Sunday, December 26, 2010

Atasi Segera Masalah Penduduk Kuala Renggil

Bertarung nyawa!

Lebih 20 keluarga Orang Asli di Kampung Kuala Renggil, Lojing, tidak mempunyai pilihan apabila terpaksa menggadai nyawa setiap kali melalui titian buluh yang dibina sendiri selepas jambatan gantung di kawasan berkenaan runtuh, lima tahun lalu.

Tinjauan Berita Harian di kampung berkenaan mendapati, penduduk menyatakan kegusaran masing-masing dengan kekukuhan titian buluh itu terutama ketika hujan lebat dan aliran arus deras sungai di Sungai Hulu Brooke.

Penduduk bimbang berlaku kejadian tidak diingini termasuk dihanyutkan arus deras apabila ditakdirkan titian buluh itu runtuh secara tiba-tiba sekali gus meningkatkan risiko kemalangan jiwa.

Penduduk, Riang Ujang, 35, berkata masalah perhubungan bagi penduduk di kampung pedalaman dekat Pos Brooke Lama itu sentiasa menjadi isu yang tidak berkesudahan.

Beliau juga bimbang dengan keselamatan ahli keluarga terutama kanak-kanak yang kerap menggunakan titian buluh untuk menyeberang sungai berkenaan terutama pada musim hujan.

“Kita terpaksa membina sendiri titian buluh itu bagi mengelakkan masalah terputus hubungan ke kawasan seberang berikutan jambatan gantung yang pernah dibina Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) runtuh selepas dihanyutkan arus deras lima tahun lalu.

“Kami sudah tak sanggup mengharungi sungai setiap hari, sebab itu kami mengadakan gotong-royong membina jambatan buluh bagi kemudahan penduduk berulang alik dari kampung itu ke Pos Brooke setiap hari,” katanya.

Kasim Malu, 52, berkata kebanyakan kampung yang menjadi penempatan asal masyarakat Orang Asli di kawasan itu masih ketinggalan daripada menikmati arus kemajuan terutama jalan perhubungan yang selesa.

“Kebanyakan kampung terbabit masih menggunakan jalan yang digunakan lori balak, penduduk tidak mempunyai pilihan lain memandangkan mereka tidak mempunyai jalan perhubungan yang selesa," katanya.

Berikutan itu, beliau berharap kerajaan segera mengambil perhatian serius untuk meningkatkan taraf hidup penduduk Orang Asli terutama di luar bandar dengan menyediakan jalan perhubungan yang selesa.

No comments: