Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Kelantan akan mempertimbangkan pemberian bantuan segera kepada Muhammad Huzaifah Mohd Nor, 20, yang buta sebelah mata kanan dipercayai akibat terkena kelongsong peluru gas pemedih mata ketika rusuhan perlawanan bola sepak di perkarangan Stadium Sultan Muhammed IV, pada 7 April tahun lalu.
Pengarah JKM negeri, Md Noor Chik, berkata beliau memahami kos yang terpaksa ditanggung Muhammad Huzaifah antara RM100 hingga RM150 sebulan khusus untuk ubat bagi penjagaan matanya.
"Pegawai kita akan berjumpa Muhammad Huzaifah untuk memberi bantuan segera tetapi tindakan selanjutnya perlu dibincangkan dengan pengurusan," katanya yang menyatakan keprihatinannya terhadap Muhammad Huzaifah baru-baru ini.
Akhbar melaporkan seorang mekanik terpaksa menggunakan mata palsu selepas cedera dipercayai terkena serpihan objek daripada gas pemedih mata ketika rusuhan bola sepak di Kelantan, tahun lalu.
Akhbar juga melaporkan Muhammad Huzaifah meluahkan rasa kesal dan keliru terhadap tindakan JKM yang tidak meluluskan permohonan untuk mendapatkan elaun memandangkan dirinya mempunyai kad OKU sejak tahun lalu, selain mempunyai pekerjaan dengan pendapatan RM650 sebulan.
Selain itu, Md Noor berkata, JKM akan mengkaji semula status orang kurang upaya (OKU) Muhammad Huzaifah selaras dengan penyusunan semula kategori OKU sejak Januari tahun ini yang menyatakan bahawa kecacatan sebelah mata tidak termasuk sebagai OKU.
"Isu sekarang ini ialah dia kecewa kerana permohonan mendapatkan elaun pekerja cacat berjumlah RM300 sebulan itu ditolak, bagaimanapun kita prihatin terhadap masalah Muhammad Huzaifah," katanya.
No comments:
Post a Comment