Monday, October 18, 2010

2 DAKWAAN PALSU OLEH PAS


Dua dakwaan PAS terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) serta Tengku Razaleigh Hamzah tidak benar sama sekali.

Kedua-dua dakwaan itu menyimpang jauh!

Dakwaan pembangkang kononnya Kerajaan Pusat meminggirkan Kelantan dalam pembentangan Bajet 2011 tidak benar bahkan negeri ini turut mendapat pelbagai projek pembangunan sepanjang tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata ini termasuk bantuan sekolah agama rakyat, subsidi pertanian dan projek pembinaan jalan kampung yang membabitkan peruntukan RM696 juta di seluruh Semenanjung.

"Daripada jumlah itu Kelantan dijangka mendapat peruntukan terbesar berasaskan keperluan berbanding dengan negeri lain," katanya kepada pemberita ketika mengetuai kerja gotong royong membaik pulih rumah warga emas Ghani Hussin, 75, di Kampung Teluk di Bachok semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kekecewaan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaafar yang mendakwa pembentangan bajet itu langsung tidak menyentuh peruntukan bagi Kelantan.

Kamarudin berkata ini termasuk pembinaan jalan kampung, jalan lebuh raya, pangkalan, lapangan terbang atau pun laluan kereta api tiada satu pun memberi nikmat kepada rakyat Kelantan.

Awang Adek yang juga Ketua UMNO Bahagian Bachok berkata ini tidak termasuk Kelantan turut mendapat faedah dalam projek membaik pulih 12,000 unit rumah golongan miskin dan miskin tegar di seluruh negara yang membabitkan peruntukan berjumlah RM300 juta.

Mengenai pembinaan jalan lebuh raya, beliau berkata peruntukan bagi Kelantan mungkin dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
"Kamarudin mungkin keliru dan tidak faham antara pembentangan Bajet 2011 hanya dalam tempoh satu tahun dengan pembentangan Bajet RMK-10 yang mengambil masa lima tahun," katanya.

Sementara itu Ghani berkata beliau tidak menyangka keprihatinan Kerajaan Pusat memberikan RM5,000 bagi tujuan membaik pulih rumahnya yang hampir roboh.

Beliau berkata tanpa bantuan itu beliau bersama isterinya Bidah Daud, 85, yang sedang uzur terpaksa berpijak pada lantai yang hampir reput dan jika tersalah langkah mungkin terjatuh.

"Sudahlah makan minum setiap hari pun belas ihsan jiran-jiran yang turut membantu," katanya.

Juga tidak benar ialah dakwaan PAS bahawa Umno telah membuat janji 'projek segera' di Galas kerana Projek Perumahan Rakyat yang diumumkan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini sudah lama diluluskan kerajaan pusat.

Ketua Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata PAS seharusnya menyelidik terlebih dahulu sebelum menuduh Umno sudah mula memancing undi untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan tersebut.

"Tunggulah pengumuman Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mengenai projek perumahan itu di Galas pada 24 Okt ini. Tidak semua yang kita umumkan itu adalah segera dan mungkin apa yang kita umumkan itu sudah lama dalam perancangan atau sudah diluluskan.

"Apa yang PAS buat sebab dia tak ada isu dan rakyat perlu faham mengenai perkara itu," kata Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu kepada pemberita, di sini.

Beliau yang sebelum itu mengadakan dialog bersama lebih 30 pekilang di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa mengulas dakwaan PAS bahawa Umno kini mula membeli undi pemilih DUN Galas dengan mengumumkan 'projek segera'.

Jumaat lepas, Tengku Razaleigh yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil DUN Galas ketika melawat Kampung Baru, Gua Musang berkata kerajaan telah menilai keperluan rakyat di situ apabila meluluskan Projek Perumahan Rakyat bernilai RM300 juta.

Tengku Razaleigh ketika memaklumkan mengenai projek berkata ia sebenarnya sudah lama diluluskan kerajaan pusat dan secara kebetulan berlaku kematian anggota DUN Galas, Che Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 Sept lepas.

Penamaan calon untuk DUN itu ditetapkan pada 26 Okt dan tarikh pengundian pada 4 Nov.

1 comment:

Bingai @ Bangang said...

masing-masing bengang sebab tak dapat komisen dari projek kot? hehehe

Aku Yang Bingai
Dari Emelku: Jeli Gelatin Babi?