Wednesday, August 9, 2017

Pegawai Menteri Bertindak Ganas: UMNO Kelantan Didesak Bertanggungjawab


Pemuda Pakatan Harapan (PH) mahu UMNO Kelantan dan Pengerusi badan perhubungannya, Datuk Seri Mustapha Mohamed bertanggungjawab terhadap tindakan pegawai khas Datuk Ahmad Jazlan mencederakan dua pemimpin mereka Ahad lalu.

"Kita tidak mahu budaya politik samseng kembali menyerap dalam situasi kini yang telah lama ditolak masyarakat.

"Ingatlah bahawa langit tidak selalunya cerah dan tindakan samseng penyokong Umno itu sememangnya ditolak oleh seluruh rakyat yang bertamadun," kata Ketua Armada Bersatu Kelantan, Asran Alias.

Mustapa perlu bertanggungjawab
Kenyataannya dibuat  pada sidang media di sebuah hospital tempat beliau masih di rawat semalam.

Menurutnya pemimpin pemuda semua parti gabungan PH bersetuju membuat kenyataan bersama membantah tindakan pihak Umno itu dan bersedia untuk mengambil tindakan bersepadu dalam menghadapi isu berkenaan.

"Di sini saya kemukakan kenyataan yang dipersetujui Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Zulhazmi Hasan, Ketua AMK PKR Kelantan, Hafidz Rizal. DAP Kelantan Mohd Fauzi Mohd Azmi dan saya sendiri mewakili Armada," katanya.

Menurutnya, pihak pemuda PH amat kesal apabila tindakan pemuda PH Kelantan yang membuat laporan itu berlandaskan semangat Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang sebagaimana yang digariskan dalam Rukun Negara, dibantah dan dikasari oleh Pegawai Khas Timbalan Menteri tersebut dan para pengikutnya apabila mereka bertindak memukul dan menyepak Setiausaha Pemuda Amanah Kelantan Syahidul Amri Khairuddin.

"Memandangkan tindakan samseng yang dilakukan oleh pegawai khas timbalan menteri tersebut terhadap pemuda PH Kelantan, maka satu laporan polis telah dibuat terhadap mereka atas tindakan ganas,tidak bertamadun, kasar dan jenayah seperti yang dilakukan oleh pengikut timbalan menteri tersebut," katanya.

Beliau mengingatkan kepada pengikut timbalan menteri yang telah bertindak samseng dan ganas sehingga memukul wakil pemuda bahawa langit tidak selalunya cerah.

"Tindakan samseng penyokong Umno itu sememangnya ditolak oleh seluruh rakyat yang bertamadun.

"Pemuda Pakatan Harapan Kelantan mengecam sekeras-kerasnya tindakan samseng ala Pemuda Tahan Lasak seperti yang telah berlaku dalam arena politik tidak bertamadun pada puluhan tahun lampau oleh Umno Barisan Nasional," katanya.

No comments: