Friday, August 13, 2010

NIK AZIZ SOKONG HUKUMAN LEBIH BERAT KES BUANG BAYI

Mayat seorang bayi perempuan yang ditemui dalam lubang kumbahan najis di belakang asrama sebuah kolej kediaman di Bandar Bukit Bunga, Tanah Merah, Kelantan, semalam.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyokong penuh cadangan kerajaan mengenakan hukuman lebih berat terhadap kes buang bayi bagi membendung gejala itu yang semakin berleluasa di negara ini.

Mursyidul Am PAS itu berkata, hukuman lebih berat itu adalah menepati ajaran Islam supaya dapat memberi pengajaran kepada pelaku dan bakal pelaku.

Katanya, undang-undang sekarang lebih “bersimpati” kepada penjenayah buang bayi yang menyebabkan gejala itu masih berleluasa.

"Saya juga bersetuju sekiranya hukuman bunuh dikenakan ke atas kes membabitkan kes buang bayi yang menyebabkan bayi itu mati," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Medan Ilmu di Kota Baru, hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan kerajaan mengarahkan polis menyiasat kes pembuangan bayi sebagai kes percubaan bunuh atau bunuh yang boleh dijatuhi hukuman gantung.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata Jemaah Menteri bersetuju tindakan lebih berkesan diambil bagi membendung penularan kes itu.

Juga semalam, ketika Kabinet mengarahkan individu terlibat dalam kes pembuangan bayi disiasat mengikut Kanun Keseksaan iaitu membunuh atau cubaan membunuh, satu lagi mayat bayi ditemui dibuang di Bandar Bukit Bunga, Jeli.

Tanpa perikemanusiaan serta menghormati kedatangan Ramadan, bayi perempuan yang masih bertali pusat itu ditemui di dalam lubang kumbahan najis di belakang asrama sebuah kolej di Bandar Bukit Bunga.

Mayat bayi malang yang dipercayai dibuang sejak seminggu lalu itu ditemui kira-kira pukul 5 petang oleh seorang murid, Mohd. Arif Ibrahim, 8, ketika sedang bermain berhampiran kawasan tersebut.

Mohd. Arif ketika ditemui hari ini berkata, bau busuk dari lubang najis itu menyebabkan dia dan tiga lagi rakannya berasa curiga lalu segera menyiasat puncanya.

“Semasa bermain kami terhidu bau busuk lalu saya pergi tengok dan nampak macam mayat bayi sebelum panggil rakan lain.

“Saya pun panggil rakan lain dan bila tengok betul-betul memang sah ia mayat bayi yang sedang tertiarap,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Sepasukan anggota polis termasuk Unit Forensik tiba di tempat itu kira-kira pukul 7 petang dan mengambil masa selama 45 minit untuk mengeluarkan mayat bayi itu sebelum dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.

Pegawai polis mengangkat mayat bayi dipercayai perempuan untuk dibedah siasat di Hospital Tanah Merah.

No comments: