Sunday, January 9, 2011

Perancangan 'Lebih Kurang' Tidak Akan Mengatasi Punca Banjir

Kerajaan PAS Kelantan diminta supaya membuat perancangan yang teliti dalam membangunkan sesuatu kawasan terutama di bandar ini bagi mengelakkan berlakunya banjir akibat kelemahan sistem perparitan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perancangan yang 'lebih kurang' telah menyebabkan sistem perparitan tidak berfungsi dengan sempurna.

Beliau berkata, masalah itu sewajarnya diberikan perhatian serius oleh Kerajaan PAS Kelantan kerana ia berada di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan.

"Hujan sejak beberapa hari lalu menyebabkan beberapa kawasan di Kota Bharu ditenggelami air tetapi ia sepatutnya tidak berlaku kalau sistem perparitan diuruskan dengan baik malah ada di antaranya mengambil masa selama seminggu atau dua minggu untuk kering sepenuhnya.

"Dahulu ketika Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir, Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji untuk menyelesaikan masalah banjir di pekan Pasir Mas sekiranya menang.

"Ia terbukti selepas menang, Kerajaan Pusat memberi peruntukan RM10 juta untuk sistem perparitan, hari ini masalah banjir di Pasir Mas telah berkurangan berbanding dahulu," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Taman 13th Avenue semalam.

Sebanyak 70 buah rumah di kawasan taman tersebut serta kampung berhampiran ditenggelami air disebabkan sistem perparitan yang tidak baik.

Taman perumahan dan kampung itu hanya dinaiki air sejak empat tahun lalu apabila kawasan berkenaan dibangunkan secara mendadak tanpa perancangan yang baik.

No comments: