PAS tidak ada peluang di Kelantan.
Harapan PAS untuk kekalkan kerajaan yang sedia akan
berkecai kerana akan berlaku tsunami politik di ngeri berkenaan.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA)
Datuk Ibrahim Ali meramalkan tsunami politik tidak mustahil bakal melanda
Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Ibrahim menjelaskan, berdasarkan senario semasa
pemerintahan Kelantan, ia sudah bertapak
lama dan kini tiada impak atau perubahan besar ditunjukkan.
Keadaan itu katanya mungkin mendatangkan rasa cemuh
kepada rakyat.
"Tok guru (Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat)
pun dah tak ada dan orang pun dah mula bercakap sejak PAS memerintah selama
lebih suku abad, tak ada apa (di Kelantan).
"Pendapatan kerajaan negeri tak bertambah, asyik
tebang balak saja. Pekerjaan kurang, rakyat Kelantan ramai berhijrah ke
luar," katanya.
Beliau mengatakannya pada sidang media selepas program ramah mersa dan agihan
sumbangan kepada penduduk di Kampun Hutan Chengal Tendong, Pasir Mas, semalam.
"Kalau rakyat rimas sekarang, saya tidak tolak
kemungkinan mereka akan balik pada BN. Begitu juga dengan (peluang) HARAPAN,
tapi bukan pada PAS, " tegasnya yang berkecimpung dengan politik Kelantan
sejak 1974.
Di sebalik itu sejarah membuktikan PAS cukup kuat di
Kelantan namun akhirnya tumbang dalam PRU kelima yang diadakan pada 1978.
"Itulah tsunami politik yang boleh berlaku pada
bila-bila masa jika rakyat mahukannya.
"Begitulah pada 1990 apabila BN tumbang di
Kelantan," katanya merujuk kepada detik PAS kembali mentadbir negeri itu.
Beliau yang dikenali sebagai ‘Tok Him’ berkata tsunami
itu kemungkinan berlaku selepas negeri
itu diperintah PAS sejak 27 tahun lalu.
Bagi beliau, tsunami berkenaan hanya akan berpihak sama
ada kepada BN atau Pakatan Harapan (HARAPAN).
Walaupun tsunami dijangka berlaku kali ini, bekas
timbalan menteri itu menegaskan, PAS tidak akan mendapat manfaat daripadanya.
Ibrahim adalah bekas anggota UMNO yang pernah menjadi wakil rakyat bagi Pasir
Mas pada PRU ke-12 lalu.
Ibrahim bertanding menggunakan tiket PAS ketika menyertai
pilihan raya pada 2008. Ia berikutan pendiriannya yang tidak merestui cara
kerajaan pimpinan perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau kemudian menubuhkan PERKASA.
Ibrahim gagal mempertahankan kerusi Pasir Mas pada PRU
ke-13 lalu selepas kecundang kepada Nik Abduh Nik Abdul Aziz dengan majoriti
8,047 undi.
Mengambil kira sejarah politik di negeri Cik Siti Wan
Kembang itu, Ibrahim menegaskan BN pula sudah lama tidak mentadbir Kelantan,
dan harus diingat rakyat juga pernah selesa dengan parti berkenaan.
"Dulu BN pernah menang di Kelantan dan memerintah
hampir 18 tahun. Rakyat tahu keupayaan parti BN.
Untuk rekod PAS berjaya merampas Kelantan pada PRU ke-8 dengan
bantuan Parti Semangat 46 yang diketuai Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku
Razaleigh Hamzah.
Ibrahim sendiri adalah salah seorang pemimpin utama parti
berkenaan.
Menurut Ibrahim semua perkembangan politik Kelantan yang
disebutnya itu berlaku ketika beliau terlibat dalam politik.
Sementara itu mengulas pengamatan melalui faktor atas
kertas, Ibrahim berkata, kemungkinan besar wujudnya pertandingan tiga penjuru
pada PRU ke-14 dan ia bakal menguntungkan BN.
"Saya bagi contoh mudah. Sekarang ini BN ada lima
parlimen iaitu Gua Musang, Jeli, Tanah Merah, Ketereh dan Machang.
"Di Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin kalah 200
undi sebelum ini.
Maknanya kalau tiga penjuru nanti, undi PAS akan pergi
pada HARAPAN dan BN akan menang," katanya sambil menyifatkan PAS mungkin
hanya berjaya mempertahankan beberapa kawasan yang memang kubu kuat mereka
saja.
(Sumber- Malaysiakini - Tajuk asal – ‘Tok Him ramal
tsunami landa Kelantan lagi’)
No comments:
Post a Comment