“Sewajarnya selain meminta kerajaan negeri, Mustapa
juga boleh sama-sama berusaha melalui ‘kebijaksanaannya’
mendapatkan sokongan Putrajaya dan pelabur, sekurang-kurangnya untuk musim
2017.”
Sukan bolasepak di Kelantan merentasi parti politik.
Selain penyokong, pegawai Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA)
juga terdiri daripada pemimpin politik dari parti yang ‘berlawanan sepanjang
masa’.
Malah penyokong Kelantan, terutamanya kalangan muda dapat
melupakan ‘persengketaan politik mereka’ apabil menyokong pasukan Kelantan yang
turut dikenali sebagai The Red Worriors (TRW).
Namun langit tidak selalunya cerah untuk bolasepak
Kelantan, khususnya KAFA.
Malah dikatakan, kemenangan Tan Sri Annuar Musa di
Parlimen Ketereh pada pilihan raya umum lalu turut disebabkan oleh
popularitinya melalui kejayaan TRW.
Orang muda menyokong beliau bukan sahaja di padang tetapi
juga di peti-peti undi di seluruh Ketereh yang membolehkan beliau mencapai
kemenangan, walaupun agak tipis.
Prestasi TRW musim lalu selepas menamatkan kempen Liga Super, mereka berada di
kedudukan keempat dengan mengumpul 29 mata manakala pada saingan Piala Malaysia
pula, mereka tersingkir di peringkat suku akhir selepas tewas kepada Polis
Diraja Malaysia (PDRM).
Pada kempen Piala FA pula, skuad The Red Warriors itu
tewas kepada Kedah pada saingan pusingan kedua.
Selepas ditinggalkan Annuar, KAFA terumbang-ambing seketika dan kini (KAFA)
perlu bekerja keras dalam tempoh dua minggu untuk mencari dana berjumlah RM14.2
juta.
Ia bagi memastikan Kelantan terus kekal beraksi dalam
saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2017.
Sebelum ini ada laporan mengatakan KAFA mungkin menarik diri daripada Liga-M jika gagal
mendapatkan dana mencukupi sebelum bermula kancah baharu 2017.
Berikutan itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dicadangkan
mengambil alih jawatan Presiden KAFA.
Namun dalam kenyataanya sebelum ini, Ahmad menolak
cadangan supaya beliau menerajui Kafa kerana faktor liabiliti.
Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah kelmarin
mendedahkan, badan induk itu hanya mempunyai dana berjumlah RM800,000 ketika
ini.
Afandi berkata, jumlah tersebut jauh daripada mencukupi
bagi membolehkan Kelantan terus kekal bersaing di Liga M.
Beliau ulangi, KAFA tidak menolak kemungkinan menarik
diri daripada Liga M jika gagal mencari jalan penyelesaian dalam tempoh
terdekat ini.
“Keputusan muktamad sama ada Kelantan menarik diri atau
tidak bakal diputuskan pada kongres luar biasa KAFA yang akan diadakan pada 29
Disember ini.
“Segala keputusan akan diputuskan dalam kongres tersebut
yang bakal diusulkan kepada semua wakil bola sepak jajahan supaya kemelut
kewangan dihadapi persatuan diketahui perwakilan yang hadir nanti,” kata Afandi
selepas mempengerusikan mesyuarat pengurusan KAFA di Kota Bharu malam kelmarin.
Menteri Besar sebelum ini menjelaskan, kerajaan negeri
sudah memberi bantuan kepada KAFA Sebelum
ini termasuk mengurangkan levi dan cukai hiburan.
Semalam Pengerusi Barisan Nasional Kelantan, Datuk Seri
Mustapa Mohamed meminta kerajaan negeri mendahulukan kehendak rakyat Kelantan
yang sentiasa menyokong dan meminati The Red Warriors (TRW) sejak sekian lama.
“Ini kehendak rakyat Kelantan, mereka nak TRW terus
berjaya dan gah dalam persada bola sepak negara,”katanya.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, sebelum ini KAFA pernah
bertemu dengan beliau berhubung masa depan TRW namun masih tiada kata putus
dikeluarkan setakat ini.
Namun beliau menegaskan adalah lebih wajar untuk kerajaan
negeri mengambil alih tampuk pimpinan KAFA yang sudah kukuh terbina itu.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri berkata BN Kelantan sangat berharap kerajaan negeri menimbang semula keputusan untuk tidak
melibatkan diri dengan KAFA.
Menurut Mustapa, kerajaan negeri seharusnya mengambil
tanggungjawab dan mengikut rentak negeri lain yang mana menteri besar memainkan
peranan dalam menerajui badan bola sepak masing-masing.
“Sejak sekian lama bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar
Musa memimpin bola dan menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang, sehingga
legasi bola sepak sudah terbina begitu baik di negeri ini.
“Maka, sudah tiba masa kerajaan negeri pula mengambil
alih kerana asas sudah ada dan amat kukuh, mereka ambil dalam keadaan bola
sepak Kelantan sudah melonjak dan cukup hebat. Jadi wajarlah timbang semula
untuk tidak terlibat dengan KAFA,”katanya.
Mesyuarat pengurusan KAFA kelmarin diadakan khusus bagi
membincangkan hala tuju skuad The Red Warriors yang mengalami masalah kewangan
kritikal termasuk kekurangan penajaan.
Musim lepas, Kelantan mendapat tajaan daripada syarikat
Vida Beauty milik Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dr.
Vida.
Setakat ini, KAFA hanya menerima tajaan-tajaan kecil
termasuk daripada Syarikat Eniqworld Enterprise pengeluar produk kecantikan dan
minuman berasaskan kesihatan namun tajaan tersebut masih belum mampu menampung
perbelanjaan pasukan.
Sewajarnya selain meminta kerajaan negeri, Mustapa juga
boleh sama-sama berusaha untuk mengekalkan kegemilangan bolasepak Kelantan yang
sudah pun menemui temponya.
Kerajaan negeri mungkin menghadapi masalah kewangan dan
Mustapa yang terkenal kerana ‘kebijaksanaannya’ mendapatkan sokongan Putrajaya
dan pelabur, boleh membantu sekurang-kurangnya untuk musim 2017.
Selepas ini, melalui jawatankuasa pengurusan baru KAFA,
terserahlah kepada mereka untuk mencari penajaan dan menjamin keputusan
perlawanan yang lebih baik daripada musim 2016.
Bantuan Mustapa itu sudah pasti berbaloi bukan sahaja
dari segi kemajuan sukan tetapi mungkin mendapat ‘laba politik’ seperti yang
pernah dirasai Annuar dan kali ini bukan untuk satu kawasan parlimen sahaja
sebaliknya akan tempias ke beberapa kawasan parlimen lain.
Apa ditunggu lagi ‘Tok Pa’, bantu dan rasailah labanya
nantI.
No comments:
Post a Comment