Mahkamah Sesyen di Kota Bharu semalam menyaksikan seorang bekas ketua cawangan UMNO dijatuhi hukuman penjara satu hari dan didenda RM10,000 atas kesalahan memberi keterangan berbeza kepada Suruhan Jaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Harun, 51 selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah atas tuduhan yang dihadapi.
Berdasarkan pertuduhan, Mohamad didakwa memberi keterangan berbeza semasa perbicaraan di Mahkamah Sesyen 2 dekat Kota Bharu pada 16 Mac lalu kira-kira jam 2.45 petang iaitu “Anuwari datang bayar wang saya sebanyak RM400. Dia berhutang dengan saya”.
Keterangannya itu didakwa tidak selaras dengan keterangannya kepada pegawai penyiasat SPRM, Syamsul Arifin Othman pada 4 Ogos 2008 iaitu “ Encik Anuwari Muhamad telah datang ke rumah saya. Beliau telah menyerahkan wang sebanyak RM400 kepada saya. Saya tidak tahu dari mana dia mendapat wang tersebut. Tujuan wang tersebut diserahkan adalah untuk diagihkan kepada Ketua-Ketua UMNO cawangan”.
Atas kesalahan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 27(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda tidak melebih RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Mohamad yang diwakili peguam Zahari Kechik kemudiannya memohon kepada mahkamah meringankan hukuman terhadap anak guamnya itu.
Zahari berkata, tertuduh sekarang berusia 51 tahun, telah berkahwin dan mempunyai 10 anak.
“Daripada 10 anaknya itu, tujuh masih lagi bersekolah. Tertuduh (Mohamad) sekarang mengusahakan kedai runcit di rumahnya dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan.
“Buat masa sekarang, tertuduh boleh dikatakan aktif dalam politik kerana pernah memegang jawatan sebagai ketua cawangan dalam sebuah parti politik,” katanya.
Selain itu, Zahari berkata, pengakuan salah yang dibuat tertuduh menjimatkan masa dan kos mahkamah untuk meneruskan perbicaraan kes-kes lain.
“Tertuduh juga telah sedar akan kesalahan yang dilakukan dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan seperti itu lagi pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa SPRM, Siti Zakiah Che Man pula memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh.
“Dalam kes ini, tertuduh telah membuat pengakuan bersalah atas tuduhan yang dihadapi dan tertuduh tahu implikasi atau risiko yang akan diterima atas pengakuan tersebut.
“Saya mohon hukuman sewajarnya dikenakan kerana sikap sesetengah pihak yang beginilah menyebabkan pihak SPRM menghadapi masalah di mahkamah sekali gus menjejaskan kes-kes SPRM,” katanya.
Menurutnya, kesan dan akibat daripada tindakan tertuduh memberi keterangan di mahkamah yang tidak selaras dengan kenyataannya kepada pihak SPRM mengakibatkan persepsi masyarakat mengatakan pihak SPRM hanya menjalankan kes-kes terpilih sahaja.
“Walaupun pada hakikatnya, SPRM sebenarnya menghadapi masalah dengan saksi-saksi sebegini,” katanya.
Rofiah semasa membacakan keputusan penghakimannya berkata, setelah mahkamah mempertimbangkan semua rayuan peguam bela tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan, mahkamah jatuhkan hukuman penjara satu hari berkuat kuasa semalam dan denda RM10,000 ke atas tertuduh.
“Jika denda tersebut tidak dibayar, tertuduh akan dipenjara selama dua tahun,” katanya.
No comments:
Post a Comment