Wednesday, May 18, 2016

Perhilitan Kelantan Sahkan Tulang Babi Dalam Sungai Golok di Pasir Mas


Ikan Baung bubu Sungai Golok berumpankan daging babi?

Kesian pengguna di Kelantan jika terbeli dan termakan ikan berkenaan.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan mengesahkan tulang yang ditemui penduduk di Sungai Golok di Pasir Mas baru-baru ini adalah milik dua ekor babi kampung.

Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Khairi Ahmad berkata tulang itu berkemungkinan terdampar di tebing Sungai Golok selepas ada penduduk negara jiran yang membuangnya ke dalam sungai dan hanyut sehingga ke Kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang.

Mohamad Khairi berkata sebelum ini tulang babi tersebut tidak kelihatan namun ia semakin jelas kelihatan selepas air sungai semakin cetek.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan, penduduk di Kampung Kubang Rambutan mendakwa, daging babi dijadikan umpan menangkap ikan di Sungai Golok dekat Pengkalan Rambai, sejak lima tahun lalu.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Telaga Mas, Che Husain Ismail berkata, bahagian babi dipotong kepada saiz lebih kecil kemudian dimasukkan ke dalam bubu untuk menangkap ikan sungai.

Menurutnya, teknik menangkap ikan baung ini, biasanya dilakukan penduduk bukan beragama Islam membabitkan rakyat Malaysia dan negara berjiran.

Walaupun ia berlaku sejak lima tahun lalu, Che Husain berkata, ia tidak mendapat perhatian umum kerana lokasinya agak terpencil dan jauh dari kawasan penempatan.

“Ia tidak dapat dikesan kerana paras air dalam, sekarang bila air dah surut barulah orang sedar betapa banyaknya tulang berselerak di beting Sungai Golok,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Mohd Che Daud, 48 berkata, ekoran kejadian itu, penduduk di kampung ini tidak lagi membeli ikan sungai yang ditangkap di kawasan ini.


Namun katanya, penduduk dari mukim lain mungkin menjadi mangsa kerana membeli ikan sungai yang menggunakan daging babi sebagai umpan.

“Saya kasihan dengan penduduk di Rantau Panjang yang menggunakan air sungai ini untuk keperluan harian.

“Begitu juga dengan penduduk yang mandi dan beriadah di kawasan cetek dekat Pekan Rantau Panjang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Lubok Stol, Ab Aziz Seman mendakwa, ada penduduk melapah daging babi untuk pasaran luar negara di kawasan itu.

Malah menurutnya, individu berkenaan mengambil langkah mudah membuang tulang sisa ke dalam sungai sedangkan sepatutnya ia ditanam.

“Selepas daging habis, tulang dibuang ke dalam sungai kemudian hanyut dalam sungai ini, sepanjang empat kilometer.

“Saya harap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan turun padang serta berusaha menyelesaikan masalah ini dengan segera,” katanya.

Sebelum ini,  Sinar Harian turut melaporkan, penduduk di Sungai Golok gempar dengan penemuan tulang haiwan berselerak di sungai berkenaan.

Tulang berkenaan cuma disedari penduduk akibat paras air cetek akibat fenomena El Nino dialami kini.

Sementara itu, Jabatan Perhilitan Kelantan telah menghantar sepasukan tiga kakitangan ke kawasan berkenaan selepas menerima laporan daripada penduduk yang mengesyaki tulang yang ditemui adalah tulang babi.

"Siasatan yang dilakukan mendapati memang benar tulang itu adalah tulang babi kampung yang dipelihara penduduk negara jiran dan dibuang ke dalam sungai selepas binatang itu mati," katanya ketika ditemui di Pasir Mas, semalam.

Penduduk di Kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang sebelum ini mendakwa menemui sisa tulang babi di tebing Sungai Golok.

Penduduk kampung tersebut menjadikan air Sungai Golok sebagai sumber utama untuk mandi dan membasuh pakaian berikutan gangguan bekalan air.

Air dari situ turut mengalir di Kampung Bagus yang kini menjadi tempat perkelahan baharu di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan kerana paras air sungai yang cetek.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata pihaknya akan menghantar sepasukan kakitangan Bahagian Air dan Kebersihan Alam Sekitar (Bakas) ke kawasan yang dilaporkan.

Beliau berkata sampel air di sungai tersebut akan diambil untuk dikaji memandangkan ia digunakan oleh ramai penduduk.

"Bagaimanapun setakat ini tiada sebarang kes berkaitan penyakit bawaan air dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan," katanya.

No comments: