Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed memberi jaminan kerajaan pusat akan memberi kerjasama penuh kepada kerajaan Kelantan demi pembangunan negeri ini.
Mustapa berkata apa yang penting bagi membangunkan Kelantan adalah keikhlasan dan ketelusan pemimpin kerana tanpanya, rakyat yang menjadi mangsa.
"Titah tuanku kita akan usahakan sebaik mungkin. Jika ada keikhlasan dan
berterusan, kerjasama kedua-dua pihak ini sudah tentu membawa banyak
faedah kepada rakyat.
"Insya-Allah kerajaan pusat akan terus beri kerjasama kepada kerajaan negeri dan yang penting kerjasama itu perlu dipertingkatkan lagi seperti saranan Sultan Kelantan
"Kita mahu rakyat hidup dalam keadaan selesa dan hidup dalam keadaan aman. Kita mahu rakyat menikmati kemudahan sewajarnya yang disediakan kerajaan pusat," katanya selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-13 Tahun 2014 di Kota Darul Naim di Kota Bharu, semalam.
Majlis itu disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Ketika bertitah pada majlis itu, Sultan Kelantan mahukan kerajaan negeri dan pusat bekerjasama dalam merencanakan pembangunan yang sempurna di negeri itu.
Sultan Kelantan turut melahirkan rasa dukacita dan kecewa kerana ada pihak tertentu yang sanggup menggunakan media baharu untuk menyebarkan fitnah dan menyemai sikap benci-membenci antara satu sama lain.
Baginda bertitah media baharu itu juga turut digunakan untuk memusnahkan keamanan dan keselamatan yang dikecapi rakyat ketika ini.
Sementara itu, Mustapa yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ayer Lanas, mengingatkan tentang bahaya fitnah melalui media baharu yang berupaya mengancam keharmonian kaum dan menggugat keamanan negara.
Menurutya, dalam berpolitik sudah tentu wujud fahaman berbeza tetapi janganlah sampai menyimpan dendam peribadi sehingga sanggup melakukan fitnah melalui media baharu itu.
Berikutan itu, semua pihak diseru supaya memandang serius peringatan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V tentang budaya penyebaran fitnah menerusi internet serta perbuatan menyentuh sensitiviti agama.
Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, berkata, jika dibiarkan, perkara tersebut dikhuatiri menimbulkan pergeseran dan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum serta agama.
"Ini satu peringatan penting yang perlu diambil perhatian. Dalam kita berpolitik, sudah pasti kita berbeza pandangan, namun apa juga pandangan, hendaklah berdasarkan fakta.
"Bahan-bahan dalam internet pula tidak semestinya berasaskan fakta memandangkan ada yang diputar belit semata-mata untuk memenuhi selera pihak tertentu," katanya.
Beliau mengulas titah ucapan Sultan Muhammad V menggesa rakyat supaya terus bertoleransi dalam melaksanakan ajaran agama masing-masing, di samping tidak menyentuh sensitiviti atau mencampuri urusan dan amalan agama lain.
Baginda turut melahirkan rasa dukacita apabila ledakan teknologi maklumat menerusi internet terutama media baharu disalahguna segelintir pihak untuk menyebar fitnah dan memutar belit fakta sebenar sehingga mengelirukan rakyat.
No comments:
Post a Comment