Showing posts with label Hakim. Show all posts
Showing posts with label Hakim. Show all posts

Saturday, January 22, 2011

Usah Pertikai Pelantikan Abu Bakar Sebagai Hakim Syarie Kelantan

Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Mohamad mengingatkan pihak tertentu jangan mempertikaikan pelantikan Abu Bakar Abdullah Kutty sebagai hakim Mahkamah Tinggi Syariah kerana ia telah diputuskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN).

"Tidak ada pihak yang boleh mempersoalkan keputusan yang dibuat kerana pelantikan itu dibuat berdasarkan syarat-syarat perjawatan dalam SPN dan diperkenankan oleh Sultan," katanya.

Ada bantahan daripada Persatuan Peguam Syarie Malaysia cawangan terhadap pelantikan itu dengan alasan Abu Bakar tidak mempunyai pengalaman sebagai hakim sebelum ini.

Penyelaras persatuan itu, Che Rosmah Mohd Zain berkata, pihaknya meminta agar calon yang dicadangkan persatuan itu iaitu Hakim Mahkamah Rendah Syariah sekarang, Che Hashim Deraman, dilantik bagi mengisi kekosongan itu.

Daud berkata pengalaman sebagai hakim di mana-mana mahkamah bukan menjadi syarat pelantikan sebagai hakim kerana jawatan Abu Bakar sebelum ini sebagai Ketua Pendakwa dan Ketua Pendaftar setaraf dengan kedudukan seorang Hakim Syarie.

Malahan, katanya, mana-mana penjawat awam yang dilantik sebagai pegawai syarie di Kelantan layak menjadi hakim mana-mana mahkamah walaupun tidak pernah menjadi hakim.

"Jadi tidak timbul soal beliau (Abu Bakar) tidak layak menjadi hakim Mahkamah Tinggi kerana tidak pernah memegang jawatan hakim mana-mana mahkamah. Ini kerana kedudukan pegawai syarie adalah setaraf dengan hakim kerana ia terletak di bawah Jabatan Kehakiman yang baru diwujudkan di Kelantan," katanya.

Daud berkata kemungkinan pihak yang mempertikaikan keputusan SPN itu tidak faham mengenai kedudukan perjawatan pentadbiran Mahkamah Syariah di Kelantan walaupun ada antara mereka adalah peguam syarie.

Katanya beliau menerima surat bantahan yang disampaikan wakil persatuan itu pada 16 Jan lepas, tarikh yang sama dengan penguatkuasaan pelantikan Abu Bakar sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan menggantikan Mohd Yusoff Awang kerana tamat kontrak.

Menurutnya Abu Bakar kini mengikuti kursus di Riyadh, Arab Saudi, dalam bidang kehakiman sebelum memulakan tugas rasmi tidak lama lagi.

Beliau menafikan kenyataan persatuan itu bahawa 300 kes tertunggak di Mahkamah Syariah kerana kekurangan hakim untuk mengendalikan kes di mahkamah itu.

"Saya hairan dari mana angka kes tertunggak itu diambil sedangkan Jabatan Kehakimanan Syariah tidak mempunyai rekod itu," katanya.

Saturday, November 27, 2010

MAHKAMAH PERSEKUTUAN TOLAK PETISYEN BEKAS SULTAN KELANTAN

Mahkamah Persekutuan di Kuala Lumpur, semalam memutuskan bahawa Tengku Mahkota Kelantan berkuasa penuh sebagai sultan apabila Sultan negeri itu mengalami ketidakupayaan seperti yang peruntukkan oleh Perlembagaan Negeri Kelantan.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang mengetuai panel tiga hakim, berkata Perlembagaan Negeri Kelantan juga memperuntukkan bahawa Tengku Mahkota boleh melaksanakan tugas Sultan walaupun Sultan tidak mengalami ketidakupayaan.

"Kami berpendapat hanya seorang individu patut menguruskan hal ehwal Negeri Kelantan pada satu-satu masa," kata beliau.

Oleh itu, kata, Zulkefli, Tuanku Ismail Petra Ibni Sultan Yahya Petra tidak mempunyai kedudukan daripada segi undang-undang untuk meminta Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tentang persoalan berkaitan kuasa dan kewibawaan Tengku Mahkota itu ketika Sultan mengalami ketidakupayaan.
Panel itu, yang turut dianggotai Hakim Datuk Md Raus Sharif dan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong, sebulat suara menolak petisyen Tuanku Ismail Petra setelah membenarkan bantahan awal peguam Tan Sri Cecil Abraham, yang mewakili responden, Sultan Muhammad V (Tuanku Muhammad Faris Petra), bahawa ayahanda baginda tidak mempunyai bidang kuasa untuk merujuk persoalan tersebut kepada mahkamah berkenaan.

Tuanku Ismail Petra, yang memfailkan petisyen berkenaan pada 5 Mei dan 22 Jun tahun ini, menamakan Sultan Muhammad V dan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai responden.

Dalam petisyen itu, Tuanku Ismail Petra memohon Mahkamah Persekutan membuat keputusan tentang beberapa persoalan undang-undang sama ada Sultan Muhammad V, yang memangku jawatan Tengku Mahkota ketika itu, mempunyai kuasa untuk memecat atau melantik anggota Majlis Perajaan.

Satu lagi persoalan yang Tuanku Ismail Petra minta Mahkamah Persekutuan pertimbangkan ialah sama ada Sultan Muhammad V, yang menjadi Tengku Mahkota ketika itu, mempunyai kuasa untuk mengehadkan pergerakan Tuanku Ismail Petra hanya di dalam Istana Mahkota, Kubang Kerian, Kelantan.

Sultan Muhammad V (Tuanku Muhammad Faris Petra) dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 24 Mei tahun lepas oleh Majlis Perajaan atas alasan ayahanda baginda gering.

Pada 13 Sept, Sultan Muhammad V dilantik sebagai Sultan Kelantan oleh Majlis Perajaan. Tuanku Ismail Petra mengalami ketidakupayaan sejak Mei tahun lepas.

Dalam penghakiman setebal 33 muka surat, Zulkefli berkata Tuanku Ismail Petra tidak boleh melaksanakan kuasa sebagai Sultan mengikut Perlembagaan Negeri Kelantan, selagi Tengku Mahkota menyandang jawatan ketika baginda mengalami ketidakupayaan.

"Ini kerana, disebabkan ketidakupayaan pemetisyen (Tuanku Ismail Petra) sebagai Sultan Kelantan ketika itu, Tengku Mahkota Kelantanlah dan hanya Tengku Mahkota Kelantan sahaja yang akan melaksanakan kuasa yang diberi kepada 'Sultan' mengikut Perlembagaan Negeri Kelantan," kata beliau.

Katanya Tuanku Ismail Petra hanya boleh melaksanakan kuasa itu setelah kembali semula ke Kelantan dan menyandang jawatan sebagai Sultan Kelantan.

"Mengikut fakta yang ada di hadapan kami, pemetisyen tidak berbuat demikian sebaik saja pulang ke Kelantan pada atau kira-kira pada Mac 2010. Malah, pemetisyen terus berada dalam keadaan tidak berupaya, manakala responden pertama (Sultan Muhammad V) terus menjadi Tengku Mahkota Kelantaan.

"Berlandaskan alasan di atas, pemetisyen tidak boleh melaksanakan sebarang kuasa yang diperuntukkan kepada 'Sultan' selagi ada Tengku Mahkota.

"Pemetisyen, yang mengalami ketidakupayaan, tidak boleh melaksanakan kuasa itu, melainkan beliau pulih daripada ketidakupayaan yang dialaminya," kata beliau.

Zulkefli berkata tiada bezanya antara kuasa yang dilaksanakan Sultan Muhammad V ketika baginda menjadi Tengku Mahkota Kelantan dan kuasa yang dilaksanakan seorang Sultan yang memerintah, tanpa mengira sama ada Sultan Muhammad V dilantik oleh Majlis Perajaan atau oleh Sultan kelantan ketika itu, Tuanku Ismail Petra.

Monday, August 9, 2010

HAKIM SYARIAH AKAN MENGHADAP SULTAN

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini Abdullah Man akan menghadap Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra setelah menerima dua pucuk surat daripada Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, yang mendakwa surat itu daripada Sultan Kelantan berkaitan lafaz cerai isteri kedua Baginda.

Abdullah, yang mendengar perbicaraan kes itu secara tertutup, membuat keputusan tersebut setelah menerima surat-surat berkenaan daripada plaintif, Nik Rorhana,60, hari ini semasa perbicaraan lafaz cerai Sultan Kelantan terhadap isteri kedua Baginda, Cik Puan Elia Suhana Ahmad di Mahkamah Tinggi Syariah, di Kota Bharu.

Peguam Elia Suhana, 31, Fakhrul Azman Abu Hasan ketika ditemui di luar mahkamah berkata kedua-dua pucuk surat tersebut dikatakan mengandungi titah Sultan Kelantan yang telah melafazkan talak terhadap Elia Suhana, manakala surat kedua mengarahkan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Datuk Azamli Jamaluddin mendaftarkan perceraian Baginda.

Beliau berkata Abdullah memutuskan untuk menghadap sendiri Sultan Kelantan bagi mendapatkan pengesahan kandungan kedua-dua pucuk surat tersebut pada tarikh yang akan ditentukan kemudian selepas mendapat kelulusan daripada pihak istana.

Nik Rorhana diwakili peguam syarie, Zainul Rijal Abu Bakar dan Halim Bahari hadir pada perbicaraan itu.

Pada 30 Jun lalu, mahkamah tersebut menangguhkan perbicaraan pengesahan lafaz cerai Sultan Kelantan terhadap Elia Suhana selepas plaintif membuat permohonan pindaan penyata tuntutan berhubung lafaz cerai tersebut.

Bagaimanapun pada 25 Julai lalu, mahkamah tersebut menolak permohonan plaintif tersebut dengan alasan proseding pengesahan lafaz cerai pasangan tersebut masih didengar di mahkamah tersebut.

Nik Rorhana telah memfailkan permohonan pengesahan cerai talak tiga oleh Tuanku Ismail terhadap Elia Suhana pada 9 Mac lalu.

Sultan Kelantan didakwa menjatuhkan talak itu pada 12 Feb lalu di hadapan beberapa orang saksi ketika dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Tuanku Ismail telah berkahwin dengan Elia Suhana pada 23 Dis 2007.

Sunday, November 9, 2008

JADI, SIAPA KEBAS DUIT PPRT?

Kijang ada membaca satu posting menarik di http://gegernya.blogspot.com semalam mengenai pembebasan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Aziz Muhamad.

Mahkamah Tingggi Kuala Lumpur kelmarin membenarkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya atas tuduhan melakukan pecah amanah dan penipuan.

Ia berkaitan isu PPRT yang heboh diperkatakan pada 1999 yang mengaitkan kes itu dengan seorang Menteri yang tidak pun dipanggil ke mahkamah selepas beliau memberikan keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Bukan mahu mengaitkan sesiapa tetapi cerita itu amat sensasi sehingga kereta milik menteri itu turut ‘masuk BPR’.

Baca dulu untuk mengetahui beritanya!


SATURDAY, NOVEMBER 8, 2008 PPRT - SIAPA SEBENARNYA BERSALAH?

Menarik sekali ulasan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam bloknya bertajuk ‘FORMER SECRETARY-GENERAL ACQUITTED’ . Latar belakangnya ialah, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin membenarkan rayuan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Aziz Muhamad bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya atas tuduhan melakukan pecah amanah dan penipuan.

Semasa membebaskannya, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, berkata tidak ada keterangan menunjukkan bahawa dia memberi tekanan kepada pengurus besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Alwi Said, untuk mengeluarkan dana tanpa kelulusan.

Abdul Aziz dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada 2005 kerana bersubahat dengan Alwi melakukan pecah amanah dana Ketengah RM2 juta antara 27 April dan 31 Julai 1999 di Kompleks Kewangan, Jalan Raja Chulan, di Kuala Lumpur. Beliau juga dikenakan hukuman penjara lima tahun lagi kerana menipu Menteri Kewangan II Datuk Mustapha Mohamed melalui surat permohonan persetujuan pelaburan Ketengah RM9 juta dalam syarikat Tasik Puteri Integrated Farm Sdn Bhd antara 24 Jun dan 9 Ogos 1999 di pejabat Kementerian Kewangan di Kuala Lumpur.

Hukuman berkenaan berjalan serentak. Atas tuduhan pertama, Mohamad Zabidin berkata walaupun wujud syak wasangka yang kukuh bahawa Alwi melakukan pecah amanah atas desakan Abdul Aziz namun ia tidak dapat diterima sebagai keterangan.

Tuduhan kedua pula, katanya proses keseluruhan berkaitan dengan kelulusan projek itu dilakukan secara telus dengan pengetahuan sepenuh oleh Lembaga Ketengah.
“Oleh itu adalah salah untuk menyatakan bahawa Menteri Kewangan dipujuk untuk meluluskan projek tersebut kerana fakta-fakta ini tidak tercatat dalam surat yang dihantar kepada kementerian,” katanya.

Abdul Aziz kemudian memberitahu pemberita bahawa beliau bersyukur kepada Tuhan kerana kebenaran akhirnya terbukti. Cara Dr Mahathir membentangkan komennya cukup kuat untuk kita bertanya kembali beberapa perkara: 1. Jika Dr Mahathir mengetahui Datuk Dr Abdul Aziz Muhammad seorang kakitangan kerajaan yang baik, kenapa dibiarkan dimangsakan? Kenapa biarkan beliau dianianya sedemikian?

2. Jelas bahawa selain Menteri Kewangan II Datuk Mustapha Mohamed, ada orang turut menipu Dr Mahathir – tidak mungkin Menteri yang bertanggungjawab dengan projek pembiakan ‘koi’ dan tanaman orkid - memberitahu Dr Mahathir sebagai projek menguntungkan? Sayang yang menipu bebas dengan menjadikan orang lain mangsanya. Kalau mahu menuduh Menteri berkenaan bertanggungjawab, kenapa pula Dr Mahathir ‘menyelamatnya’ dengan membiarkan beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum 1999 dan kalah! 3. Bolehkah kes ini dibuka semula atau Abdul Aziz menyaman mereka yang pernah menganianya? Juga menarik ialah seorang pembaca yang menamakan dirinya ahmad_syah dalam responnya kepada tulisan Dr Mahathir itu berkata:

“ Ya saya setuju dengan tun mengenai projek tanaman orkid tersebut. Pada waktu itu saya masih tinggal di Gua Musang, dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) - badan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sibuk menanam pokok orkid di tepi jalan utama Gua Musang menuju Kota Bharu. Setahun kemudian tapak projek tersebut tinggal jadi semak samun. entah berapa juta duit habis buat projek sia sia ini.”


Apapun kita bersyukur dan secara kebetulan dua Aziz terbabit dalam kes yang dikaitkan dengan PPRT ini. Satu ialah Datuk Dr Abdul Aziz Muhammad yang dibebaskan dan kedua ialah peguam yang membebaskan beliau kebetulan juga Aziz iaitu Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman (bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines) selainb Saseedharan Menon. Apapun, adalah baik kita merenung kembali kenyataan Dr Mahathir mengenai isu PPRT ini:

Dr. Mahathir kesal pihak selewengkan wang PPRT PUTRAJAYA 12 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menyelewengkan wang peruntukan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

Beliau berkata, walaupun kerajaan telah berusaha memastikan penyaluran wang kerajaan diuruskan dengan sebaik mungkin tetapi masih ada pihak yang cuba menyalahgunakannya untuk kepentingan mereka.

``Kita buat nak bagi betul tetapi orang yang tak betul. Macam mana kita buat pun, dia cari lubang (peluang) sana lubang sini, nak menyeleweng,'' katanya. Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas majlis perjumpaan dan dialog dengan guru takmir masjid peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Perdana Menteri diminta mengulas laporan akhbar mengenai dakwaan penyelewengan wang PPRT sebanyak RM40 juta pada tahun 1999. Laporan tersebut menyebut wang itu digunakan untuk kempen pilihan raya 1999 di beberapa bahagian di Kelantan.

Pihak yang terlibat dalam kes itu dipercayai berpakat dengan pihak tertentu di Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan beberapa pihak lain untuk mendapatkan wang program itu.

Mereka dikatakan mengemukakan senarai nama individu di Kelantan untuk mendapatkan bantuan PPRT, walaupun tidak layak menerimanya. Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu dan tidak menolak kemungkinan ia hanya satu dakwaan palsu.

Katanya, ini kerana ada pihak yang sengaja membuat dakwaan liar seperti itu tetapi kemudian gagal mengemukakan bukti apabila diminta. ``Saya tak tahu. Kena tunggu dulu. Laporan macam itu kena ditentukan sahih atau tidak,'' tegasnya. POSTED BY GEGERNYA AT 10:16 AM

Persoalannya, jika Dr Abdul Aziz dibebaskan, siapa penyangak yang kebas duit PPRT tu ya?
Kijang pun mahu tahu dan kalaupun kes sudah belaku 10 tahun lalu, baik ia dibuka semula kerana Tun Dr Mahathir Mohamad pun mengakui beliau sudah ditipu seseorang dalam konteks projek ‘koi’ dan orkid ini.
Apamacam BPR?