Monday, August 29, 2016

Kes Seleweng RM15 Juta - SPRM Soal Siasat Jeneral Bersara


Seorang jeneral bersara yang juga pengerusi sebuah bank berkaitan kerajaan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disoal siasat berkaitan kes penyelewengan bernilai RM15 juta.

Lelaki berusia 65 tahun itu akan menjadi individu kedua dari institusi kewangan yang sama dipanggil oleh SPRM berhubung kontrak penerbitan buku bernilai jutaan ringgit dan projek menaik taraf sistem perbankan itu.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan, SPRM mengenal pasti seorang Tan Sri menerajui sebuah bank yang dipercayai terlibat dalam kes salah guna kuasa dan penyelewengan projek penerbitan buku berkenaan.
  
Menurut sumber, siasatan awal mendapati, suspek menggunakan akaun dua buah firma guaman bagi menyimpan wang yang diperoleh hasil kegiatan tersebut.

Ujarnya, individu terbabit te­lah bersekongkol dengan peguam membuka dua firma guaman bagi mendapatkan tender melibatkan penerbitan buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara.

“Sebaik sahaja wang diperoleh, wang terbabit akan dima­sukkan ke dalam dua akaun firma guaman yang terlibat sebelum wang itu dipindahkan ke beberapa akaun yang lain.

“Difahamkan, ketika firma guaman itu ditubuhkan, di dalam akaun firma terbabit hanya mempunyai wang bernilai RM2,000.


Namun semakan terkini mendapati akaun terbabit mempunyai wang berjumlah ratusan ribu ringgit,” katanya.

MStar turut melaporkan bahawa Pengarah Urusan bank berkaitan kes ini yang berusia 48 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan kes sama bersama empat yang lain pada Khamis.

Difahamkan kontrak bernilai RM15 juta diberikan kepada sebuah syarikat penerbitan untuk menghasilkan sebuah biografi berkaitan seorang pemimpin negara.

Antara perjanjian itu adalah penerbit perlu mencetak kira-kira 20,000 salinan penerbitan itu tetapi jumlah yang dicetak jauh lebih rendah.

Sumber berkata beberapa bank akaun berjumlah kira-kira RM10 juta dibekukan SPRM berhubung kes itu.

Seorang lagi sumber memberitahu The Star, SPRM mengesyaki beberapa individu bekerjasama untuk menggelapkan wang tersebut.

"SPRM juga sedang mengesan dalang kes ini," kata sumber itu.

Empat  individu berhubung kes salah guna kuasa dan penyelewengan dana RM15 juta dibawa keluar oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selepas Mahkamah Majistret Putrajaya kelmarin.

Seorang jurucakap SPRM berkata perintah reman terhadap lima suspek termasuk pengarah urusan itu dilanjutkan selama dua hari sehingga Selasa ini.
SPRM turut menahan seorang lagi lelaki berusia dalam lingkungan 40-an pada Sabtu untuk membantu siasatan kes ini.

Dia turut direman sehingga 2 September ini.

Kelmarin, , lapan individu termasuk seorang Pengarah Urusan sebuah bank bergelar Datuk direman bagi membantu siasatan kerana dipercayai terlibat dalam kes salah guna kuasa dan ra­suah melibatkan penerbitan buku berkaitan seorang tokoh pemim­pin negara.

Kesemua mereka ditahan dalam beberapa serbuan di ibu negara sejak kelmarin.

Turut dirampas iaitu enam buah jam ta­ngan yang setiap satunya bernilai RM20,000 serta wang tunai sebanyak RM30,000 daripada Datuk terbabit.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 atas kesalahan menggunakan kedudukan atau jawatan untuk suapan pegawai institusi awam.

Sementara itu, pengarah siasatan SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Katanya, siasatan sedang dijalankan untuk mencari bukti kes berkenaan.

No comments: