Keputusan BN untuk tidak membentangkan rang undang-undang
meminda akta 355 adalah bukti presiden PAS telah mempermainkan umat Islam.
"Sewajarnya beliau dan seluruh AJK PAS pusat meletak
jawatan secara en bloc," kata Penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa
pada sidang media di majlis menaikkan bendera di Jalan Kebun Sultan Kota Bharu
petang semalam.
Keputusan ini yang disifatkan beliau 'jalan mati' dalam
episod RUU355 ciptaan ahli parlimen Marang itu dan memberi implikasi buruk
kepada agama Islam.
"(Datuk Seri) Hadi (Awang) tidak boleh lari dari
tanggungjawab kerosakan ini dan beliau bersama-sama jawatankuasa PAS pusat
perlu meletakkan jawatan sebagai pemimpin parti," katanya.
Husam bercakap dalam sidang media di Kota Bharu semalam.
Percubaan
Hadi membawa usul persendirian dalam perkara ini bertentangan dengan semua
amalan mengikut lunas-lunas demokrasi di negara ini.
Husam dan Wan Rahim menaikkan bendera Amanah di Kota Bharu |
"Dalam PAS perkara ini telah kita bincang semasa
saya jadi naib presiden lagi.
"Waktu itu kita putuskan pindaan ini hendaklah
dibawa oleh pihak kerajaan dan bukannya usul persendirian," katanya.
Husam turut menamakan dua orang menteri BN yang
memperdayakan PAS dan umat Islam kononnya pindaan ini akan disokong oleh UMNO.
"Datuk Jamil Khir Bahrom dan Datuk Ashraf Wajdi
Dasuki juga perlu bertanggungjawab atas penipuan mereka.
"Mereka berdua dilihat begitu kuat menjanjikan untuk
menyokong usul ahli parlimen Marang sedangkan dari pihak UMNO tidak ada
sebarang komitmen," katanya.
Pada majlis itu Husam, Datuk Wan Abdul Rahim
Abdullah dan pimpinan Amanah negeri dan kawasan Kota Bharu menyaksikan upacara
menaikkan bendera Amanah.
Upacara itu diadakan di hadapan sebuah bangunan yang
dulunya digunakan sebagai pusat operasi PAS di kawasan itu.
Sebelum ini Wan Rahim, dalam satu majlis di Bunut Payung,
mengumumkan Husam sebagai baka calon Amanah di parlimen Kota Bharu dalam
pilihan raya umum akan datang.
Ia kemudiannya disahkan oleh Presiden Amanah, Haji
Mohamad Sabu dalam majlis yang sama.
sumber Dateline Malaysia