburan dari Malaysia dalam bentuk usaha sama dengan ahli perniagaan Thailand dan kemungkinan menggunakan pelabuhan halal di Pulau Pinang, kerjasama antara syarikat-syarikat logistik, pembangunan produk pelancongan dan sesi pemadanan perniagaan

No comments: