Kerajaan PAS Kelantan dilihat tidak menunjukkan minat untuk menyertai Program Transformasi Ekonomi (ETP) dalam usaha meningkatkan ekonomi negeri dan menambah baik pendapatan setiap lapisan rakyat, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Ini, kata beliau berdasarkan kurangnya usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan ekonomi negeri dan pelaburan.
"Selagi Kelantan tidak menjadi sebahagian ETP ini selama itulah pemandu teksi, kereta sewa dan lain-lain tidak mendapat pendapatan setimpal dengan usaha mereka," katanya selepas pertemuan bersama pemandu kereta sewa di Kota Bharu, Sabtu lalu.
Sejak pelancaran ETP pada 25 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 18 projek permulaan dan perkembangan berkaitan untuk menjayakan agenda transformasi negara ini.
Mustapa berkata tiada jalan pintas untuk sesebuah negeri meningkatkan ekonomi masing-masing selain menambah pelaburan dan menggalakkan kemasukkan lebih ramai pelabur.
Katanya dengan langkah sebegini barulah ekonomi sesebuah negeri menjadi makmur dan rakyat dapat merasai perolehan peningkatan ekonomi kesan kerancakan pelaburan dalam pelbagai sektor termasuk peluang pekerjaan baru.
"Untuk itu pembangunan negeri hendaklah digerakkan dengan lebih pantas lagi. Negeri Kelantan hendaklah dimajukan tetapi pada masa ini nampaknya tidaklah sebanyak mana walau pun ada kemajuan tetapi tidak seperti negeri-negeri lain," katanya.
No comments:
Post a Comment