Sunday, November 28, 2010

MISKIN TEGAR DI KELANTAN SIFAR TAHUN DEPAN

Kerajaan mensasarkan bilangan ketua isi rumah miskin tegar sifar di Kelantan menjelang akhir tahun ini berikutan usaha berterusan Kerajaan Pusat menyediakan pekerjaan kepada mereka.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata daripada 4,396 yang disenaraikan sebelum ini, kini terdapat 50 ketua isi keluarga dikategorikan sebagai miskin tegar di negeri ini.

"Kita harap sehingga 31 Dis 2010 bilangan itu akan sifar kerana usaha berterusan dilakukan oleh kerajaan pusat menangani masalah kemiskinan di negeri ini," katanya ketika berucap pada perasmian Program Penempatan Pekerjaan Khas Azam Kerja Kelantan di Kota Bharu semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutusan (JPP) Kelantan, Yahya Mamat. Turut hadir Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Jabatan Tenaga, Kementerian Sumber Manusia, Wan Zulkfli Wan Setapa dan kira-kira 1,000 belia serta ahli e-Kasih Kelantan.

Sementara itu, Wan Zulkfli berkata sebanyak 2,361 peluang pekerjaan ditawarkan sepanjang kempen dua hari program di Kelantan Trade Center (KTC) di sini, yang melibatkan 54 majikan dari seluruh negara.

Katanya di bidang pengurusan terdapat 229 pekerjaan, bidang profesional (24), juruteknik (227), perkeranian (sembilan), pekerja mahir pertanian (550), operator loji mesin dan pemasaran (575) dan perkhidmatan 747 kekosongan.

No comments: