Insiden pengambilan kawasan penempatan penduduk Kampung
Laut, dalam Dewan Undangan Negeri Pasir Pekan untuk projek tapak warisan tanpa
sebarang makluman dan perundingan wajar menjadikan mereka terasa seperti hilang
tempat mengadu dan bergantung.
"Selama ini kami bekerja keras malah ada yang
bersabung nyawa untuk menangkan wakil rakyat dan parti supaya jadi pembela kami
dikala kami dianiaya dan ditindas.
MB yang juga ADUN Pasir Pekan...semuanya dah selesai. |
"Nasib kami sungguh sedih kerana ketika kami
dipersiakan dan hak kami cuba diceroboh tiada mereka yang kami harapkan itu
menjaga nasib kami," kata wakil penduduk Haji Mohd Nordin Adam kepada MalaysiaDateline.
Kekecohan tercetus Isnin lalu apabila Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) dan
pegawai-pegawai negeri bersetuju hadir ke majlis dialog berkaitan pengambilan
tanah yang didiami penduduk di Kampung Laut untuk didirikan tapak warisan
melalui satu projek di bawah pembangunan wilayah Timur (ECER).
Menurut Haji Nordin, apa yang dikesalkan ialah
pemberitahuan tentang pengambilan tanah-tanah berkenaan langsung tidak dibuat di
peringkat awal.
"Semua termasuk MB datang memberitahu segalanya
telah selesai dan rancangan ini telah digazetkan.
"Proses berikutnya hanyalah tarikh pengambilan dan
perundingan tentang jumlah pampasan," katanya.
Beliau selaku Ketua PAS Cawangan Kampung Laut
mengingatkan bahawa semua orang dalam keadaan tekejut dan amat-amat sedih
dengan situasi ini.
"Hasil usaha kami kampung ini terus kekal paling
kuat PAS di DUN Pasir Pekan di mana dalam pilihan raya lalu Pas mendapat lebih
80 peratus sokongan di sini.
Tiba-tiba kami berhadapan dengan situasi seperti tiada
wakil rakyat yang membela kami," katanya.
Sebagai penyokong PAS kata Haji Nordin beliau selalu
bergerak ke seluruh negara apabila ada rakyat dizalimi dan ditindas oleh
pemerintah zalim Barisan Nasional.
"Saya pernah hadir demo di Johor, Pahang dan banyak
kali di ibu negara untuk bersama rakyat tertindas apabila pemerintah
sewenang-wenang merampas hak rakyat.
"Malang sungguh ia kini berlaku kepada kita sendiri
dan mereka yang kita harap jadi pembela rupanya juga besedia dengan tindakan
menzalimi rakyat," katanya.
Beliau agak hairan kerana berdekatan tapak kawasan
penempatan penduduk terdapa kawasan tanah milik keretapi (KTM) yang lebih luas
daripada kawasan kediaman terbabit.
"Kami berharap pihak terlibat berunding dengan pihak
KTM bagi mengelakkan berlaku reaksi di luar jangka daripada penduduk,"
katanya.
Haji Nordin adalah aktivis PAS yang pernah memegang
jawatan Timbalan (waktu itu disebut naib) Ketua Pas Kawasan Tumpat dan sehingga
kini merupakan Pengerusi jawatankuasa pengelola Maahad An Nur yang diasaskan
almarhum Ustaz Yahya Osman.
No comments:
Post a Comment