Thursday, February 15, 2018

Kamarudin - Selepas 8 Tahun Menyepi, Kini Calon PPBM Pasir Puteh


Selepas  lapan tahun menyepi daripada politik, bekas ketua UMNO bahagian Pasir Puteh selama 15 tahun, Kamarudin Mohd Noor kini menyertai PPBM dan bakal menjadi calon Parlimen Pasir Puteh dalam pilihan raya umum akan datang.

"Saya terpanggil untuk menyertai PPBM selepas ia ditubuhkan dengan satu alasan, berkhidmat untuk negara, kerana melihat apa yang berlaku kepada negara ketika ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau membuat keputusan itu apabila melihat pemimpin UMNO yang giat mengkritik 1Malaysia Development Bhd (1MDB), bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan juga bekas timbalan presiden UMNO Muhyiddin Yassin kini bersama PPBM.

"Kalau rakan rapat saya Muhyiddin rela dipecat kerana mengkritik 1MDB dan Dr Mahathir yang sudah 92 aktif kembali, kenapa tidak saya," kata bapa kepada 10 anak ini yang rapat dengan bekas timbalan perdana menteri yang dipecat, Muhyiddin.

Kamarudin, 70, dijangka berdepan dengan tokoh-tokoh besar dari UMNO dan PAS dalam pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti di kawasan Parlimen Pasir Puteh.

PAS dijangka meletakkan Nik Zawawi Salleh, setiausaha Majlis Syura Ulama, badan tertinggi dalam parti itu manakala UMNO dijangka akan meletakkan Ashraf Wajdi Ahmad Dasuki, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Kelebihan saya adalah, hanya saya orang tempatan Pasir Puteh manakala kedua-dua calon PAS dan BN itu orang luar," kata Kamarudin penuh yakin.

Ashraf dari Tumpat.
Nik Zawawi berasal dari Besut, Terengganu daerah berjiran dengan Pasir Puteh manakala Ashraf berasal dari Tumpat, Kelantan.

Sejak tiga pilihan raya umum lalu, calon PAS sentiasa menang di parlimen Pasir Puteh mengalahkan calon UMNO. Dalam PRU13, calon PAS, Nik Mazian Nik Mohamad menang mengalahkan calon BN, Tuan Mustaffa Tuan Mat dengan majoriti 1,888 undi.

Walaupun tidak terlibat dengan prapenubuhan PPBM, Kamarudin adalah antara pimpinan awal yang dinamakan PPBM. Beliau dilantik sebagai ketua penerangan parti itu di peringkat nasional di samping pengerusi PPBM Kelantan dan ketua PPBM bahagian Pasir Puteh.

Menurut beliau, sehingga kini, PPBM sudah mengenalpasti 40% calon daripada 52 kawasan Parlimen yang diperuntukkan Pakatan Harapan (PH) kepada parti itu.

Beliau menjangka, 50% daripada calon PPBM nanti adalah bekas pemimpin UMNO yang menyertai PPBM sebagaimana beliau.

"Hanya satu kebimbangan saya iaitu logo. Tanpa penggunaan satu logo, ia akan memberikan masalah kepada pengundi," katanya merujuk kepada tindakan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang masih belum meluluskan logo PH.

Kamarudin, bekas naib presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim),  menyertai UMNO pada 1986, selepas empat tahun rakan rapat beliau, Anwar Ibrahim berbuat demikian. 

Sehingga kini beliau masih dianggap rakan rapat Anwar walaupun tidak menyertai PKR yang ditubuhkan Anwar dan kekal bersama Dr Mahathir dalam UMNO ketika rakan rapatnya itu dipecat.

Beliau menang dua kali dalam pilihan raya iaitu untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak di Pasir Puteh. Namun, usahanya untuk bertanding di parlimen Pasir Puteh pada 1990 dan 1999 tidak berjaya.

Kamarudin dianggap antara pemimpin UMNO yang mempunyai nilai agama yang tinggi sesuai dengan penglibatan beliau dengan Abim, sebuah NGO Islam yang dihormati di negara ini.

Menurut Mohamad Zainal Abidin Hussin, seorang bekas penyelidik di Pusat Kajian Strategik (PKS), faktor Kamarudin itu cukup besar. 

"Bagi saya, faktor Kamarudin sendiri akan menyebabkan PH boleh mendapat separuh dari undi UMNO sebelum ini, khasnya golongan terpelajar dan juga undi PAS sebelum ini," kata bekas penyelidik di badan bawah kerajaan negeri Kelantan itu.

Sebelum berehat daripada politik mulai 2008, Kamarudin dikira pemimpin UMNO paling berpengaruh di Pasir Puteh selepas 15 tahun menjadi ketua UMNO bahagian itu.

Zainal yang juga berasal kawasan DUN Semerak yang pernah diwakili Kamarudin, mengakui pemimpin PPBM ini mempunyai pengaruh besar di Pasir Puteh.

"Beliau bekas Adun kawasan saya. Walaupun dia tidak kenal saya tetapi orang kampung saya sangat suka kepada dia," kata Zainal yang kini menyertai Amanah.

Tambahnya, beliau yakin kehadiran Kamarudin akan menambahkan nama baik PH Kelantan di mata pengundi negeri itu yang cenderung untuk menyokong pemimpin dengan latar belakang agama yang baik.

1 comment:

ANUAR CHE MAHMUD said...

Ha2, ini lagi sorang kononya bekas PM dan TPM sanggup berjuang menentang Najid dam 1MDB. Gunakalah kelebihan yang ada tu untuk jalan yang lebih berfaedah sikit....
\