Monday, October 18, 2010

TURUNKAN KADAR LESEN SARANG BURUNG...

Persatuan Pengusaha Industri Sarang Burung Kelantan mahu kerajaan negeri menimbangkan cadangan menurunkan kadar bayaran lesen tahunan ternakan burung layang-layang atau burung walit di negeri ini.

Pengerusinya Tan Choon Hwa berkata anggota persatuannya menganggapkan kadar bayaran lesen yang dikenakan ke atas pengusaha burung itu tidak berpatutan berbanding dengan tahap pencapaian hasil dalam industri itu.

"Kita mahu kerajaan negeri, melalui pihak berkuasa tempatan mengkaji semula kadar lesen yang dikenakan ke atas anggota persatuan yang mengusahakan sarang burung itu," katanya di Kota Bharu, semalam.

Tan yang juga anggota jawatankuasa pengusaha industri sarang burung walit peringkat kebangsaan berkata walaupun pengusaha sarang burung ini mempunyai masa depan yang cerah, tetapi segala kemudahan yang disediakan kerajaan kepada mereka ketika ini belum mencapai tahap memuaskan.

Katanya ketika ini pengusaha industri sarang burung dikenakan bayaran RM1,090 setahun, termasuk RM90 untuk bayaran kerja-kerja pembersihan sarang oleh pihak berkuasa tempatan.

Beliau juga meminta kerajaan negeri mengekalkan lesen sementara kepada pengusaha yang sedia ada di kawasan bandar di samping menambahkan pengeluaran lesen baru di kawasan luar bandar.

Sehubungan itu, beliau juga mengalu-alukan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang menyediakan peruntukan RM135 juta bagi penyediaan prasarana asas dalam kegiatan pertanian bernilai tinggi seperti industri burung walit, akuakultur, rumpai laut, ikan hiasan, herba dan rempah ratus.

No comments: