Tuesday, July 19, 2016

Sisi Gelap Industri Muzik Cemarkan ‘Negeri Serambi Mekah’


"Selain mengubah dikir barat menjadi lebih ‘panas’, mereka turut mempopularkan lagu daerah berentak dangdut, disko dan pop. Gadis dieksploitasi oleh penerbit sebagai pelaris dengan imej seksi..."

Apakah yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa Kerajaan Negeri  dan kerajaan Pusat untuk membanteras kehadiran lagu-lagu berunsur lucah atau mempunyai dua maksud yang tidak baik?

Kerajaan negeri nampaknya hanya berminat dengan pakaian wanita tetapi tanpa sedari budaya lucah sudah diserapkan kepada golongan belia, khususnya remaja sejak lebih sedekad yang lalu.

Apa tindakan kerajaan negeri khususnya Exco yang banyak bercakap mengenai aurat?

Apakah aurat hanya dari segi pakaian terdedah sahaja?

Bagaimana dengan aurat melalui suara dan pendengaran? Lebih dahsyat ialah wujudnya  budaya lucah dan pengeksploitan terhadap wanita yang disalurkan melalui lagu dan video yang berleluasa di jual di Kelantan dan Pantai Timur?

Ada kerajaan PAS Kelantan ambil kesah?

Ahmad Fadhli...tiada desakan
Begitu juga dengan Pemuda PAS Kelantan, dalam isu anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming yang dikatakan menghina umat Islam yang menyamakan dedak dengan duit raya, beliau lantang menuntut supaya memohon maaf terhadap umat Islam berhubung entri di laman sosial Facebooknya itu.

Namun, perkara mungkar yang berlaku di depan mata, ada di kedai menjual kaset dan video serta pasar-pasar malam di merata negeri berkenaan, Dewan Pemuda PAS tidak pun mendesak pihak berkuasa kerajaan negeri bertindak.

Apakah kemungkaran yang cepat mempengaruhi belia ini tidak penting untuk dibanteraskan berbanding ‘penghinaan Kor Ming’ itu?

Apakah Ketuanya,  Ahmad Fadhli Shaari tidak peka atau bimbang akan hilang sokongan kepada kerajaan negeri jika bertindak.

Tidak pernah kedengaran isu ini dibangkitkan seolah-olah maksiat dan kemungkaran itu ‘dibenarkan’ oleh kerajaan PAS Kelantan yang kononnya memperjuangkan Islam.

Memalukan juga apabila video ‘maksiat’ ini dijual beriringan dengan video ceramah agama dan ceramah politik oleh pemimpin PAS Kelantan. Kenapa boleh diperbuat sedemikian?

Hamzah Hassan mengutamakan mutu sewaktu membuat rakaman di studionya di Kota Bahru, Kelantan
Laporan Utusan Malaysia pada 13 Julai menyebut bahawa industri muzik Kelantan tidak terlepas daripada terpalit kontroversi dengan kehadiran lagu-lagu berunsur lucah atau mempunyai dua maksud yang tidak baik.

Bagaikan barah, penghasilan lagu-lagu tersebut dikatakan bertambah saban tahun.

Malah di YouTube, berlaku lambakan klip-klip video memaparkan wanita seksi dengan aksi mengghairahkan.

Klip itu bebas ditonton sesiapa sahaja.

Situasi tersebut sedikit sebanyak mencemarkan nama baik Kelantan yang mendapat jolokan Negeri Serambi Mekah.

Bagi aktivis seni dikir barat seperti Yie Arjunasukma, keha­diran lagu dan klip video berunsur lucah perlu dibanteras sebelum ke­adaan menjadi lebih parah termasuk merosakkan minda masyarakat.

Yie Arjunasukma atau nama sebenarnya, Mohd. Sulhie Yusuf berkata, lagu-lagu ‘kotor’ itu pernah popular sekitar 1980-an dan selalunya didendangkan pada waktu tengah malam oleh para pendikir.

“Sebaik sahaja memasuki pukul 12 tengah malam, tukang karut mengubah corak persembahan mereka menjadi lucah dan menggunakan wanita sebagai bahan gurauan.

“Amalan itu berkurangan lewat 90-an apabila pendikir lepasan universiti membuat perubahan dengan membawakan lagu-lagu berunsur nasihat dan kritikan sosial,” katanya.

Antara pelopor kepada lagu berunsur nasihat, kritikan sosial serta kemanusiaan ialah Cikgu Sulizi, Halim Yazid dan Cikgu Naim.

Usaha murni itu mendapat respons positif sehingga mereka diangkat sebagai ikon kepada golongan belia.

Sekitar tahun 2002, industri muzik Kelantan mula diserikan dengan kehadiran ramai penyanyi wanita.

Selain mengubah dikir barat menjadi lebih ‘panas’, mereka turut mempopularkan lagu daerah berentak dangdut, disko dan pop.

Golongan itu yang terdiri daripada gadis dikatakan dieksploitasi oleh penerbit sebagai pelaris.

Imej seksi mereka dijadikan penghias muka depan album selain dijemput sebagai penyanyi duet atau penari latar dalam klip video.

“Sebagai insan yang memperjuangkan seni warisan Kelantan, saya terkilan kerana fenomena ini menyebabkan masyarakat meng­anggap seni muzik Kelantan itu penuh dengan unsur kotor dan lucah.

“Saya mohon kepada rakan-rakan seperjuangan, jangan hanya kerana ingin mengaut untung semata-mata, kita sanggup 'melacurkan seni' kebanggaan kita ini,” kata Yie Arjunasukma.

No comments: