Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan
sedang menyiasat lebih tiga kes rasuah berprofil tinggi di negeri ini yang
melibatkan kerugian jutaan ringgit.
Pengarahnya Datuk Moh Samsudin Yusof berkata siasatan
yang masih di peringkat awal itu melibatkan organisasi, individu dan pegawai
kanan kerajaan.
"Kes itu membabitkan kesalahan mengganggu hasil
kerajaan, merencatkan hasil kerajaan, merugikan kerajaan dan pembangunan yang
tidak mengikut peraturan," katanya kepada pemberita selepas Majlis
Perasmian Hari Anti Rasuah Antarabangsa Peringkat Negeri 2016 di Stadium Sultan
Muhammad IV di Kota Bharu, hari ini.
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob merasmikan
majlis berkenaan.
Pada 16 Disember 2015, SPRM menegaskan agensi itu masih
menjalankan siasatan ke atas dakwaan salah laku rasuah pembalakan bernilai RM5
juta di Kelantan.
SPRM menyebut, pihaknya memerlukan sedikit masa untuk
melengkapkan siasatan tersebut.
Sinar Online pernah melaporkan seorang pengundi muda dari
Kelantan, Mohd Afiq Ayob berasa kecewa apabila SPRM didakwa tidak menyiasat
laporannya mengenai isu rasuah pembalakan bernilai RM5 juta di negeri itu.
Kemudian, pada 14 Julai 2016 lalu, Moh Shamsudin berkata
sejak Januari hingga Jun lepas, SPRM Kelantan membuat tangkapan ke atas 11
individu berkaitan kes rasuah.
Katanya dalam tempoh sama juga sebanyak 114 laporan kes
rasuah diterima sama ada melalui pegawai yang bertugas atau melalui
surat.
Daripada jumlah itu, 22 kertas siasatan dibuka, 30 kes
dirujuk kepada ketua jabatan masing-masing untuk tindakan dalaman dan
selebihnya masih dalam tindakan kerana kekurangan bukti.
Berkaitan tiga kes rasuah berprofil tinggi itu, Moh
Samsudin hari ini meminta mereka yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan
tampil untuk membantu siasatan.
Beliau juga berkata sejak Januari hingga Jumaat, pihaknya
telah membuka 31 kertas siasatan berhubung aduan kes rasuah oleh pelbagai pihak
di negeri ini.
"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 19 kes sudah
selasai siasatan manakala baki 12 kes lagi belum disiasat," katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan menggunakan
seni budaya negeri ini seperti dikir barat dan wayang kulit, bagi menyampaikan
mesej berkaitan kempen kesedaran anti rasuah kepada masyarakat.
Beliau juga meminta semua pihak termasuk badan bukan
kerajaan dan individu melaporkan kegiatan rasuah supaya tindakan segera dapat
diambil.
No comments:
Post a Comment