Wednesday, November 11, 2015

Husam - Ada Atau Tidak Ada, Tetap Menjadi Masalah & 'Menghantui' PAS


“Husam menegaskan kenyataan yang dibuat olehnya adalah benar dan bertanggungjawab dunia akhirat. ‘Saya sanggup mempertahankan kenyataan saya. ALLAH adalah saksi Maha Agung.’”

Jika PAS pecat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa bermakna PAS bukan parti terbuka.

Pemimpin atasannya tidak boleh ditegur atau dikritik. Apakah PAS sebuah parti yang mendakwa ia ‘Parti islam’ bersifat sebegini?.

Jika dipecat, sudah pasti pengikut Husam dan yang ‘bersama dengannya’ dari segi pendapat akan turut memikirkan untuk meninggalkan PAS dan akan terus membarah dari dalam.

Lagipun Husam sudah menegaskan dia mahu mati dalam PAS. Kita lihatlah nanti apakah ini benar di pihak Husam atau sebaliknya.

Pemimpin dan penyokong PAS serta rakyat sedang melihat isu Husam ini kerana dia tidak bercakap main-main atau ‘nak test market’.

Husam menegaskan, kenyataan yang dibuat olehnya adalah benar dan beliau bertanggungjawab dunia akhirat. Penegasnnya itu disokong oleh ikrarnya: "Saya sanggup mempertahankan kenyataan saya. ALLAH adalah saksi Maha Agung.”

"Saya sanggup menerima semua risiko berdasarkan: Apa yang saya sebutkan adalah benar‎. Saya mahu sandiwara yang telah menghancurkan parti selama ini dihentikan. Saya ingin melaksanakan kewajipan saya memaklumkan kepada ahli dan masyarakat umum sandiwara belakang tabir yang telah berjalan sekian lama.”.

 "Sehubungan itu, siaran di laman web rasmi PAS dengan tajuk 'Jawapan Fitnah Terhadap Presiden PAS' - saya harap dapat ditarik balik serta merta. Saya tegaskan di sini, saya tidak memfitnah sesiapa," ujarnya lagi.

Sejauh ini, penganalisis politik rata-rata melihat tindakan Husam yang mengkritik Presidennya sebagai satu tindakan berani. Mereka mempercayai Husam mempunyai asas kukuh berbuat demikian.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, kebenaran dakwaan Husam itu agak tinggi kerana Adun Salor itu tidak mungkin mengemukakan persoalan terhadap perkara yang tidak berlaku.

Beliau merasakan tindakan berani Husam itu  bertujuan untuk memastikan bahawa kedudukan PAS itu terus mantap bukan untuk menghakiskannya ataupun cuba menjejaskan reputasi presiden parti seperti yang dituduh oleh sesetengah pihak.

‘Teguran keras’ Husam itu bagi memberikan gambaran sebenar apa yang telah berlaku dan mengelakkan pemimpin tertinggi PAS mengambil tindakan sendiri tanpa merujuk peringkat bawahan.

Tujuannya adalah untuk memastikan bahawa perkara sama tidak berulang lain kali kerana jika berulang dan ia berlaku tanpa pengetahuan pihak lain di luar, seolah-olah mereka ini bersekongkol dengan musuh politik mereka.”

Ini menjadi dilemma kepada PAS bukan Husam.

Jika Husam tarik diri, dia seperti berada di pihak yang bersalah. Sedangkan Husam kini dilihat seorang yang berani menegur kepimpinan atasan melalui hujahnya yang berfakta.

Rasanya Husam tidak mudah meninggalkan PAS. Dia tidak menyertai rakan-rakannya meninggalkan PAS walaupun selePAS Muktamar PAS menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Lagipun jika berundur, Husam dilihat pemimpin yang ‘pengecut’ dan itu bukan sifat Husam.

Namun begitu, isunya seperti disebut pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat, rakyat di bawah percaya dakwaan Husam memandangkan Adun Salor itu pernah menjadi orang kuat PAS.

“Ia akan menjadi seperti membuka pekung di dada. Ini menyebabkan orang luar semua percaya sebab dia bekas naib presiden PAS. Jadi, apabila dia yang bercakap, rakyat di bawah akan percaya kerana dia dulunya orang kuat PAS,” katanya.

Jika demikian apa juga keputusan parti atau keputusan Husam sendiri, akan mendatangkan kesan yang agak lama. Ujian kepada PAS ialah bagaimana ia boleh membuktikan bahawa jawapan oleh Hadi ialah “TIDAK!”.

Seperti kata pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir, Presiden PAS itu perlu menjawab dakwaan terhadap dirinya itu secepat mungkin bagi mengelakkan isu persepsi terus menebal.

Ketika ini Hadi  tidak boleh terus mengunci mulut terhadap dakwaan yang dilemparkan oleh Husam.

 “Jika benar, beliau harus menjawab. Jika tidak betul, beliau harus buktikan dengan testimoni-testimoni ataupun saksi-saksi yang boleh (membuktikan) beliau tidak melakukan. Hadi harus mengambil pendirian untuk segera bangkit memberi penjelasan apa sebenarnya yang berlaku," katanya kepada Sinar Online.

Husam menegaskan hari ini dia akan menjawab sama ada akan meninggalkan parti itu atau tidak pada majlis dialog yang dianjurkan pihaknya pada lusa (13 November ini).

ADUN Salor itu berkata demikian mengulas saranan Ketua Dewan Ulama Datuk Mahfodz Mohamed agar beliau meninggalkan parti itu selepas lantang mengkritik Presiden PAS.

Mahfodz juga mencadangkan Husam menyertai parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH).

Bercakap kepada Malaysiakini, Husam berkata: “Saya akan jawab dalam majlis dialog Demo Tanya Ambo Jawab,”.

Apa juga jawapan Husam, seperti dikatakan oleh pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd SaniHusam bijak mencari masa yang paling sesuai untuk mengkritik dari dalam.

Ini  sekali gus menyukarkan lagi kepimpinan sekarang.

“Dakwaan-dakwaan yang dilemparkan Husam itu, hak dialah sebagai ahli politik untuk bercakap tapi PAS perlu ambil tindakan ke atasnya sekiranya mereka merasakan tindakan Husam itu sebagai satu ancaman dan boleh menjatuhkan parti.

“Keadaan ini jika berterusan memang tidak elok kepada PAS. Ia menunjukkan PAS itu lemah dan bukan sahaja sudah berpecah sebelum ini tapi semakin membarah,” katanya.

Azizuddin juga mengakui Husam sebagai ‘berbahaya’ kepada parti kerana dilihat sudah ‘tidak bersama’ namun masih kekal dalam PAS.

Ini pendapat akademik yang realitinya, mungkin PAS akan bertambah ‘baik’ selepas ini.

Maksudnya, selepas ini Presiden PAS tidak akan membuat pengumuman penting mengenai dasar parti ‘ikut selera atau ketika’ tetapi secara kolektif.

Selain itu, mungkin kritikan Husam akan menyebabkan pemimpin PAS mulai sedar bahawa adalah baik melakukan ‘sesuatu’ daripada sekarang daripada menunggu hingga parti tidak boleh diperbaiki lagi.

Jika dalam keadaan sedemikian, apa alternatif penyokong?


Sama ada tukar pemimpin atau menyeberang ke parti lain yang dilihat mampu memperjuangkan hasrat dan cita-cita mereka.

Inilah keadaan yang ditunggu AMANAH sebenarnya! 

No comments: