Thursday, October 10, 2013

Husam Kecewa Atau Dikecewakan Hingga Sanggup Bantai MB, Exco

 "Jangan sampai saya dedahkan banyak perkara lagi di dewan ini." - Husam Musa
Daripada hambali1
Tajuk asal (BANTAI MB &  EXCO - HUSAM KECEWA ATAU DIKECEWAKAN…)

Membaca laporan mengenai sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sejak beberapa hari ini, terutamanya semalam, mengingatkan saya kepada kejadian Ahli Dewan Undangan (ADUN) Paloh yang kini ketua pembangkang Datuk Nozula Mat Diah mahu menyepak salah seorang ADUN PAS akhir November 2007.

Nozula marah kerana Exco ketika itu, Zulkifli Mamat bagai mempermainkan beliau dan tidak menjawab soalan yang ditanya.

Saya ada pada sidang berkenaan kerana ketika itu menjadi penyelidik kepada UMNO Kelantan, khususnya untuk Tan Sri Annuar Musa (ketika itu Datuk Seri) yang menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan dan Ketua Pembangkang di DUN Kelantan.

Semalam perkara yang seakan sama berlaku kepada ADUN Salor, Datuk Husam Musa yang pada suatu peringkat kerana tidak berpuas hati dengan jawapan anggota Exco kemudiannya bangun sambil berkata: "Jangan sampai saya dedahkan banyak perkara lagi di dewan ini".

Ia bukan sekadar pernyataan tidak puas hati tetapi pada peringkat mengugut tetapi tidaklah sampai ke peringkat seperti Norzulah mahu menyepak ADUN PAS.


Kejadian PAS lawan PAS ini meningatkan saya kepada kejadian pada sidang DUN Terengganu pada 2009 dan 2010 apabila beberapa ADUN UMNO ‘bertembung’ dengan Menteri Besar Terengganu yang turut membabit 'ugutan'.

Jika di DUN Kelantan semalam Husam mengugut dengan kata-kata tetapi di DUN Terengganu berlaku ‘SMS Ugut Bunuh’ yang kesanya berlarutan hingga har ini.

Bagi saya, kini masanya Kerajaan PAS Kelantan pula yang berdepan dengan masalah menjaga ADUN mereka seperti yang berlaku di Terengganu pada 2009 dan 2010.

Puncanya besarnya adalah kerana pelantikan Menteri Besar baru, Datuk Ahmad Yakob seperti juga kes di Terengganu apabila Datuk Seri Ahmad Said dilantik menjadi Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh.

Perasaan tidak puas hati dilemparkan ke khalayak politik dengan alasan ‘sayangkan parti dan kerajaan’ tanpa menjaga air muka Menteri Besar yang baru dilantik.

Seperti kata Husam di luar dewan bahawa segala tegurannya adalah kerana sayangkan Kelantan dan mahu melihat negeri itu jauh lebih maju. "Kerajaan baharu ini masih jauh lagi dan apa yang saya sebutkan ini bukanlah salah kepimpinan," katanya.

Berbalik kepada sidang DUN Kelantan yang memasuki hari ketiga semalam, suasana tegang apabila Husam, bekas anggota Exco kanan yang pernah suatu ketika diramalkan akan menjadi Menteri Besar bertegang urat dengan beberapa anggota Exco negeri ketika sesi penggulungan

Husam yang terkenal kerana melakukan persediaan (kerja rumah) sejak beliau menjadi Ahli Parlimen lagi sebenarnya tidak berpuas hati dalam beberapa perkara:

1. Beliau memohon penjelasan kerajaan negeri mengenai pemberian kawasan balak seluas 3500 ekar di hutan simpan Chabang Tongkat Hulu Sat Machang;

2. Husam membidas tindakan kerajaan negeri terhadap kepincangan pengurusan Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB);


3. Penamatan kontrak syarikat Korea Selatan untuk pembinaan Lebuh Raya Rakyat; dan


4. Hukum syariah di negeri itu. 


Mengenai kenaikan tarif air, Husam berkata, jika AKSB diurus dengan lebih amanah, kenaikan itu sepatutnya boleh dielak.

Yang nyata AKSB sebenarnya telah gagal meningkatkan kualiti bekalan air di Kelantan walaupun beberapa loji air utama telah dinaik taraf. Husam memberi contoh naik taraf Loji Rawatan Air Jeli bertujuan mencapai 10 juta liter (JLH) air sehari dengan kos RM21 juta, namun hanya mencapai 6.6 JLH.

"Naik taraf loji rawatan air Bukit Remah, Tanah Merah dengan kos RM16.4 juta bagi meningkatkan pengeluaran kepada 42 JLH tetapi pencapaian 36.6 JLH. Naik taraf loji rawatan air Pintu Geng membabitkan kos RM52 juta dengan sasaran 30 JLH namun dengan kos sebesar itu hanya mengeluarkan 12.5 JLH. Demikian juga beberapa loji yang lain," katanya.

Untuk mengurangkan kebocoran paip, AKSB membelanjakan RM130 juta setakat Julai tahun ini, namun kadar air tanpa hasil masih 52 peratus, bererti gagal sama sekali, katanya. Bekas anggota Exco itu kemudiannya mahu satu lawatan kesemua Loji Rawatan Air diadakan segera bagi membuktikan kebenaran dakwaannya.

Husam turut meminta agar AKSB diaudit oleh satu badan bebas.

Menyentuh isu pembalakan itu, Husam kelmarin meminta kerajaan negeri tidak meluluskanpermohonan sebuah syarikat untuk menebang kawasan seluas 1,400 hektar di hutansimpan berkenaan.

Ini kerana menurutnya, ketika Kelantan diteraju Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, satu keputusan sudah dicapai agar semua permohonan baharu di kawasan hutan simpan itu mesti ditolak.

"Seingat saya, kata Tok Guru (Nik Abdul Aziz), Hutan Ulu Sat dan Cabang Tongkat adalah paru-paru untuk mengeluarkan udara segar dan bersih bagi penduduk Kelantan. Biarlah ia kekal untuk anak cucu kita," kata Husam yang juga bekasPengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan.

Husam mendakwa syarikat berkenaan bakal menerima kawasan tersebut tanpa membuat sebarang tender.

"Ia sangat meragukan sekali. Seingat saya, semasa pentadbiran YAB Tok Guru dahulu, tidak ada kawasan seluas itu diberikan kepada mana-mana individu. Adakah hanya dengan permohanan ringkas dua muka surat, serta-merta permohonan ini akan ditimbangkan?," katanya.

Mengenai kelulusan mengambil balak di hutan simpan kekal Hulu Sat itu, Ahmad Yakob menjelaskan kelulusan belum diberikan kepada mana-mana pihak dan berkemungkinan ia tidak akan diluluskan kerana di kawasan berkenaan terdapat tadahan air serta kaya dengan kepelbagaian hayat.

Dilaporkan, pada satu ketika Husam kelihatan berang apabila beberapa anggota Exco berkenaan menafikan berlakunya penyelewengan dan salah tadbir.

Anggota Exco berkenaan iaitu Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Hanifa Ahmad; dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau, Datuk Mohd Nassuruddin Daud. Hanifa dan Mohd Nassuruddin mendakwa segala keputusan menimbulkan dakwaan Husam itu telah dijelaskan dalam beberapa mesyuarat yang turut sama menjemput Husam menyertainya.

Mereka menyifatkan segala dakwaan Husam itu sangat serius dan tidak benar sama sekali.

"Yang Berhormat Salor (Husam) tidak hadir dalam mesyuarat bersama Ahli Yang Berhormat dalam beberapa mesyuarat itu," kata Hanifa sewaktu penggulungan itu.

Husam bagaimanapun menafikan perkara itu sebaliknya berkata walaupun ketiadaannya, wakil dirinya telah hadir namun perkara berkenaan tidak diperbincangkan.

Husam yang kecewa dengan serangan itu beberapa kali bangun untuk mempertahankan kenyataannya itu.

Pertelingkahan antara ADUN PAS dengan Exco PAS ini sangat menarik kerana sebelum ini seboleh-bolehnya Exco PAS dan ADUN cuba menutup ‘kelemahan’ dan ‘salah laku’ antara mereka.

Malah, bukan sekadar yang ditimbulkan Husam itu sahaja.


Banyak persoalan lain yang wajar dijawab oleh Kerajaan Kelantan. Ini termasuk peruntukan pembinaan lebuh raya dan stadium serta peruntukan untuk menjayakan projek kambing jamnapari dan padi organik.

Husam kecewa apabila kerajaan negeri yang baharu ini menamatkan kontrak dengan kontraktor dari Korea Selatan untuk membina Lebuh Raya Rakyat yang diasaskan olehnya kira-kira dua tahun lepas.

"Kerajaan baharu tidak boleh dengan mudah memutuskan hubungan dengan kotraktor yang dikira berkebolehan yang telah dipilih lebih awal dan datang dengan cadangan baharu yang pada hemat saya meragukan," katanya.

Seperti disebutkan di atas, yang paling sensitif dan banyak diperkatakan ialah tentang kenaikan tarif air sehingga 39% mengikut tahap tertentu penggunaan air, yang tidak diumumkan.

Persoalannya betulkan tarif air naik? Kalau betul naik, kenapa tidak diumumkan?

Hairan juga kenapa Husam boleh melenting begitu rupa sedangkan kerajaan PAS yang memerintah sekarang hanya berusia lima bulan lima hari ( Tarikh Pilihan Raya Umum ialah 5 Mei 2013).

Bukanlah Ahmad Yakob memerintah Kelantan dengan mengambil alih ‘legasi Nik Aziz' yang lebih 20 tahun memerintah Kelantan?

Juga bukankah Ahmad Yakob menyusun dan mengubahsuai dasar-dasar yang kebanyakkan dirangka oleh Husam sendiri yang berselindung di sebalik ‘jubah Nik Aziz’ sejak berdekad lalu?

Kalau ditakdirkan baru-baru ini Husam menjadi Menteri Besar, apakah beberapa perkara ini dilondehkan sedemikian rupa?

Sidang masih diteruskan hari ini dan apakah mungkin akan terus panas seperti kelmarin dan semalam?

Tuesday, October 1, 2013

Kerajaan BN Komited Tunai Aku Janji Sedia Satu Juta Rumah Mampu Milik


Kerajaan Barisan Nasional (BN) komited menunaikan akujanji menyediakan sehingga satu juta rumah mampu milik untuk rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah di seluruh negara selepas diberikan mandat pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan telah diminta berbincang dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi mengenal pasti tapak tanah yang sesuai selain menentukan dana diperlukan untuk tujuan itu. 

"Cabaran utama kita ialah untuk mendapatkan tanah yang strategik, dan dalam hal ini, kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sangat penting bagi merealisasikan wawasan kerajaan itu. "Kerjasama seumpama ini sudahpun dibuat sebelum ini, namun keadaan sekarang agak kritikal kerana kerajaan mahu membina lebih banyak rumah mampu milik untuk faedah rakyat," katanya.

Beliau menyatakannya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kepayan Ridge, dekat Kota Kinabalu hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Salleh Tun Said, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Hajiji Noor.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas perancangan kerajaan untuk menyediakan sehingga satu juta rumah mampu milik untuk rakyat seluruh negara seperti yang terkandung dalam manifesto BN pada pilihan raya umum lepas.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata kerjasama kerajaan negeri penting bagi menyediakan tapak tanah yang sesuai agar pembinaannya dapat dirancang dengan baik.

"Dalam manifesto kerajaan BN pada pilihan raya lalu, antara aspek yang diberikan perhatian ialah penyediaan rumah mampu milik yang harus dibina untuk rakyat di seluruh negara. "Jumlahnya hampir satu juta yang harus dibangunkan dalam tempoh tahun-tahun akan datang," katanya sambil menegaskan ia memerlukan suatu komitmen yang besar. Muhyiddin berkata walaupun peruntukan disediakan oleh kerajaan Persekutuan namun "kalau tapak membina rumah itu tidak ada atau perlu dibiayai dengan mengambil wang yang disediakan untuk membina rumah untuk membeli tapak tanah, pastinya sasaran itu tidak akan terlaksana".

"Maka itu, kita harap pihak kerajaan negeri boleh menyediakan tapak, bukan sahaja di kawasan Kota Kinabalu tetapi di kawasan lain di seluruh Sabah," katanya. Beliau berkata Sabah akan diberikan keutamaan untuk membina rumah mampu milik, sekali gus memberi manfaat kepada ramai golongan berpendapat rendah.

"Di mana rumah diperlukan, maka di situlah kita bina supaya rakyat yang menunggu sekian lama dapat memiliki atau menyewa rumah dengan kadar yang berpatutan. Ini salah satu daripada agenda besar kerajaan BN untuk menyediakan rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat," katanya.

Muhyiddin berkata peningkatan mendadak harga rumah dalam tempoh setahun lalu yang menyaksikan sebahagian besarnya dijual dengan harga lebih setengah juta ringgit, menyukarkan rakyat memiliki rumah. "Misalnya, kalau dahulu harganya RM140,000 hingga RM200,000 (seunit) tetapi kini sudah meningkat hampir setengah juta.

Siapa yang mampu membeli rumah semahal itu, walaupun mungkin pendapatan mereka RM10,000 dengan tanggungan tertentu tidak mungkin mereka mampu membayar balik pinjaman bank yang tentunya setiap bulan jumlahnya juga besar.

"Maka ini sudah menjadi perkara yang perlu kita beri perhatian. Dengan adanya program PPR dan juga peruntukan besar yang kerajaan pusat sediakan untuk Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, didukung bersama oleh pihak-pihak kerajaan negeri untuk menyediakan tapak dan prasarana utama yang diperlukan, saya kira masalah kritikal itu dapat kita atasi dalam tempoh akan datang," katanya.

Muhyiddin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak begitu berani dan tegas untuk melaksanakan program transformasi negara walaupun keadaan ekonomi global tidak menentu.

Katanya dalam keadaan di negara-negara lain berhadapan dengan kemelut dan kemerosotan ekonomi, tiada peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat tidak meningkat, ekonomi Malaysia masih mampu berkembang antara 4 hingga 5 peratus.

"Selain itu, peluang pekerjaan juga banyak kita sediakan sehingga orang asing datang ke Malaysia untuk mencari nafkah kerana di Malaysia ada peluang untuk mereka hidup dan mendapat pendapatan," katanya. 

Mengenai projek PPR di Kepayan Ridge, Muhyiddin berkata kerajaan akan membelanjakan RM80 juta bagi pembinaan 500 unit rumah yang dijangka bermula awal tahun depan dan siap tahun 2017 di tapak seluas kira-kira 2.7 hektar.

Keluasan setiap unit rumah adalah 700 kaki persegi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, ruang makan, dapur dan ruang jemuran kain.

Projek itu bertujuan menyediakan kemudahan perumahan kepada warganegara Malaysia berpendapatan rendah yang belum memiliki rumah kos rendah dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,500 sebulan dan golongan setinggan di sekitar Kota Kinabalu.