Saturday, June 4, 2016

Kerjasama JPAM, Kolej Komuniti Tingkatkan Perkhidmatan Kepada Masyarakat


Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berada dalam siap siaga untuk menghadapi kesan fenomena La Nina atau hujan lebat luar biasa yang mungkin dihadapi seluruh negara.

Ketua Pengarah, Datuk Ogu Salim Omar, berkata pihaknya sudah bersedia dari segi peralatan dan kelengkapan sebagai persediaan menghadapi banjir.

"Setiap peralatan dan jentera sentiasa diperiksa dan diselenggara selain penambahan dari segi lori dan bot untuk kegunaan anggota bagi memberikan bantuan kepada mangsa banjir.

"Selain penambahan peralatan, kami akan menambahkan anggota sukarelawan di setiap negeri sebagai satu usaha mencukupi tenaga jika berlaku kecemasan dan waktu getir.

"Jika bilangan peralatan dan jentera tidak mencukupi di Kelantan, kami akan meminta jentera di negeri lain untuk membantu bagi melancarkan proses bantuan kecemasan," katanya pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Watikah Pegawai Bersekutu PISPA Kolej Komuniti Kelantan/Terengganu dan Penganugerahan Pingat JPAM Kelantan di Kota Bharu, kelmarin (2 Jun 2016).

 Yang turut hadir, Pengarah Kolej Komuniti Bayan Baru, Leftenan Kolonel (PA) Sharihan Shahidan dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti (KPT), Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Amir Md Noor.

Ogu Salim berkata, majlis itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada 29 anggota sukarelawan yang berkhidmat dengan JPAM dan pada masa sama membuka kerjasama dengan universiti awam dalam menyediakan anggota sukarelawan dalam kalangan mahasiswa.

"Kami membuka keahlian sebagai satu cara menambahkan anggota sukarelawan yang mahir untuk menyelenggara jentera dan peralatan ketika kecemasan," katanya.


Sementara itu, kerjasama JPAM dengan kolej komuniti di seluruh negara mampu menambah baik perkhidmatannya kepada masyarakat.
Ogu Salim berkata kerjasama dari segi tenaga dan kepakaran itu menjadi platform bagi JPAM menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat khususnya ketika menghadapi bencana alam dan kemalangan.

"Kolej komuniti mempunyai kepakaran antaranya dalam bidang kejuruteraan dan automobil, kami boleh mendapatkan bantuan kepakaran mereka itu bagi memberikan pertolongan kepada mangsa, ‘ katanya.

No comments: