Pasukan Kelantan akan menjalin kerjasama dengan kelab
yang beraksi dalam Serie B Itali, FC Bari 1908 dalam usaha memperkukuhkan
kedudukan pasukan itu pada masa hadapan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri
Annuar Musa berkata, beliau akan melawat kelab tersebut dalam masa terdekat
untuk merealisasikan impian tersebut.
"Berbual bola dengan pemilik FC Bari sebaik beliau
tiba dari Rome petang Ahad. TRW akan menjalin kerjasama rapat dengan kelab
Itali itu.
"InsyaAllah saya akan melawat FC Bari dalam masa
terdekat," katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya semalam.
Pada 13 April lalu, hartawan dari Malaysia, Datuk Dr
Noordin Ahmad memeterai perjanjian pembelian saham FC Bari 1908, menjadikan
beliau sebagai pemegang saham majoriti kelab tersebut selepas membeli 50
peratus saham dengan nilai 12 juta euro (RM52.59 juta).
Menyifatkan pembelian kelab tersebut bakal menyumbang
kepada pembangunan bola sepak negara, Annuar menyatakan hasrat untuk membawa
bersama skuad Kijang berkunjung ke gelanggang FC Bari sekiranya pasukan itu
berjaya melangkah ke final Piala Malaysia 2016.
"Saya buat tawaran untuk Kelantan, kalau mereka mara
ke final Piala Malaysia 2016, saya dan Dr Noordin akan bawa pasukan ini ke
Bari, Itali," katanya.
Pada masa sama, beliau turut berhasrat menjemput FC Bari
untuk beraksi menentang pasukan Kelantan dalam perlawanan persahabatan di dalam
negara tahun ini.
Sementara itu, Annuar menegaskan Kafa akan berusaha
membantu pasukannya untuk terus kekal dalam aksi Liga Super meskipun skuad
Kijang mempamerkan aksi terumbang ambing pada musim ini.
"Usaha untuk terus bertahan dalam Liga Super akan
terus dibuat agar tidak menerima nasib seperti pasukan juara lain yang jatuh
merudum. Malangnya tak ramai membantu," katanya.
Beliau mengakui Kelantan masih belum mampu membentuk
sebuah pasukan berkualiti disebabkan pelbagai kekurangan khususnya bajet yang
tidak mencukupi pada tahun ini.
"Kelantan adalah pasukan dengan modal paling kecil
dan paling miskin dalam Liga Super 2016. Pengurusan perlu terus menerus cari
tajaan yang belum mencukupi. Satu lagi tahun yang sukar," katanya.
Jelas Annuar, walaupun Kelantan menduduki tangga kelima
selepas sembilan perlawanan, beliau yakin pasukan itu akan bangkit melakar
kejutan dalam dua aksi terakhir pusingan pertama saingan Liga Perdana Super
musim ini.
Kelantan akan bertandang ke gelanggang Felda United pada
Rabu ini manakala bertemu Selangor pada 18 April.
"Atas kertas kita bakal tewas kedua-duanya dan bakal
menamatkan pusingan dengan 12 mata saja. Namun Kelantan ada kalanya mampu
membuat kejutan," katanya.
mStar
No comments:
Post a Comment