Wednesday, April 25, 2012

BN Sediakan Manifesto Khas Pilihan Raya Untuk Kelantan

Tan Sri Muhyiddin Yassin bergambar bersama peniaga kecil selepas merasmikan program Himpunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana serta melancarkan Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Perdana, Bachok semalam.

Barisan Nasional (BN) akan menyediakan manifesto khas pilihan raya untuk Kelantan, yang mengandungi janji-janji 'hitam putih' yang akan dikotakannya jika negeri ini kembali diterajui BN, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata manifesto itu akan diperincikan dengan mengambil kira semua kehendak rakyat Kelantan, yang gagal dilaksanakan PAS sejak memerintah negeri ini pada 1990.

"Kita akan bincang setiap perkara (untuk dimasukkan dalam manifesto). Manifesto ini secara hitam putihnya yang akan BN laksanakan bila menang di Kelantan.

"Ini tidak seperti manifesto pembangkang yang hanya pandai berjanji tetapi tidak pernah lakukan apa yang dijanjikan itu," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, warga pendidik, anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang Empat di Tumpat.

 Kira-kira 10,000 warga pendidik, anggota Rela, SRS dan masyarakat pelbagai kaum menghadiri majlis itu. Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata terdapat sisi kosong yang boleh dimajukan di Kelantan jika BN menguasai negeri ini selaras dengan hasrat BN membawa Kelantan menjadi negeri maju bersama negeri lain dalam tempoh lapan tahun lagi.

"Negara sudah berganjak menjadi negara paling pesat membangun dan kira-kira lapan tahun lagi kita akan menjadi negara maju dan semua negeri adalah sebahagian untuk bersama-sama merealisasikannya.

"Ini soal bersama. Kita tidak mahu ada negeri yang ketinggalan dan sebab itu saya mahukan Kelantan bersama-sama kita yang seiring dengan aspirasi iaitu di bawah BN," katanya.

Beliau berkata ramai rakyat Kelantan yang menemuinya bertanya bila pilihan raya akan diadakan kerana mereka mahu memilih BN untuk melaksanakan pembangunan dan kemajuan yang gagal dilakukan PAS.

"Lihatlah apa yang berlaku sejak 21 tahun ini. Banyak masalah tanah, air, surau, pelaburan dan perniagaan yang gagal dilakukan," katanya.

Beliau memuji kesungguhan Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, yang disifatkannya sebagai individu yang sangat sibuk menguruskan Kelantan semata-mata tidak mahu melihat negeri itu mundur dan membawa rakyat kembali memilih BN.

Sementara itu, Muhyiddin menyelar PAS yang sanggup bersekongkol dengan individu yang sama sekali mempunyai nilai bertentangan dengan agama Islam seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk S. Ambiga.

"Puak-puak ini sudah bercanggah dengan nilai Islam dan kenapa PAS mahu bersama jamaah ini. Ini jamaah songsang namanya.

Jangan kerana politik kita ketepikan agama dan kerajaan BN sama sekali tidak berkompromi dengan individu begini," katanya.

Beliau berkata PAS perlu sedar siapa Anwar, yang kini ditentang habis-habisan oleh rakan karibnya sendiri, yang sudah tentu mempunyai bukti jelas apa yang dilakukan pemimpin pembangkang itu selama ini.

Pada majlis itu,Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM75,000 kepada Rela Kelantan, SRS Kelantan (RM50,000), Majlis Permuafakatan Guru-guru Tumpat (RM30,000) dan menaik taraf padang Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang Empat (RM300,000).

Monday, April 23, 2012

Kanak-Kanak Minat Jumpa Najib, Tak Minat Nik Aziz - KENAPA?


Patut tanya kanak-kanak yang akan menjalankan pembedahan hujung tahun ini KENAPA dia tidak minat jumpa 'Tok Guru' Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat?

Patutnya jumpa Nik Aziz boleh minta air penawar atau minta Tok Guru berdoa untuknya...

Juga kenapa tidak minat Datuk Husam Musa yang kononnya dikagumi orang muda Kelantan?

Kenapa pula dia mahu t jumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang 'begitu jauh' sedangkan Nik Aziz atau Husam Musa mudah dijumpai...

Seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung berlubang berhasrat bertemu Wan Haifa Afriena Wan Halim, 7, dikatakan menjadikan Perdana Menteri sebagai idolanya setelah melihat perwatakan pemimpin negara itu di televisyen dan akhbar.

Ibunya, Akinaini Afizul Abdul Rahman, 32, berkata, setelah pihak Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian mengesahkan Wan Haifa perlu menjalani pembedahan, anaknya itu sering kali menyatakan hasrat mahu bertemu Perdana Menteri.

“Minggu lalu, dia sangat teruja melihat gambar Najib di dalam buku sekolahnya dan memotong keratan akhbar yang ada wajah Perdana Menteri serta menampalnya di dalam satu buku khas,” katanya ketika hadir ke pejabat Sinar Harian, di Kota Bharu semalam.

Kata Akinaini, anak ketiga daripada tujuh beradik itu disahkan menghidap penyakit jantung berlubang sejak berusia empat tahun setelah mengalami demam panas berpanjangan.

Menurutnya, setelah diperiksa di klinik kesihatan berdekatan, Wan Haifa merupakan murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Bukit Marak, Bachok kemudian dirujuk ke Hospital HUSM sebelum disahkan menghidap jantung berlubang.

Sunday, April 22, 2012

Pemimpin PAS Tengah 'Fening Giler' Dengan Kenyataan Mustapa


Pening lagilah pemimpin PAS Kelantan nak menjawab kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam.
Mustapa senyum lebar...pemimpin PAS pening gila!

Pening ni bukan pening sikit, pasti 'fening giler punya'!

Menurut Mustapa, kerajaan pusat membelanjakan RM1.058 bilion bagi membekalkan air bersih kepada penduduk di negeri ini sejak 12 tahun lepas. Berikutan itu beliau menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan pusat menganaktirikan pembangunan di Kelantan.

"Perbelanjaan bekalan air ini di Kelantan ada dua bentuk iaitu geran di mana kita menyediakan sumber air dan bekalan air itu diserahkan kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan pihak-pihak lain di negeri ini.

"Kita beri pinjaman kepada kerajaan negeri berjumlah RM597 juta dan yang lain-lain merupakan perbelanjaan kerajaan pusat yang mana setelah diselesai pembinaannya diserahkan kepada AKSB," katanya.

Beliau menyatakannya pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Liga Futsal Peringkat Kebangsaan Telekom Malaysia Bhd di KB Arena Futsal, Pengkalan Chepa, semalam.


Mustapa yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata kerajaan negeri melalui AKSB diberi keistimewaan dalam menyelesaikan pinjaman RM597 juta itu apabila tidak dikenakan sebarang faedah dan hanya perlu membayar pinjaman pokok sahaja.