Sultan Kelantan Sultan Muhammad V hari ini berharap kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dapat meningkatkan jalinan kerjasama strategik bagi memenuhi keperluan rakyat seperti penyediaan rumah mampu milik selaras dengan konsep `Satu keluarga Satu Rumah`.
"Begitu juga dengan tanggungjawab untuk membekalkan air terawat secara menyeluruh," titah baginda.
Menyentuh mengenai kos sara hidup yang meningkat, Sultan Kelantan menyarankan agar kerajaan negeri dan Persekutuan mengambil inisiatif sewajarnya bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung rakyat.
Titah baginda, semua pihak perlu berhemat dan merancang dalam berbelanja, menggunakan kemudahan sedia ada dengan sebaiknya, dan pihak kerajaan perlu mengurus tadbir kewangan secara telus.
Baginda menggesa agar pihak berkuasa tempatan di Kelantan membuat penambahbaikan kepada perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam untuk mewujudkan persekitaran bersih dan menarik di negeri ini.
Berkenaan Tahun Melawat Malaysia 2014, baginda berharap kerajaan Persekutuan terus membantu Kelantan untuk merancakkan industri pelancongan di peringkat domestik dan antarabangsa.
"Pada masa yang sama kerajaan negeri hendaklah memberi tumpuan kepada pengekalan budaya warisan dan sumber alam semula jadi sebagai produk utama pelancongan negeri Kelantan," titah baginda ketika merasmikan istiadat pembukaan Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-13 Tahun 2014 di Kota Darul Naim di Kota Baharu.
Sultan Kelantan juga menyentuh pembinaan projek Lebuh Raya Kota Baharu-Kuala Krai yang akan mula dibina tidak lama lagi dan berharap tidak ada mana-mana pihak menjadikan projek berkenaan, yang dibangunkan oleh kerajaan Persekutuan, sebagai bahan percaturan kerana ia akan memberi kesan kepada rakyat.
"Wajarlah semua pihak memperlihat keikhlasan dan rasa tanggungjawab bersama untuk menyelesaikan projek itu, kerana beta tidak mahu isu ini terus dijadikan bahan percaturan, yang menanggung beban kesusahan adalah rakyat," titah baginda.
Baginda berharap pelaksanaan pelbagai projek bernilai RM1.7 bilion di bawah pelan pusingan ketiga Rancangan Malaysia Kesepuluh disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Titah baginda, keutamaan perlu diberi kepada bandar-bandar baharu seperti Tok Bali, Sungai Terah dan di Lojing, dan yakin segala perancangan itu akan berjaya dengan adanya kerjasama di antara kerajaan negeri dengan Persekutuan.
baginda turut melahirkan rasa dukacita berikutan penyalahgunaan media baharu oleh pihak tertentu bagi menyebarkan fitnah, mencetus kebencian dan menyentuh sensitiviti antara agama.
Titah baginda, media baharu itu juga digunakan untuk memusnahkan keamanan dan keselamatan yang dikecapi rakyat negara ini.
"Beta sangat kecewa dan dukacita apabila teknologi internet disalahgunakan. Terdapat isu-isu dikelirukan fakta, dan media baharu telah digunakan (bagi tujuan itu).
"Beta mengingatkan semua pihak kiranya keamanan dan keselamatan yang dinikmati sekarang ini musnah, maka tiada siapa yang untung, malah semua akan rugi menderita,"
Baginda mengingatkan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini supaya hidup dalam suasana harmoni, bertoleransi dalam melaksanakan ajaran agama masing-masing tanpa menyentuh sensitiviti agama dan mencampuri urusan dan amalan agama lain.
Persidangan bersambung esok.
No comments:
Post a Comment