Monday, June 5, 2017

Apakah Pertandingan Tiga Penjuru Di Kebanyakan Kerusi DUN Kelantan?


Kenyataan Menteri Besar Kelantan yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob bahawa  Pas akan bertanding 100 peratus di Kelantan akan membuka kepada pertandingan tiga penjuru di kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ini bermakna pada kesemua 45 kerusi DUN, PAS akan bertanding. Ketika ini PAS memiliki 32 kerusi DUN, UMNO/BN 12 dan PKR hanya satu sahaja.

Ini jika tiada kerjasama antara PAS dan UMNO. Sebaliknya jika mereka ‘tidur sebantal’, bagaimana pula?

Apakah UMNO sanggup melepaskan 12 kerusi miliknya sekarang atau bagaimana?

Sebagai parti pemerintah negeri, PAS wajar memaklumkan demikian tetapi pertanyaan ialah apakah PAS Kelantan tidak akan bekerjasama dengan UMNO Kelantan jika berpendirian sedemikian?

Apakah PAS yakin menang jika tidak bekerjasama dengan UMNO/BN atau parti lain, khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?

Atau apakah PAS sudah nekad ia mahu bersendirian?

Atau  apakah kenyataan Ahmad ini hanya gimik pilihan raya sedangkan sudah ada kesepakatan antara PAS dan UMNO ‘di balik tabir’.


Kenyataan Ahmad yang memaklumkan bahawa parti Islam itu akan bertanding di semua kerusi di Kelantan  dalam PRU14 akan datang menguatkan lagi spekulasi mengenai apa yang diperkatakan di Kelantan sekarang.

Cakap-cakap bahawa untuk kerusi DUN, PAS akan bertanding semua sementara untuk kerusi Parlimen pula, UMNO akan bertanding di kebanyakan kerusi untuk menjamin Barisan Nasional (BN) terus memerintah di Putrajaya.

Pakatan dan ‘perjanjian di balik tabir’ ini bukan  lagi sesuatu yang menjadi rahsia. Ini kerana gerakan-gerakan UMNO menggunakan ustaz PAS untuk tujuan tazkirah dan ceramah agama pada majlis-majlis UMNO pada Ramadan ini sudah menggambarkan segala-galanya.

Sejauh mana dan sebanyak mana PAS akan menyerahkan kerusi Parlimennya kepada UMNO/BN untuk bertanding di Kelantan masih jadi tanda tanya.

Ketika ini PAS memiliki sembilan (9)  kerusi Parlimen dan UMNO/BN hanya ada lima (5) kerusi dan apakah PAS akan berkompromi jika UMNO/BN memberikan laluan kepadanya?

Namun daripada kenyataan Ahmad ini, amat nyata PAS akan pertahankan apa sahaja yang tinggal baginya di Kelantan kerana agak sukar untuk PAS pada pilihan raya kali ini, termasuk di Terengganu dan Kedah.

Dengan terputusnya tahaluf siyasi antaranya dengan PKR, PAS juga terpaksa ‘berlakon’ di Selangor dan apa yang dapat dilihat, PAS mengamalkan ‘cara berpolitik mengikut negeri’.
Ketika ia mengatakan kerjasama politiknya dengan PKR sudah putus, di Selangor dan Kelantan, masih berlaku.


EXCO PAS masih kekal dalam kerajaan negeri Selangor dan pegawai PKR yang dilantik ooleh kerajaan Kerajaan masih berkedudukan dalam jawatan masing-masing.

Mungkin kerana kedudukan ini Ahmad menegaskan bagi kerusi PKR di Kelantan pihaknya akan meneliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perkara tersebut.

“Pas akan bertanding di semua kerusi yang pernah ditandinginya sebelum ini dan untuk kerusi PKR, kita akan lihat dulu sama ada ingin letak calon atau pun tidak," katanya selepas Program Ihya’ Ramadhan Bersama Anak Perantauan Kelantan, malam tadi.

Masa masih ada untuk melihat sandiwara PAS di Kelantan dan walaupun melihat dirinya kuat, PAS tentunya tetap bimbang bahawa ia mungkin akan kehilangan kerajaan negeri jika percaturannya salah.

Peringatan ialah, Jangan sekali-kali PAS perkecilkan kekuatan AMANAH dan PPBM di Kelantan!


No comments: