Tuesday, January 1, 2013

Balak Kepada DAP - Mahu SPRM Lakukan Siasatan Segera


Tiga Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Kelantan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang petang semalam, bagi mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat segera isu tanah di kawasan Hutan Simpan Sungai Relai, dekat Gua Musang.

Mereka dari Persatuan Belia 4B Gua Musang, Majlis Belia Felda Kelantan dan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Gua Musang yang diwakili pengerusi persatuan masing-masing kecuali Pemuda Umno diwakili Ahli Jawatankuasa (AJK) pemuda bahagian.

Laporan polis itu dibuat jam 3.15 petang kerana tidak berpuas hati dengan penjelasan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubungan kelulusan tanah di kawasan Hutan Simpan Sungai Relai seluas 4,000 hektar kepada syarikat dipercayai dikuasai Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Selepas itu, NGO terbabit bersama 10 ahlinya mengadakan perhimpunan secara aman di kawasan Hutan Simpan Sungai Relai yang terletak 64 Kilometer dari bandar Gua  Musang yang habis diterokai untuk pembukaan ladang sawit hingga terdedah kepada kemusnahan alam sekitar.

Blok pisau.net baru-baru ini, mendedahkan Ngeh dan sepupunya yang juga Setiausaha DAP Perak, Datuk Nga Kor Ming diberi kawasan balak seluas lebih 4,000 hektar (10,000 ekar), di Gua Musang sebagai balasan membenarkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menjadi Menteri Besar Perak selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Koo Ham dan Kor Ming selepas itu pula mengakui mereka melabur dalam Syarikat Upayapadu Plantation Sdn Bhd yang mendapat projek pembalakan di Kelantan itu, tetapi Exco kerajaan Perak, Datuk Hamidah Osman mendakwa, Ngeh sebenarnya menguasai hampir keseluruhan syarikat berkenaan.

Ngeh didakwa secara peribadi memiliki 49 peratus saham bernilai RM15.5 juta, manakala 51 peratus lagi dikuasainya melalui Efektif Kirana Sdn Bhd, menjadikan pegangan keseluruhannya dalam syarikat itu RM31 juta.

Ini kerana Ngeh menguasai 99 peratus saham dalam Efektif Kirana. Pengerusi Persatuan Belia 4B, Mohamad Nazory Noruddin berkata, kenyataan yang dikeluarkan pelbagai pihak sebelum ini berhubung tanah itu mengelirukan rakyat Kelantan dan tidak adil jika puncanya diselindung pihak berkepentingan.

Oleh itu, kata beliau, lebih baik dibuat laporan polis untuk mendesak SPRM menyiasat secara terperinci bagi menentukan kebenarannya kerana bimbang jika tidak berbuat demikian lebih banyak tanah hutan simpan kerajaan diberi kepada syarikat berpentingan politik.

“Kita rasa wajar diserahkan kepada pihak berkuasa menentukan kesahihannya kerana kita mahu keadilan bagi menyelesaikan perkara berkenaan,” katanya.

Pengerusi MBF Kelantan, Mohd Norfazly Mohd Daud pula berkata, pihaknya memang menerima banyak aduan daripada penduduk apabila banyak tanah yang mereka usahakan dengan pelbagai tanaman telah disodok syarikat terbabit.

“Kita rasa bertanggungjawab untuk mengetengahkan perkara itu kerana pemimpin PAS Kelantan bersama DAP Perak masing-masing ingin melepaskan diri dengan mengeluarkan kenyataan berbeza berhubung perkara terbabit

“Memanglah mereka tidak mahu bercakap benar kepada rakyat kerana bimbang tembelang yang diselindung selama ini terbongkar terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU) tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, AJK Pemuda Umno bahagian Gua Musang, Wan Zawawi Wan Zain, pula berkata, tidak wajar bagi pemimpin PAS yang sebelum ini banyak bercakap mengenai Islam, tetapi kawasan Hutan Simpan Sungai Relai di luluskan kepada Pengerusi DAP Perak.

“Di mana letak keadilan dan perjuangan PAS dalam membangunkan negara Islam itu kalau kawasan hutan balak di Kelantan diberi keutamaan kepada pemimpin DAP terbabit atas kerjasama perjuangan politiknya,” katanya

Sinar Harian

No comments:

PENGIKUT KIJANG JANTAN