Monday, October 18, 2010

KELANTAN PERLU BANTU ATASI MASALAH PELABUR

Kerajaan Kelantan perlu memberi tumpuan khusus bagi membantu menangani masalah pelabur sedia ada kerana jika tidak, ia mampu menjejaskan produktiviti syarikat terbabit, yang akhirnya akan merugikan negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jika Kelantan gagal berbuat demikian, dikhuatiri pelabur enggan melabur di negeri itu pada masa depan, dan ini sudah tentu akan merugikan semua pihak.

"Saya minta kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar menangani rungutan terhadap permasalahan kemudahan asas seperti masalah air, sampah dan elektrik, seperti di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa.

"Sebanyak 150 syarikat beroperasi di kawasan ini, dan dalam pertemuan dengan mereka hari ini, mereka mahukan perhatian yang lebih daripada kerajaan negeri dalam meningkatkan kemudahan asas di sini," katanya.

Beliau berkata dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, kerajaan pusat telah memperuntukkan RM14.5 juta bagi meningkatkan prasarana "mesra pelabur" di Kelantan, termasuk pembinaan jalan dan pemasangan lampu jalan.

"Sebab itu, bagi saya, kerajaan pusat dan kerajaan negeri perlu bekerjasama dalam usaha membantu pelabur terus kekal, dan paling penting, bagaimana keadaan ini mampu menarik lebih ramai lagi pelabur untuk datang membuat pelaburan," katanya.

Mustapa berkata syarikat utiliti iaitu Tenaga Nasional Berhad dalam pertemuan itu, telah memberi jaminan meningkatkan kualiti pembekalan tenaga elektrik ke kawasan perindustrian berkenaan tidak lama lagi.

Selain itu, beliau turut meminta kerajaan negeri melonggarkan syarat pemilikan tanah terhadap pelabur yang mahu membina kilang.

No comments: